Friday, 15 March 2013

Sasterawan Negara ke-12: Dato' Baharuddin Zainal (Baha Zain)



Perang akan memusnahkan kubu, bangunan,
muzium, galeri dan universiti
perang telah mengoyakkan halaman-halaman
sejarah
perang akan mencipta sejarah baru
di halaman-halaman yang baru
sejarah baru itu hanya derap kaki askar-askar
yang dahulu

Seorang pemimpin menumpaskan bekas-bekas
keagungan pemimpin lama
jadi tirani apabila mencium bau wang
pernahkah engkau jadi haloba apabila mencium
bau keuntungan?
Perang akan memusnahkan bahasa dan kesenian
yang merumahkan kemanusiaan.

Orang lupa bahawa Islam itu agama kehidupan
untuk semua bangsa yang membenci
persengketaan.
Pernahkah engkau terfikir bahawa engkau talah
dipermainkan?


(SN Dato' Baha Zain, ''Pernahkah Engkau Mentafsir Kedamaian'', 2003)

Tuesday, 18 December 2012

Friday, 12 October 2012

Kaver ''Salina: Edisi Khas''

Tahaluf siyasi PAS bersama Pakatan Rakyat


Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :


لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت.
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 258 ).

(Sesungguhnya aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud’aan satu persefahaman, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya).

Peristiwa bersejarah ini berlaku dimasa jahiliyah, ketika Rasulullah S.A.W. belum dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan. Apabila  bapa-bapa saudara baginda  membawanya menyertai pertemuan khusus dikalangan pemimpin utama Makkah. Rasulullah S.A.W. diizinkan menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi  diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.

Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada Qabilah Zubaid  Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan Makkah  bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan daripada rakan-rakan kenalannya, kerana kedudukan bangsawanan si zalim itu. Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Makkah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.

Apabila seruannya didengari oleh para pemimpin Makkah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin Jud’aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.

Rasulullah S.A.W. bersabda  tersebut diatas dengan huraiannya : ( Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam  Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya).

Rasulullah S.A.W. juga bersabda secara umum:

الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه).

(Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya).

Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman  tersebut , walaupun mereka itu daripada  kalangan pemimpin jahiliyah. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang berperikemanusiaan  daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan utusan daripada negara luar  termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam. Rasulullah S.A.W. juga menyatakan sempadan dengan sabdanya :

المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغيره).

(Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat yang mereka tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram).

PAS adalah Parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (Perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan langkah yang bertentangan  dengan ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh disamakan dengan UMNO.

Begitu juga hubangan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza dengan hubungan diantara komponen Barisan Nasional yang tidak berdasar dan berkonsepkan Islam daripada Al Quran dan Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias.

Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan Tahaluf  yang berpandukan nas tersebut diatas. Pakatan Rakyat adalah satu muafakat politik dalam konsep Tahaluf  Siyasi  yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.

Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara  yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti  amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.

Umno yang mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak mebezakan diantara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah menjadikan  Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.

Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama UMNO, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat  gatal.

Cukuplah menegakkan Islam ala UMNO yang bergantung dengan politik wang, pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara  hantu  yang menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.

Melayu yang perkasa bersama UMNO, hanya sekadar bertempik menghunus keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang menyerah diri kepada penjajah dahulu  dan mewarisi kemerdekaan  yang diletak diatas dulang  emas dan menerimanya dengan melalui hamparan permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah walau pun disembunyikan dibawah tikar yang hina.

PAS ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah diharamkan silih berganti. PAS tetap Istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh mengikut batas-batas Allah.

PAS pernah bersama UMNO di tahun 70-an dan  menubuhkan Barisan Nasional bersama UMNO dan rakan-rakannya. Penyertaannya  dengan keputusan Muktamar Khas  supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi. Ketika bersama UMNO, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk  ahli parlimennya  yang berjoget dan minum arak bersama UMNO.

Kemudian PAS dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan selepas itu kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang diluluskan oleh UMNO dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan pilihanraya khas  selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan UMNO.

Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah UMNO dan berimam mengikut arah kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi PAS memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.

PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang berpecah daripada UMNO. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP.

Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya PAS mengadakan  tahaluf  siyasi bersama Parti Keadilan Nasional yang juga berpecah daripada UMNO. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan DAP.

PAS mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan media yang menjadi khadamnya,  kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya bimbang  PAS akan menjadi parti melukut ditepi gantang.

Percayalah orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama- sama dengan PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama UMNO sehingga tidak bermaya di Singapura, Pulau Pinang  dan lain-lain.

Kaum lain dikalangan bukan Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama berada dalam UMNO atau bersekongkol bersama UMNO.

Di sepanjang kerjasama PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walau pun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjesama PAS dalam BN di awal tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan setelah PAS ditendang keluar.

Pengaruh PAS dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera pentadbiran PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya berjaya.

Kerjasama PAS bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu Semangat-46 dan DAP) tahun Sembilan puluhan berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini. Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal kerana ditumbangkan dengan zalim.

Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan PAS memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin  Parti Keadilan Rakyat dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walau pun dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah sinario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.

Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui kegagalan.

Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan UMNO berjuang menegakkan hukum Hudud  laksana ayam jantan kukuk berderai  pada hal ekornya bergelimang tahi sejak lebih lima puluh tahun. Sebenarnya UMNO lah penghalang besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa diperingkat negeri dan pusat.

Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting  juga ialah ijtihad dengan Istiqamah ditengah medan perjuangan. PAS mempunyai semua aspek ini dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah dan teras kepada semua amalannya.

Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh PAS sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990 sehingga kini adalah penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan  dan ekonomi.

Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999 sehingga 2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran PAS dikurniakan kemenangan di negeri-negeri ini maka secara automatik  menjadi sasaran UMNO bagi melemah dan menjatuhkannya diatas nama Melayu dan Islam. Paling malang menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan pusat dan melanggar konsep demokrasi dan federalisma.

Mengepung media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini, sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu dan menafikan hak Kelantan. Namun perkara ini  tidak pernah dilakukan kepada Singapura ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang di bawah Parti Gerakan sebelum BN dan Sabah dibawah PBS. Inilah hakikat UMNO dengan Melayu dan Islam anutannya.

Kepada semua pihak yang bersimpati dengan PAS, saya tegaskan, percayalah kepada kami dengan semua pengalaman yang  tersebut dan hilangkan khurafat beriman kepada UMNO parti Maha Esa.

Kepada ahli dan penyokong PAS saya nasihatkan supaya merujuk kepada sumber ilmu Islam yang ada dalam PAS, bukannya belajar melalui media yang bersukan dengan Islam dan berniaga dengan politik. PAS tetap berpegang bahawa politik adalah amanah terbesar daripada Allah. Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara berjamaah jangan berseorang diri dan memencilkan diri.

Pesanan Rasulullah S.A.W.  “sesiapa yang memencilkan  diri daripada jamaah  akan ditawan syaitan, laksana serigala yang menawan kambing yang terpencil daripada kawanannya.” Maka amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang dikenali.

*Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

Sumber: Harakahdaily

Thursday, 20 September 2012

Terima kasih Tun Mahathir


Kenyataan Tun Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden UMNO, supaya menjadikan syaitan yang dikenali sebagai rakan yang didampingi lebih baik daripada berkawan dengan malaikat yang tidak dikenali perlu dilihat secara positif, khususnya oleh pendokong UMNO. Kata-kata itu bersumberkan pepatah barat yang  diucapkan oleh mendiang Winston Churchil, mantan Perdana Menteri British ketika perang dunia kedua. Apabila sangat terdesak di peringkat  awal menghadapi kemaraan tentera Jerman, lalu beliau mengizinkan bersahabat dengan negara pernah bermusuh dengan Britain seperti Perancis dan lain-lain.


Mengikut kaedah Usul Feqh Islam, sesuatu dalil itu perlu dilihat dalam dua aspek. Mantuq (yang dilafazkan atau diucap) dan Mafhum (yang difahami). Kadang-kadang diambil mafhum yang berlawanan dengannya.

Saya berpendapat secara positif daripada kenyataan yang jelas itu memberi mafhum, supaya ahli UMNO yang beragama Islam meninggalkan UMNO dan menjadikan PAS sebagai gantinya, sekiranya tidak mampu melawan syaitan yang ada dalam UMNO  atau menghapuskannya bagi menyelamatkan UMNO. Ini kerana bersama syaitan akan membawa akibat buruk di dunia dan akhirat bagi seseorang Islam.

PAS adalah parti manusia bukan parti malaikat dan bukan parti syaitan. Manusia yang diajar dan ditarbiyah oleh Allah sejak bapa dan ibu yang pertama-tamanya iaitu Adam dan Hawa. Allah mengajar Adam mengenal Tuhannya Allah sahaja dan tidak ada sekutu baginya. Beliau turut diajar mengenali para malaikat dan mengenali iblis yang menjadi ketua syaitan seluruhnya.

Tujuan manusia diciptakan supaya beribadat kepada Allah seperti makhluk yang lain dan dikurnia keistemewaan ditugaskan menjadi Khalifah di bumi, kerana sesuai dengan fitrahnya. Terpenting daripada khalifah itu ialah berpolitik, mentadbir urusan dunia dengan agama Allah (Al Din).

Iblis adalah pemimpin syaitan, makhluk jahat yang telah melakukan kekacauan di bumi sebelum manusia diletakkan mengikut keputusan Allah. Iblis ditawan oleh para malaikat dan menjadi tawanan bersama mereka dan diminta berlaku baik bersama para malaikat. Tetapi Iblis hanya berlakon dan berpura-pura baik, tanpa diketahui oleh para malaikat segala yang tersirat dan tersembunyi dalam dirinya.

Allah memperkenalkan para malaikat kepada Adam dan Hawa, bahawa mereka adalah makhluk paling baik menjadi contoh dan kawan, kerana sangat taat kepada Allah dan tidak sekali-kali menderhakai Allah. Begitulah tabiat para malaikat makhluk yang mulia itu. Allah juga mendedahkan kejahatan yang tersirat dalam diri Iblis dan begitulah juga pengikutnya yang ada di bumi. Mereka adalah bakal pencabar kepada makhluk manusia yang beriman dan budiman.

