Saturday 26 November 2011

Tahniah S.M Zakir : Penerima SEA Write Awards 2011

Penerima Anugerah SEA Write Awards 2011, SM Zakir.

Kuala Lumpur, 11 Nov. - Penulis SM Zakir atau nama sebenarnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman, diumumkan sebagai penerima SEA Write Awards 2011 mewakili Malaysia. Pengumuman mengenainya dibuat oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Termuzi bin Haji Abdul Aziz yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan SEA Write Awards (Malaysia) 2011 dalam satu sidang media di Dewan Bahasa dan Pustaka.

SM Zakir, penerima ke-33 anugerah ini, terlibat dalam dunia penulisan secara serius sejak 1990. Beliau telah menghasilkan beratus cerpen dan esei serta puluhan puisi.

“Daripada sekian banyak genre itu, cerpen menjadi ikon pengkaryaan beliau. Persoalan yang disentuhnya tidak hanya berlegar dalam lingkungan setempat tetapi melampaui sempadan antarabangsa, menerokai dunia falsafah dan sufisme, serta memberikan pencerahan terhadap isu politik antarabangsa yang kompleks …” jelas Termuzi lagi.

Sidang Media Sea Write Award 2011.

Pemilihan SM Zakir telah disahkan dan diperakukan oleh Sekretariat Tetap SEA Write Awards di Bangkok pada 10 Oktober lalu. Bersama-sama tujuh penulis negara ASEAN lain, beliau dijadualkan menerima anugerah daripada Putera Mahkota Thai pada satu majlis di Hotel Mandarin Oriental pada awal tahun depan.

SEA Write Awards diwujudkan sejak 1979, antara lain bertujuan memberikan penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada para penulis, sasterawan dan seniman ulung dari Asia Tenggara yang telah menghasilkan karya sastera kreatif bermutu dalam pelbagai genre.

Sumber : Klik Web DBP

No comments: