Sunday 30 November 2008

Apabila Haq dan Batil bercampur



TENTU ramai yang mengenali 'Grup Band' ini. Dewa 19. Ini bukan kali pertama mereka membuat kontroversi. Kali ini bendera yang dikibar dalam album Laskar Cinta bertulis kalimah Allah (Lafzul Jalaalah). Bukan seorang dua yang menjadikan kumpulan ini idola mereka. Saya pernah 'menziarahi' blog seorang "ustazah" yang agak meminati Dewa 19 ini. "Tahniah"!. Siap tulis lirik lagu Laskar Cinta dalam blog.

Sebuah peringatan buat diri sendiri yang sentiasa leka dan alpa.

Tuesday 25 November 2008

Bingkisan Habiburrahman el Shirazy

Bertempat di Hayyu 'Asyir, Baruga Kerukunan Keluarga Sulawesi (KKS) Kaherah, Mesir, 24 November 2008, saya berkesempatan menghadiri sebuah majlis 'Pelatihan Menulis Buku' edisi Indonesia. Selalu begitu, saya lazimnya menjadi peserta tunggal dari BKAN hatta negara sekalipun. Tak mengapa. Itu bukan topiknya.


Apa yang menarik ialah, "acara" tersebut dihadiri oleh seorang penulis yang pernah menggemparkan Asia Tenggara lewat novel 'Ayat-Ayat Cinta'nya. Beliau adalah Habiburrahman el Shirazy atau lebih mesra dengan panggilan Kang Abik. Majlis pelatihan menulis buku secara umum ini saya simpulkan secara peribadi membawa nilai dan makna yang amat besar.

Mungkin boleh disifatkan majlis ini sebuah pemula kepada sesiapa sahaja yang belum mula untuk 'menulis'. Kang Abik dalam materi yang disampaikan menegaskan bahawa, semua manusia berhak untuk menjadi penulis. Menulis melalui pengalaman atau boleh sahaja melalui pembacaan. Tinggal sahaja, penulis yang produktif ialah insan yang produktif mencari idea. Berbicara tentang bakat; Kang Abik menyatakan, bakat itu bukanlah sebuah kemampuan yang dimiliki sejak kecil. Bakat yang ada pada diri seseorang adalah kemahuan kuat yang diiringi usaha dan kerja keras. Ada benarnya kalam yang disampaikan, bagi mereka yang faham...


Sementalah itu, saya sendiri mengkoreksi diri. Di mana tahap dan nilai karya saya sebetulnya. Saya juga masih belajar dan sentiasa belajar untuk memperbaiki diri. Terima kasih kepada Kang Abik. Alhamdulillah, ini bermakna bertambah lagi guru saya dalam bidang ini.

Monday 24 November 2008

Kapten Baharu 'Gudang Peluru'



INI soal kepimpinan. Bukan usia yang menjadi taruhan utama. Bila Gallas kayaknya sudah tidak mampu, lebih-lebih lagi apabila dia telah membocorkan 'rahsia' kerukunan dalam pasukan. Akhirnya anak muda ini ditaklifkan memakai ban kapten menunjukkan bermulanya era baharu untuk semua.

Selamat menjalankan tugas!!!

Saturday 15 November 2008

Warna-warni Kehidupan


SATU: Sabtu, 08 November 2008, Arsenal di bawah kendalian 'The Professor' telah menewaskan Manchester United untuk kali ke-15 dalam 37 pertemuan (Skor 2-1). Keputusan ini sudah cukup untuk 'menutup' mulut "Kipas Susah Mati" Red Devils. Jangan marah..=)

DUA: Hari ini sudah melebihi seminggu saya memegang jawatan YDP BKPSM yang baharu. Ya Allah kuatkan hati hamba-Mu ini.

TIGA: Terima dua surat permohonan perletakan jawatan daripada AJKT. Satu telah diluluskan, satu lagi? Ada lagi kah yang akan menyusul selepas ini?

Friday 14 November 2008

al Fatihah!




Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un...

"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah,(bahawa mereka itu) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya" - Surah al-Baqarah 02:154

Thursday 13 November 2008

from Kitchen with Love



Saya sedang membaca buku ini. Buku yang pada perkiraan awal saya lebih memfokuskan perihal dapur dan 'kawan-kawannya'. Sebenarnya tidak begitu! Apa persepsi anda?

Anda berminat? Sila lawati toko buku yang berhampiran.

Tuesday 11 November 2008

Itu Amanah... Bukan kemuliaan

07 November 2008 / 09 Dzulka'edah 1429

Mesyuarat Agung Tahunan BKPSM kali ke-26 berjalan lancar. Sesi pertama pada pagi itu di'warnai' dengan nota ringkas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya yang bertulis demikian :

"Tahniah kerana berjaya memegang jawatan YDP BKPSM 2008/09. Diminta utk menyediakan @ bersedia utk menyampaikan ucapan dasar. Terima kasih.
-S/U SPR

Bagai hendak gugur jantung ini membaca tulisan tersebut. Ini bukanlah cerita kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat. Hanya sebuah cerita biasa yang menjadi luar biasa dirasakan oleh diri. Rasa resah yang terbit dari dalam hati membuat fikiran mencambahkan pelbagai persoalan. Adakah aku benar-benar layak digelar pemimpin? Apa yang perlu aku buat selepas ini? Semua persoalan itu "menjerit" di nubari meminta jawapan.

Perjuangan bermula lagi. Jalan yang panjang, tidak ada padanya hamparan permaidani. Penuh belati dan duri menemani perjalanan. Ya Allah, permudahkan setiap urusanku...


KONSEP KEPIMPINAN

Telah jelas dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran bahawasanya hakikat penciptaaan adam (insan pertama) adalah untuk mentadbir dan memakmurkan alam buana bikinan Sang Pencipta. Walaupun pada awalnya para Malaikat Allah meng'kritik' hebat ketika Allah hendak menjadikan makhluk yang bernama manusia ini. Bagaimana nanti makhluk kerdil ini memegang amanah sebagai khalifah di atas muka bumi. Para malaikat sebenarnya telah mengetahui akan sifat manusia yang lazimnya cenderung berbuat kerosakan dan kebinasaan. Sesunggungnya Allah Maha Mengetahui daripada sekalian yang tahu.

Manusia yang ditaklifkan menjadi seorang pemimpin hendaklah meletakkan ISLAM sebagai tunjang yang utama. Al-Quran dan as-Sunnah menjadi panduan. Tidak gentar apabila dicabar oleh sesiapa sahaja ketika dasar yang diperjuangkan cuba untuk diganggu gugat. Sanggup mempertaruhkan nyawa atas nama ISLAM yang tercinta. Berbicara memang mudah, hendak melaksanakan sememangnya payah. Perlu ada kekuatan pada diri seorang pemimpin untuk merealisasikan seruan Allah dan Rasul-Nya. Di mana perginya JIHAD?

Pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan membiarkan orang-orang yang dipimpin terbiar begitu sahaja. Seharusnya ada kesedaran untuk memastikan yang dipimpin turut melaksanakan apa yang telah digariskan dan megikuti lunas-lunas yang telah ditetapkan Allah S.W.T. Bukan sekadar memerhati tanpa mengambil tindakan jika kemungkaran berlaku di depan mata. Mampukah kita untuk berbuat begitu?



AMANAH YANG AKAN DIPERSOALKAN

Melihat senario yang berlaku hari ini, ramai manusia yang terlibat dalam kanvas kepimpinan tergelincir dari landasan hukum ISLAM yang telah ditetapkan. Meletakkan hawa nafsu menunjangi setiap urusan dunia. Membelakangi janji Allah yang hak bahawa kedudukan dan pangkat merupakan amanah yang wajib dipikul dengan sebaiknya. Tidak menggunakan jawatan demi untuk kepentingan diri dan kroni.

Memegang amanah apabila khianat telah disifatkan oleh Rasulullah S.A.W salah satu dari ciri-ciri orang munafik. Menjadi pemimpin selayaknya adil pada diri dan adil terhadap orang lain. Tugas pemimpin bukan hanya omongan kosong yang diceritakan di warung-warung kopi. Setiap pemimpin patut sedar dan insaf, 'singgahsana' yang dimiliki hanya pinjaman serta berifat sementara dan setiap apa yang dilaksanakan akan dipersoalkan kelak di dalam mahkamah Allah yang Maha Agung.

Di mana kita hendak letakkan wajah kita dihadapan Dzat Allah apabila amanah yang diberi kita khianati? Jika rasa malu kepada makhluk kita amat jaga, bagaimana pula rasa malu dan khudu' kita kepada Khaliq?

Firman Allah S.W.T. yang mafhumnya : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesunggungnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat". - Surah an-Nisaa' 5:58


Kita merancang, Allah juga merancang. Percayalah, sebaik-baik perancangan adalah daripada Allah jua. Contohi baginda Nabi S.A.W yang menjadi pemimpin terulung sehingga nikmat iman dan islam sampai kepada kita pada hari ini. Amat rugi seandainya kita mengambil uswah yang lain sehingga melupakan sirah perjuangan Khatimul Anbiya' ini. Yakinlah, jika kita menolong agama Allah, nescaya Allah akan memberi bantuan dan menetapkan langkah kita. Ke arah kesejahteraan bersama!

Ya Allah, bantulah diri hambamu yang faqir lagi haqir ini.

Saturday 1 November 2008

Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) bila bermula?

HARI ini sekali lagi permulaan bulan. Jika dicongak sepatutnya wajah-wajah kepimpinan yang baharu sudah termaktub. Hakikatnya belum lagi.


Tarikh Mesyuarat Agung Tahunan bagi Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (MAT-BKPSM) belum ditentukan secara pasti. Semua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) sudah mengadakan MAT dan menentukan tampuk 'pemerintahan' sesi 2008/2009. Jika sebelum ini Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) yang terakhir mengadakan MAT. BKPSM jauh lebih lewat dari tarikh tersebut.


Tarikh sebenar akan diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT-BKPSM) yang akan mengadakan mesyuarat esok. Seperti biasa harapan daripada semua adalah ingin melihat kesinambungan survival persatuan terus utuh seiring dengan peredaran zaman.


Apa harapan kita (ahli BKPSM) pada MAT kali ini?