Al Quran mengesahkan betapa para malaikat itu sangat mentaati Allah, sehingga menawarkan diri bertugas di bumi bukannya manusia. Menunjukkan sikap berlumba mentaati Allah. Apabila  Allah mendedahkan kelebihan Adam  kepada para malaikatnya, Adam makhluk manusia yang diberi ilmu bertugas dibumi dengan sifat kejadiannya yang berbeza dengan kejadian malaikat. Banyak perkara yang tidak ada kepada malaikat. Maka para malaikat menunjukkan sifat tawadu’ dihadapan Allah serta memuji dan bertasbih. Allah mengesahkan dengan firmannya:

وَعَلَّمَ آَدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (31) قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (32) قَالَ يَا آَدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ (33)

(Dan Allah mengajar kepada Adam nama-nama semuanya, kemudian dibentangkan kepada para malaikat. Lalu mereka berkata :”Maha Suci Engkau. Tidaklah kami ketahui malainkan sekadar apa yang Engkau ajarkan kepada kami “. Allah berfirman kepada Adam :” ceritakan kepada mereka nama-nama semuanya “. Setelah Adam menyebut nama-nama semuanya. Allah berfirman :” Tidakkah aku katakan kepada kamu, bahawa aku mengetahui apa-apa yang tersembunyi di langit dan bumi dan aku mengetahui apa-apa yang kamu nyata dan kamu sembunyikan?). (Al-Baqarah: 31-33).

Allah tidak dengan segera menghantar  Adam dan Hawa ke bumi, tetapi lebih dahulu mereka diajar dan ditarbiyah di syurga, menikmati sifat–sifat yang ada pada diri manusia dan menyatakan sempadan halal dan haram apabila tiba di bumi nanti. Adanya perkara bagi makhluk yang lain, bukan untuk manusia, kalau melampauinya membawa mudarat. Allah juga mengajar dan tarbiyah Adam dan Hawa dengan melakukan dosa kesalahan secara mendedahkan sifat jahat yang tetap ada pada Iblis dan pengikutnya dikalangan syaitan, jin dan manusia,  yang akan dihadapi oleh manusia ketika menjalankan tugas mereka di bumi nanti.

Pendedahan dilakukan, bermula dengan secara bersama mengadap Allah. Apabila Allah memerintah mereka sujud kepada makhluk Adam bagi meraikan kejadian dan tugasnya. Tiba-tiba para malaikat sahaja yang sujud menunaikan perintah Allah. Iblis pemimpin syaitan pula tidak mahu sujud.  Mendedahkan sifat buruk yang ada pada dirinya dan begitulah juga pengikutnya. Ketiga-tiga sifat itu ialah: enggan (derhaka), takabbur (sombong) dan kufur (ingkar melawan Tuhan). Seterusnya Allah memberi tahu Adam, dengan mendedahkan sifat yang keempat pada diri Iblis dan pengikutnya, iaitu menipu  dengan apa cara sahaja, termasuk cara menggoda. Ternyata selepas diletakkan dalam syurga, Adam dan Hawa tertipu dengan godaan Iblis pemimpin syaitan itu, sehingga dihalau ke bumi bagi melaksanakan tugas mereka dengan  segala cabarannya. Allah memberi hidayah kepada Adam dan Hawa  kerana menyesal setelah berfikir dengan akal yang betul, sehingga bertaubat. Ada pun Iblis dan para syaitan bersamanya, dikalangan jin dan manusia tidak bertaubat sehingga mati, kerana sifat angkuh dan sombong. yang merasakan diri mereka terlalu bijak sehingga tidak perlu bergantung kepada Allah.

Adam dan para Rasul yang dilantik membawa petunjuk Allah yang dinamakan Islam diperintah supaya beriman kepada malaikat disamping  beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain. Beriman kepada para malaikat termasuk dalam rukun iman, bukan sahaja menganalinya sebagai makhluk yang tidak derhaka dan tidak berdosa, bahkan malaikat itu sentiasa bersama orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh. Sesiapa yang memusuhi para malaikat bermakna  memusuhi Allah dan Rasulnya.

Kita wajib juga beriman kepada adanya syaitan, termasuk dalam beriman kepada perkara yang ghaib. Wajib percaya bahawa syaitan itu makhluk paling jahat dan menipu. Mengikut syaitan dan menjadi penolongnya atau bersamanya bermakna ditipu dan menempah celaka dunia dan akhirat.

UMNO diakui oleh Tun Mahathir ada syaitan yang dikenali. Rosaknya hingga ke usus, dilanda rasuah dalaman di semua peringkat dalam pemilihan  daripada cawangan, bahagian, sehinggalah tertinggi. Namun tidak bersedia dirawat atau berundur bagi mengislahkan diri saperti semua parti dalam negara demokrasi tulen. Sebaliknya tetap mempertahankan kuasa dengan apa sahaja termasuk meggoda pengundi dengan rasuah pilihanraya, menaikkan pangkat kepada jentera kerajaan yang membantu  kemenangannya, menipu undi demi kemenangan dan menggunakan media menutup kebatilan. Ia hanya menyatakan apa yang benar dilakukan secara menggoda. Sehinggalah rakyat tidak mampu menjadi hakim yang adil ketika mengundi.

Al Marhum Tunku Abdul Rahman, Presiden pertama UMNO dan Bapa kemerdekaan meninggalkan UMNO. Oleh kerana usianya panjang, beliau sempat melihat tanda-tanda awal penyakit yang ada pada UMNO, diikuti oleh ramai lagi para pemimpin yang sedar dan peka. Tun Mahathir pula sudah dua kali keluar masuk UMNO. Semuanya sudah cukup bagi ahli UMNO membuat keputusan untuk tidak bersama syaitan yang sudah dikenali dan berusaha bersama manusia PAS memohon pertolongan Allah dan para malaikat yang nyata baiknya bagi menyelamatkan negara dan bangsa bersama Islam yang termaktub dengan nyata dalam kitab Allah dan huraian Rasulullah S.A.W. dalam Sunnahnya yang nyata. Inilah panduan tertinggi PAS, dicatat dalam undang-undang tubuhnya .

Apabila wajib beriman kepada malaikat  dan mereka adalah makhluk paling baik kerana taat dan tidak berdosa. Wajib pula beriman adanya makhluk Iblis dan para pengikutnya dikalangan manusia dan jin, yang dinamakan syaitan, makhluk paling jahat, menipu dan menggoda, sehingga mati tidak bertaubat. Maka jadikan kenyataan Tun Mahathir mengikut mafhumnya adalah nasihat dan amaran. Ini kerana kalau difahami secara nasnya, sangat bercanggah dengan nas Al Quran. Hadis Rasulullah S.A.W. yang lebih daripada ucapan yang lain tidak boleh bercanggah dengan Al Quran. Allah berfirman dalam surah Yasin yang dibaca oleh kebanyakan umat Islam, termasuk dianjurkan oleh Umno, maksudnya:

60. "Bukankah Aku telah perintahkan kamu dengan perjanjian,wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

61. "Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan Yang Lurus.


62. "Dan Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dengan akal yang insaf?. (Surah Yaasin: 60-62)


Allah juga mendedahkan diantara godaan syaitan itu tidak melaksanakan Islam seluruhnya, tetapi sebahagian sahaja daripada ajaran dan meninggalkan sebahagian yang lain. Firman Allah, maksudnya:

208. Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam semuanya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya;) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata. (Al Baqarah: 208).
Allah juga memberitahu bahawa syaitan mengugut dengan kemiskinan kalau melawannya, maksudnya:

268. Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha luas limpah kurniaNya, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya.) (Al Baqarah: 268).


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Sumber: Harakahdaily

Saturday, 1 September 2012

Puisi ''Janji Demokrasi'' - SN Datuk A. Samad Said

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan Tanah Melayu ke-55.

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan Borneo Utara ke-49.

Allahu Akbar!

Tuesday, 14 August 2012

Friday, 10 August 2012

Memburu Lailatul Qadar: MANHAL PMRAM


Kelebihan Lailatul Qadar
Firman Allah SWT yang bermaksud :
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran  lailatul qadar itu? Malam lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr: 1-5)
Di antara keistimewaan Ramadan juga ialah adanya lailatul qadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Dahulu, para sahabat mengadu kepada Nabi Muhammad SAW berkenaan dengan umur dan kesempatan untuk beribadat. Hal ini kerana umat pada zaman dahulu mempunyai jangka umur panjang yang membolehkan mereka untuk beribadat lebih lama. Disebabkan itu, para sahabat mengadu dengan baginda SAW. Maka, Allah SWT menganugerahkan satu malam yang mana sesiapa yang mendapati malam tersebut merupakan satu keuntungan yang besar bagi mereka. Malam itulah yang dinamakan lailatul qadar yang padanya lebih baik daripada 1000 bulan (iaitu 83 tahun).
Ada juga beberapa fuqaha' yang berpendapat lailatul qadar merupakan malam paling afdal daripada malam-malam lain bahkan lebih afdal daripada malam Jumaat. Hal ini kerana keistimewaan yang ada pada lailatul qadar tersebut.
Bilakah Waktu Lailatul Qadar ?
Khilaf di antara ulama, bilakah berlakunya malam lailatur qadar? Hal ini berikutan waktu lailatul qadar tersebut dirahsiakan. Antara sebab dirahsiakan ialah untuk manusia berlumba-lumba membuat kebaikan pada setiap malam, bukannya pada satu malam sahaja. Dan juga, disebutkan disebabkan Lailatul qadar mempunyai kebaikan yang banyak dan kemuliaan yang tinggi, maka disembunyikan waktunya.
Namun, ada hadis-hadis Nabi SAW yang menceritakan berkenaan Lailatul qadar sebagai rujukan dan panduan dalam mencari malam tersebut. Daripada Abu Sa'id Al-Khudri r.a,  Nabi SAW  bersabda :
إِنِّي أُرِيتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ ثُمَّ أُنْسِيتُهَا أو نُسِّيتُهَا فَالْتَمِسُوهَا في الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ في الْوتْرِ
"Sesungguhnya aku mengetahui (masa) Lailatul qadar. Kemudian aku dilupakan oleh Allah SWT. Maka carilah malam Lailatul qadar pada 10 akhir (bulan Ramadan), pada setiap malam ganjil." (Bukhari dan Muslim)
Sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah r.a, apabila masuk 10 malam terakhir Ramadan, Nabi SAW akan menghidupkan malam-malam tersebut dengan lebih berbanding malam-malam yang lain.[1]
Kebanyakkan fuqaha berpendapat dalam menentukan waktu lailatul qadar ialah pada malam 27 Ramadan.[2] Dan inilah yang dipegang oleh para pentahqiq di zaman moden. Mereka berpandukan beberapa hujah:
1-      Daripada Mu'awiyah r.a berkata, "Sesungguhnya Nabi SAW bersabda mengenai malam Lailatul qadar iaitu malam ke-27".[3]
2-      Ibnu Abbas r.a dalam mentafsirkan Surah Al-Qadr, beliau menyatakan bahawa surah tersebut mempunyai 30 kalimah dan kalimah هي  yang menunjukkan lailatul qadar berada pada kalimah yang ke 27.[4]
Terdapat juga pendapat lain pada malam ke-21 dan ada juga yang mengatakan pada malam ke-23.
Doa Apabila Bertemu Dengan Lailatul Qadar
Berdasarkan riwayat daripada Aisyah r.a, beliau bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai apakah yang digalakkan apabila ia bertemu lailatul qadar? Lalu baginda SAW menggalakkan untuk membaca doa ini:
اللهم إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Wahai tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, menyukai kepada (orang yang memohon) keampunan, maka ampunilah akan (dosa-dosa) aku.” (Ibnu Majah)
Cara Menghidupkan Lailatul Qadar[5]
1-      Martabat yang tinggi: Menghidupkan sepenuh malam dengan ibadat-ibadat seperti solat, zikir, baca Al-Quran dan sebagainya.
2-      Martabat pertengahan: Menghidupkan sebahagian besar malam dengan perkara-perkara ibadat.
3-      Martabat yang paling rendah: Solat Isyak berjemaah dan berazam untuk solat Subuh secara berjemaah pada pagi keesokannya.
Disunatkan bagi sesiapa yang mendapat lailatul qadar untuk tidak menceritakan kepada orang lain.
Hadis Nabi SAW,
مَن قام لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ من ذَنْبِهِ
"Sesiapa yang menghidupkan Lailatul qadar dengan keimanan dan keinsafan maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." (Bukhari)
Wallahu a'lam 
Disediakan oleh : 
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012 

**petikan daripada buku karangan Muhamad Zuhaili Saiman yang berjudul "Ramadhan : Puasa & Iktikaf"cetakan tahun 2009 dengan izin terbit Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 


[1]  rujuk فقه الإسلامي و أدلته   jilid ke-3
[2]  Hasyiah Baijuri jilid 1, rujuk فقه الإسلامي و أدلته   jilid ke-3 dan Kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد   bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf.
[3]  Hasyiah Baijuri jilid 1
[4]  Hasyiah Baijuri jilid 1
[5]  Hasyiah Baijuri jilid 1 dan Kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد   bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf.

''Sebangsa, Senegara, Sejiwa''

Makna Tema Kemerdekaan Pakatan Rakyat " SEBANGSA, SENEGARA, SEJIWA" Oleh A. Samad Said

SEBANGSA:

Dalam setiap kelompok manusia memang sentiasa wujud kerinduan akan kesatuan, malah kesebatian, demi kekuatan, kedamaian dan kesejahteraan hid
up mereka sebagai satu bangsa.

Begitulah juga keadaan kita sejak mencapai kemerdekaan negara—mewakili 14 negeri yang disatukan—selama lebih lima dekad ini. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum itu kini masih terus merindukan persahabatan dan perpaduan sedemikian demi kedamaian dan kehidupan bersamanya.

Maka itulah sangat wajar sekali rakyat Malaysia terus berupaya untuk bersatu demi mencapai cita-cita murninya bagi membentuk sebuah bangsa Malaysia baru yang tulen dan utuh.

SENEGARA:

Selama lebih setengah abad ini tampaknya rakyat Malaysia masih juga lambat berupaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang padu dan syahdu. Pada ketika-ketika yang genting dan tak tersangkakan tampaknya sentiasa wujud segelintir pemimpin siasah yang masih juga sengaja tergamak membelah negaranya dengan coba menyalakan semula api perkauman yang berbahaya itu.

Hingga ke akhir-akhir ini pun, tampaknya, masih terlihat juga wujudnya segelintir pemimpin sedemikian yang sengaja ghairah cuba menyalakan api perkauman yang mudah meretakkan negara.

Maka itulah sudah sampailah waktunya semula bagi rakyat Malaysia untuk terus tulus berazam bantu membina sebuah negara Malaysia yang padu dan luhur.

SEJIWA:

Bangsa dan negara baru biasanya sangat mudah rapuh untuk diretakkan apabila tiada suatu ikatan rohani dan benteng kemurnian jiwa di antara rakyatnya. Memang kita
selalunya amat mudah memperalat—juga diperalat—pelbagai istilah muluk yang merosak demi faedah peribadi dan kelompok ke atas sebuah negara, apalagi negara
yang baru setengah abad tercipta.

Terakhir ini memang terserlah benar kecenderungan yang negatif ini sehingga memerlukan kita agar lebih waspada dan waras bertindak bagi memelihara bangsa dan negara yang baru tercipta itu.

Kita memerlukan keazaman dan kekuatan batin, keutuhan dan kemurnian jiwa, untuk memelihara kedamaian bangsa dan negara. Untuk tujuan murni itulah makanya kita amat perlu menjaga dan mengisi cita-cita bangsa yang murni. Untuknya, kita perlu cekal sejiwa.

Wednesday, 25 July 2012

Puasa Ramadan dan Sukan Olimpik : MANHAL PMRAM

Isu berhubung atlet yang beragama Islam dalam menyertai Sukan Olimpik 2012 yang diadakan pada bulan Ramadan menjadi perhatian ramai pihak kerana membabitkan perbincangan bagi ibadah puasa terhadap atlet tersebut. Sukan Olimpik tersebut diadakan di London, England, United Kingdom bermula 27 Julai sehingga 12 Ogos 2012.[1]

Sehubungan itu, MANHAL PMRAM membahagikan perbincangan kepada beberapa bahagian iaitu :

Kewajipan Puasa Dalam Bulan Ramadan

Ibadah puasa dalam bulan Ramadan merupakan satu kewajipan dan salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Muaz bin Jabal RA berkata[2] :

فإن رَسُولَ اللَّهِ صلى اللَّهُ عليه وسلم قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَجَعَلَ يَصُومُ من كل شَهْرٍ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ وَصَامَ عَاشُورَاءَ وَصَامَ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا من رَبِيعٍ إلى شَهْرِ رَبِيعٍ إلى شَهْرِ رَمَضَانَ ثُمَّ إِنَّ اللَّهَ عز وجل فَرَضَ عليه شَهْرَ رَمَضَانَ فَأَنْزَلَ عليه كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ

 "Sesungguhnya Rasulullah SAW tiba di Madinah, maka baginda SAW berpuasa pada hari 'Asyura dan puasa 3 hari tiap-tipa bulan. Dan adalah baginda berpuasa sedemikian selama 17 bulan bermula bulan Rabiulawal sehingga Rabiulawal tahun seterusnya sehingga masuk ke bulan Ramadan. Selepas itu, Allah mensyariatkan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan dengan menurunkan ayat mengenai kewajipan berpuasa (yang bermaksud ):
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa,” (Surah Al-Baqarah : 183)

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, Nabi SAW bersabda,

"Dibina Islam itu atas 5 asas, penyaksian bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa dalam bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.” (Bukhari dan Muslim)

Dalam ilmu usul fiqh kewajipan puasa dalam bulan Ramadan termasuk dalam ketegori wajib mudhaiyaq (sempit)[3]. Maka wajib mudhaiyaq (sempit) merujuk kepada tempoh puasa tersebut yang hanya pada bulan Ramadan, tidak pada bulan yang lain serta menjadi kewajipan setiap tahun bagi mereka yang cukup syarat iaitu Islam, baligh, berakal, bermukim dan mampu dari sudut syara’ dan kemampuan.[4]

Justeru, kewajipan puasa dalam bulan Ramadan merupakan wajib mudhaiyaq (sempit) yang tidak ada pilihan waktu lain untuk ditangguhkan bahkan menjadi kewajipan untuk dilaksanakan pada setiap tahun apabila cukup syarat. Ia berbeza dengan dengan kewajipan Haji yang merupakan wajib muwassa’ (luas) yang memberikan ruang waktu yang lain jika ada penangguhan. Maka dalam kewajipan puasa dalam bulan Ramadan tidak timbul soal ‘tangguh’.

Adapun rukhsoh (keringanan) yang diberikan kepada beberapa golongan bukanlah merupakan tangguh akan tetapi sebagai keringanan bagi golongan yang diberikan keuzuran untuk berbuka dalam masa yang sama wajib ganti puasa pada hari yang dibuka pada hari lain. Maka wajib ganti tersebut merupakan dalil bahawa kewajipan puasa tidak boleh ditangguh bahkan golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) dikenakan puasa ganti. Dan juga golongan yang tidak mampu untuk berpuasa seperti orang tua yang memang tidak mampu berpuasa dan orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh dikenakan bayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan puasa. Hal ini menunjukkan bahawa kewajipan puasa dalam Ramadan tidak boleh ditangguhkan.

Golongan Yang Mendapat Rukhsoh Dalam Berpuasa

Terdapat beberapa golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) dalam berpuasa. Rukhsoh (keringanan) yang diberikan merupakan pilihan kepada orang yang berpuasa tersebut sama ada untuk meneruskan puasa atau berbuka namun menggantikannya pada hari yang lain.

Golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) ialah :

1-   Musafir

-      Musafir yang mubah, bukan musafir bertujuan melakukan maksiat.
-      Lebih 2 marhalah iaitu melebihi 80 atau 90 kilometer[5]

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Imam Ibnu Taimiyah berkata : “Sesiapa yang mengingkari bahawa diberikan rukhsoh (keringanan) atas sebab musafir, maka orang tersebut dituntut untuk bertaubat, jika ia tidak bertaubat maka ia dihukumkan sebagaimana orang yang murtad.”[6]

2-   Orang Yang Sakit

Berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Sakit yang diberikan keringanan ialah sekiranya berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh.

3-   Orang Yang Mengandung Dan Yang Menyusukan Anak

Sama ada bimbang keselamatan diri atau anak dalam kandungan atau anak yang disusukan. Dalilnya diqiaskan kepada keringanan yang diberikan kepada orang yang bermusafir dan sakit.[7]

4-   Orang Tua Yang Tidak Ada Kemampuan Untuk Berpuasa

Termasuk juga dalam kategori ini orang yang sakit namun tidak ada harapan untuk sembuh. Maka diberikan keringanan untuk berbuka bahkan wajib jika menyebabkan kematian. Tidak dikenakan puasa ganti melainkan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan berpuasa.[8]

Ibadah Puasa Bagi Atlet Yang Memasuki Sukan Olimpik

Sebagaimana yang telah dibentangkan di atas bahawa ibadah puasa dalam Ramadan bagi atlet yang beragama Islam wajib dilakukan dan tidak boleh ditangguh.

Namun jika atlet termasuk dalam kategori yang bermusafir maka diberikan keringanan untuk berbuka dan wajib ganti pada hari yang lain. Syarat musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) untuk berbuka ialah musafir yang diharuskan iaitu bukan bertujuan maksiat dan melebihi 2 marlahah iaitu 80 atau 90 kilometer.[9]

Maka jika atlet tersebut bermusafir bagi bertujuan untuk bersukan iaitu riadhah kerana bersukan itu hukum asalnya adalah diharuskan[10] dan antara faedah sukan itu ialah menyegarkan tubuh badan maka ia termasuk dalam kategori musafir yang diharuskan. Walaupun di saat ia bersukan ia melakukan maksiat iaitu tidak menutup aurat. Hal ini demikian kerana tujuan asal adalah diharuskan.[11]

Berbeza dengan musafir yang bertujuan maksiat, maka ia tidak diberikan rukhsoh (keringanan) kerana kaedah menyebutkan bahawa :

“Rukhsoh (keringanan) tidak diberikan kepada perkara maksiat”

Justeru, jika atlet berniat ketika musafir untuk membuka aurat dalam pertandingan maka niat musafirnya adalah bertujuan maksiat dan tidak diberikan rukhsoh (keringanan).

Dan tempoh rukhsoh (keringanan) berhubung musafir adalah berdasarkan kepada tempoh musafir. Temph musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) ini terdapat perselisihan pandangan fuqaha[12] :

1-   Mazhab Hanafi : jika niat bermukim selama 15 hari dan lebih maka tidak ada rukhsoh (keringanan) sebaik tiba di tempat bermukim
2-   Mazhab Maliki Dan Mazhab Syafie : jika niat bermukim di sesuatu tempat empat hari atau lebih, maka tidak ada rukhsoh (keringanan) apabila sampai di tempat bermukim
3-   Mazhab Hanbali :  jika niat bermukim di sesuatu lebih daripada empat hari, maka tidak ada rukhsoh (keringanan) apabila sampai di tempat bermukim

Justeru rukhsoh (keringanan) untuk berbuka tersebut bukan paksaan ke atas atlet. Rukhsoh (keringanan) bukanlah disebabkan Sukan Olimpik, tetapi disebabkan musafir yang memenuhi syarat (muafir yang diharuskan, melebihi 2 marlahah dan dalam tempoh bermusafir). Bahkan mana-mana individu muslim yang bermusafir diberikan rukhsoh (keringanan) kerana musafir itu sendiri sebab bagi rukhsoh (keringanan).

Dan inilah yang ditegaskan oleh Imam Ibnu Taimiyah : “Sesiapa yang mengingkari bahawa diberikan rukhsoh (keringanan) atas sebab musafir, maka orang tersebut dituntut untuk bertaubat, jika ia tidak bertaubat maka ia dihukumkan sebagaimana orang yang murtad.”[13]

Bahkan jika terdapat atlet muslim yang sakit yang diberikan syara’ akan rukhsoh (keringanan) iaitu sekiranya berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh, maka rukhsoh (keringanan) tersebut adalah disebabkan sakit itu bukannya disebabkan Sukan Olimplik.

Maka ini sebagaimana juga dengan fatwa yang diberikan oleh Syeikh Atiyah Saqar berkenaan soalan yang diajukan kepada beliau mengenai bolehkan seseorang yang menduduki peperiksaan di bulan Ramadan untuk berbuka bagi memudahkan mengulangkaji? Lalu Syeikh Atiyah Saqar menjelaskan bahawa orang tersebut diberikan rukhsoh (keringanan) untuk berbuka disebabkan sakit bukan disebabkan peperiksaan. Hal ini demikian beradasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Begitu juga dengan fatwa yang diberikan oleh Syeikh Ali Jumuah, pada 9 Julai 2012 berkenaan ibadah puasa atlet ketika Ramadan dengan menyebut :

الاِفْطارُ فِي حَالَةِ السَفَر أَوْ المَرَض طَبَقًا لِلنَّصِّ القُرْآنِي : فَمَنْ كانَ مِنكُم مَريضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِن أَيَّامٍ أُخَر". وتابع جمعة "لا عَلاقَةَ بِالرِياضَة بِهذِه الرُخْصَة لِاَنَّهُ لَوْ اُقِيْمَتْ البُطُولَةُ فِي مِصْر مَا جازَ الاِفْطَار
“Berbuka (disebabkan rukshoh) dalam keadaan musafir atau sakit terdapat dalam nas al-Quran iaitu “Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.”. Dan Syeikh Ali Jumuah menambah bahawa rukhsoh tersebut tidak ada kaitan dengan sukan (Olimpik) kerana jika pertandingan diadakan dalam Mesir maka (atlet Mesir) tidak diharuskan berbuka.”
Adapun jika berbuka puasa kerana pekerjaan yang berat sehingga mengganggu nafkah wajib dalam kehidupan[14], maka dilihat kepada beberapa perkara :
1-   Tidak ada pekerjaan yang lain melainkan pekerjaan itu sahaja. Dan pekerjaan berat tersebut mestilah yang diharuskan oleh syara’.
2-   Mendatangkan mudarat kepada diri sama ada ketika bekerja atau tidak mampu puasa menyebabkan tidak mendapat nafkah.
3-   Maka jika mudarat itu datang ke atas dirinya, maka dilihat kepada batasan bagi golongan sakit yang diberikan rukhsoh (keringanan) iaitu berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh. Rukhsoh (keringanan) yang diberikan adalah kerana sakit yang menimpa.
4- Jika mudarat itu datang disebabkannya tidak mampu bekerja sehingga menghilangkan nafkah maka dilihat bahawa mestilah nafkah tersebut merupakan nafkah yang wajib iaitu nafkah yang merupakan keperluan asasi yang akan menyebabkan kecelakaan dalam kehidupan jika hilang. Maka ia termasuk dalam konteks dharurat.[15]
5-   Dan kerja berat dalam mendapatkan nafkah wajib tersebut terikat dalam masa dan waktu perjanjian yang dilakukan. Maka jika selain pada waktu dan masa kontrak perjanjian, maka ia tidak dibolehkan kerana tidak termasuk dalam konteks kerja berat dalam mendapatkan nafkah yang wajib
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, pihak MANHAL PMRAM menekankan beberapa perkara yang penting dalam isu yang melibakan Sukan Olimpik dalam bulan Ramadan dan ibadah puasa bagi atlet Ramadan iaitu :
1-   Kewajipan puasa dalam Ramadan merupakan wajib mudhaiyyaq (sempit), maka tidak boleh ditangguhkan. Yang ada hanya rukhsoh (keringanan) untuk berbuka bagi golongan tertentu dan diwajibkan ganti pada hari yang lain.
2-   Atlet yang berada dalam keadaan musafir (musafir yang diharuskan dan melebih 2 marlahah) maka diberikan rukhsoh (keringanan) dalam tempoh musafir tersebut. Rukhsoh (keringanan) merupakan pilihan kepada atlet dan atlet tidak dipaksa untuk berbuka.
3-   Tempoh musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) adalah berbeza mengikut pandangan fuqaha sebagaimana yang diterangkan sebelum ini, maka mestilah merujuk kepada ahli yang berautoriti agar selari dengan realiti masyarakat Islam di Malaysia yang mengamalkan Mazhab Syafie.
4-   Sekiranya atlet tidak termasuk dalam golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan), maka tidak ada rukhsoh (keringanan) lain bagi atlet tersebut untuk berbuka. Rukhsoh (keringanan) yang diberikan adalah sebab syar’ie yang mengharuskan, bukan sebab Sukan Olimpik.
5-   Atlet muslim juga mestilah menutup aurat semasa dalam pertandingan kerana ia merupakan kewajipan dan juga bagi menghormati bulan Ramadan.
6-   Maka pekerjaan berat dalam mencari nafkah yang wajib yang diberikan rukhsoh (keringanan) mesti dilihat dari sudut batasan mudarat ke atas diri atau kecelakaan apabila hilang nafkah wajib serta masa yang terikat dengan perjanjian. Justeru, adakah atlet merupakan satu pekerjaan sebagaimana dalam perbincangan tersebut, ia perlu dinilai dari sudut apa yang telah dibincangkan di atas.
7-   Berkenaan dengan Sukan Olimpik yang dianjurkan dalam bulan Ramadan, MANHAL PMRAM melihat sepatutnya negara-negara Islam dalam OIC dan Liga Arab mengambil tindakan yang tegas dalam menuntut agar diadakan pada bulan selain Ramadan bahkan mungkin melakukan boikot sekiranya penganjuran tersebut bertujuan mencemarkann kesucian Ramadan dan menyentuh sensitiviti umat Islam.
8-   Ataupun negara-negara Islam boleh mendahulukan non-Muslim bagi mewakili negara dalam Sukan Olimpik yang dilakukan pada bulan Ramadan sekiranya dengan penarikan diri daripada sukan tersebut akan menyebabkan kerugian. Dan jika atlet muslim juga yang mewakili negara Islam dalam sebarang sukan dalam bulan Ramadan, maka perbahasan adalah sebagaimana di atas.

Wallahu a'lam
Disediakan oleh barisan Felo MANHAL PMRAM 2012 yang terlibat :
Muhamad Zuhaili Saiman
Ainuddin Ishak
Ahmad Ulwan Hassim
Muhammad Zikri Mohamad Zaki
Rujukan :

1-   Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
2-   Fiqh al-Lahwi Wa at-Tarwih, Dr Yusuf al-Qardhawi, Makabah Wahbah
3-   Fiqh as-Siyam, DR Yusuf al-Qardhawi, Makabah Wahbah
4-   Al-Fatawa Min Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, cetakan Maktabah at-Taufiqiyah
5-   At-Taqrirat as-Sadidah Fi Masail al-Mufidah, Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhamad Al-Kaf, cetakan Dar al-Mirath an-Nubuwah
6-   Nihayah as-Sul Fi Syarh Minhajal-Wusul Ila ‘Ilmi al-Usul, Syeikh Jamaluddin Abdul Rahim bin Hasan al-Isnawi


[2]  تفسير آيات الأحكام   jilid 1 karangan Syeikh Muhammad Ali As-Sobuni, dan جامع البيان   jilid ke-2 karangan At-Tabrani
[3]  Nihayatul as-Sul Fi Syarh Minhaj al-Wusul Ila ‘Ilm al-Usul, Imam Jamaluddin Abdul Rahim bin Hassan al-Isnawi, m/s 92, cetakan Dar Ibn Hazam
[4] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaily, jilid ke-3, m/s 1663-1668, cetakan Dar al-Fikr
[5]  Fiqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 45, cetakan Maktabah Wahbah
[6]  FIqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 43 cetakan Maktabah Wahbah
[7]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-3 m/s 1701, cetakan Dar al-Fikr
[8]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-3 m/s 1701, cetakan Dar al-Fikr
[9] Fiqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 45, cetakan Maktabah Wahbah
[10]  Fiqh al-Lahwi Wa at-Tarwih, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 49 cetakan Maktabah Wahbah
[11]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-2, m/s 1346, cetakan Dar al-Fikr
[12]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-2, m/s 1348, cetakan Dar al-Fikr
[13]  FIqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 43 cetakan Maktabah Wahbah
[14] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, jilid 3, m/s 1702, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
[15]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, jilid 3, m/s 1701, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr