Monday 29 August 2011

8

Man Utd 8 ARSENAL 2 @ Old Trafford Stadium (115 tahun dahulu Arsenal tewas 8-0 kepada Loughborouh Town)

Selamat Hari Raya 'Eidul Fitri 1432H. Kullu 'Aam Wa Antum Bi Kheir~

Friday 26 August 2011

Munajat Perdana PRU 13

NEGERI SABAH : Pejabat Pemuda PAS Sabah, Kingfisher, Kota Kinabalu Sabah.

TENTATIF MUNAJAT PERDANA PRU 13

09.45 - 09.50 mlm Ucapan Pesuruhjaya Negeri-Negeri/WP (Tidak Live)

10.00 - 10.10 mlm Ucapan Pengarah Program Untuk Mempengerusikan Majlis (Live dari Taman Melewar)

10.10 - 10.40 mlm Ucapan YB. Dato' Ust. Haji Harun Taib (Live dari Masjid Rusila)

10.40 - 11.20 mlm Ucapan YB. Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Live dari Masjid Rusila)

11.20 - 12.00 mlm Ucapan YAB. Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Live dari Kota Bharu)

3.00 - 05.00 pagi MUNAJAT DI NEGERI MASING-MASING (selepas subuh bersurai)



Alhamdulillah, kami bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Tuan Haji Mohd Aminuddin Aling bersama-sama mengikuti siaran langsung ucapan daripada para pimpinan PAS Pusat.

Kehadiran : 7 orang Muslimin dan 2 orang Muslimat.

Allahumansuril Islama wal mujahidina fii kulli makaan...

Tuesday 23 August 2011

Semangat Badar Kubra, Anugerah Lailatul Qadar : Gaddafi Akhirnya Tumbang!

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan kerajaan BN agar mengambil iktibar daripada kejatuhan rejim Muammar Gaddafi akibat pemberontakan rakyat Libya.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Raja Ahmad Al-Hiss berkata, BN harus segera sedar bahawa rakyat akan bangkit sekiranya corak pemerintahan kerajaan tidak menjurus ke arah keadilan.

"Jatuhnya Gaddafi disebabkan beliau bersifat autotarian dan menyekat banyak ruang demokrasi dalam negara seperti kebebasan akhbar dan hak asasi rakyat yang ada dalam Perlembagaan Negara mereka.

"Jadi rakyat bangun untuk menuntut keadilan. Kejatuhan Gaddafi itu disebabkan kegagalan beliau memberikan keadilan kepada rakyat dan ini boleh dijadikan iktibar kepada Umno BN yang ingin terus berkuasa," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Semalam, Gaddafi yang sudah 42 tahun memerintah Libya tumbang selepas kumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli.

Pemberontakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu ekoran para penunjuk perasaan menuntut kebebasan hak asasi manusia.

Ia kemudian bertukar menjadi pertempuran di antara kumpulan tentera Gaddafi dengan para pemberontak sebelum tentera bersekutu diketuai AS mengebom bandar-bandar utama di Libya bagi menguatkuasakan larangan terbang di negara tersebut selepas diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Raja Ahmad berkata, kekayaan ekonomi sesebuah negara tidak dapat menjamin kerajaannya kekal berkuasa sekiranya keprluan lain diabaikan.

"Di Libya memang hasil minyaknya banyak dan rakyat kekayaan dikongsi bersama rakyat, kos sara hidup rakyatnya rendah tapi pemerintah mengabaikan aspek kehidupan yang lain.

"Umno dan BN tidak boleh menjadikan isu ekonomi atau pembangunan yang mereka lakukan selama ini sebagai asas untuk mereka mempertahankan kerajaan mereka kerana ekonomi bukan asas kebahagian seseorang tapi rakyat juga mahukan keadilan dalam berorganisasi, keadilan dalam menyuarakan pandangan hak-hak asasi," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda.

Sambil merakamkan ucapan tahniah keapda rakyat Libya, beliau bagaimanapun meminta pihak luar menghentikan campur tangan asing ke atas Libya sebaliknya menyerahkan segala keputusan kepada rakyatnya.

"Dalam masa yang sama juga kita minta pihak barat yang selama ini menyokong pihak pemberontak menyerahkan kembali suara rakyat kepada kepada Libya sendiri untuk menentukan sistem dan juga konsep negara yang mereka ingin bentuk.

"Terutamanya NATO dan Perancis yang berkepentingan di sana untuk memastikan apabila turunnya Gaddafi, semua kuasa, tindakan dan keputusan diserahkan kepada rakyatnya.

"Campur tangan pihak asing perlu dielakkan untuk mengelakkan pergolakan," katanya lagi.

Libya negara yang mempunyai simpanan minyak yang terbesar di Afrika dan yang ke-9 terbesar di dunia diserang oleh tentera bersekutu dan kemudiannya diajak negara-negara Perjanjian Atlantik Utara ( NATO ) untuk menyertai serangan keatas Libya.

Februari lalu, pemimpin Pakatan Rakyat bersama lebih 300 rakyat Libya dan 100 warga tempatan menganjurkan demonstrasi secara aman di kawasan sekitar Kedutaan Libya menuntut Presiden Muammar Gaddafi segera meletak jawatan.

Kebangkitan anak muda

Sementara itu, beliau turut mengakui kejayaan pemberontakan ini disokong oleh kuasa anak muda yang sedar mengenai apa yang berlaku dalam negara mereka.

Memberi contoh kejatuhan Hosni Mubarak di Mesir beberapa bulan lalu yang berpunca daripada kebangkitan anak muda, beliau berkata, anak muda sekarang sudah terdedah keapda sumber-sumber baru.

"Anak muda sekarang bukan anak muda dahulu. Anak muda sekarang terdedah kepada maklumat terutamanya media baru. Jadi mereka banyak memahami situasi dan erti keadilan.

"Maklumat yang mereka peroleh ialah primari menerusi sumber baru, bukan secondary lagi," katanya.

Justeru katanya, Dewan Pemuda akan memastikan gerakan anak muda sentiasa terarah untuk kepimpinan akan datang.

"Dewan Pemuda di peringkat pusat, negeri malah kawasan dan cawangan akan menggerakkan anak muda semoga mereka ini akan memimpin kebangkitan dan kesedaran kepada rakyat Malaysia," katanya.

Sunday 21 August 2011

Belasungkawa : Novelis Haji Azizi Abdullah - Al-Fatihah


GEORGETOWN, 21 Ogos: Novelis terkenal tanahair, Haji Azizi Abdullah meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang pukul 7.30 pagi tadi.

Rakan sekerjanya di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Mohd Yusuf ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Jenazah Allahyarham Haji Azizi akan dibawa pula ke kediamanya di Taman Bersatu berdekatan Petronas Kulim tengahari ini.

Allahyarham meninggal disebabkan sakit jantung setelah lebih enam bulan di rawat di hospital berkenaan.

Wednesday 17 August 2011

Umno politikkan isu larangan baca al-Quran guna pembesar suara : Tok Guru Nik Abdul Aziz


Selagi boleh, saya tidak mahu menyemarakkan pertembungan politik sepanjang bulan Ramadhan. Saya kira waktu yang amat bernilai ini amat sesuai digunakan untuk berzikir, membaca al-Quran dan menghayati maknanya sesuai dengan kemuliaan Ramadhan. Namun, mengambil kira bahawa nama saya disebut berulang kali oleh media massa milik Umno hari ini (16 Ogos 2011), saya ringankan tangan saya untuk menulis sedikit jawapan untuk tatapan masyarakat.

Saya mengira, Umno sewajarnya tidak memainkan isu larangan bacaan al-Quran melalui pembesar suara ini kerana larangan menggunakan pembesar suara di Pulau Pinang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan tidak ada kaitan langsung dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh DAP. Bagi saya, tidak munasabah Umno mahu ‘mencari balah’ dengan Mufti dalam isu yang tidak ada kepentingan politik. Tapi nampaknya, sangkaan saya agak tersasar. Umno yang saya lihat sudah sampai saat kejatuhannya barangkali akan cuba berpaut dengan apa jua dahan untuk mengelakkannya daripada jatuh terhempas dan patah tulang. Isu yang langsung tiada kaitan dengan kerajaan negeri dipolitikkan. Barangkali, jika tiba-tiba terjaga di tengah malam sekalipun, perkataan yang akan terpancul keluar ialah ‘DAP!’ Dalam isu ini, saya bukan menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang, tetapi saya menyokong pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang. Buta maklumatkah golongan ini?

Isu ini sebenarnya sengaja dipolitikkan sehingga menjadi polemik. Saya ingin bertanya kepada Umno, sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini? Sebelum tangan menggapai ke atas, lihat dahulu lantai berpijak. Dasar Umno sendiri ialah kebangsaan dan sekular. Islam tidak pernah ada dalam agenda perjuangan Umno. Justeru, apabila kerajaan Melaka melanjutkan tempoh pusat hiburan beberapa bulan lepas, tidak ada sebarang suara yang menentang daripada Umno. Ada pula yang sibuk mahu menggantikan PAS sebagai pembela Islam. Saya kira, ini sebenarnya satu pengiktirafan terhadap PAS yang telah berjuang sekian lama membela Islam. Barangkali pihak ini ‘tidak tergamak’ untuk menggantikan Umno untuk memperjuangkan Islam. Masakan tidak, bila pula pernah Umno berjuang untuk Islam?

Sesungguhnya Islam itu indah kerana ia diakui sendiri oleh Allah SWT sebagai rahmat. Tetapi sayangnya cara Umno mempersembahkan Islam pada hari ini, saya lihat ia menggerunkan masyarakat bukan Islam. Apa yang tidak diajar oleh Islam, itulah yang diperbesarkan oleh Umno. Manakala apa yang benar-benar termaktub ditidakkan. Bacaan al-Quran di pembesar suara sebelum solat Subuh bukanlah sesuatu yang diajar oleh Islam, jika ia terbukti menganggu dan ada aduan, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Negeri mengeluarkan pandangan. Di Kelantan dengan kebanyakan masyarakatnya muslim mungkin tidak mengira ini sebagai satu masalah, tetapi di Pulau Pinang mungkin keadaannya berbeza. Rasulullah SAW sendiri pernah melarang seorang sahabat yang mengangkat suara di dalam masjid untuk berzikir sehingga mengganggu orang lain. Ini disebut di dalam sebuah hadis :

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ أَوْ قَالَ فِي الصَّلَاةِ

Yang bermaksud : “"Pernah Nabi Muhammad SAW beriktikaf dalam masjid, lalu baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran atau solat) lalu baginda mengangkat tirai dan bersabda: "Ketahuilah sesungguhnya setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan sebahagian kamu mengangkat suara melebihi sebahagian yang lain dalam bacaan, atau sabdanya: dalam solat". – Riwayat Abu Daud.

Bahkan ini pernah ditegur oleh Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam kitabnya Talbis Iblis. Katanya :

وقد لبس إبليس على قوم من القراء فهم يقرأون القرآن في منارة المسجد بالليل بالأصوات المجتمعة المرتفعة الجزء والجزأين فيجمعون بين أذى الناس في منعهم من النوم وبين التعرض للرياء. ومنهم من يقرأ في مسجده وقت الأذان لأنه حين اجتماع الناس في المسجد.

Yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Iblis telah mengaburi terhadap satu golongan dari pembaca al-Quran di mana mereka membaca al-Quran di mimbar-mimbar masjid pada waktu malam dengan suara beramai-ramai yang kuat samada satu juzuk atau dua juzuk lalu mereka telah mengumpulkan di antara menyakiti manusia dengan menghalang mereka daripada tidur dan mendedahkan diri kepada riya’. Dan ada di antara mereka yang membaca al-Quran di masjidnya pada waktu azan kerana pada waktu itulah manusia berkumpul di masjid…” – halaman 3, kitab Talbis Iblis, cetakan pertama 1405H terbitan Darul Kitab al-Arabi, Beirut.

Tidaklah saya ingin memutlakkan pandangan Ibnu Qayyim ini agar diterima semua pihak. Tetapi sekurang-kurangnya sudah ada pandangan dari ulama terdahulu yang menegah untuk dibaca al-Quran dengan kuat di masjid kerana dibimbangi mengganggu tidur masyarakat sekitar. Jika terbukti tidak mengganggu, tidaklah menjadi halangan. Justeru, ia terpulang kepada keadaan setempat dan situasi semasa masyarakat.

Hairannya, judi yang benar-benar dilarang oleh Islam pula nampaknya tidak diendahkan pula oleh Umno. Di Kelantan, kami disaman oleh MCA kerana menghalang premis judi daripada beroperasi dan kes ini sedang disebut di mahkamah. Saya tertanya-tanya, di mana perwira-perwira Umno dalam isu ini? Atau tiba-tiba keris telanjang Ketuanan Melayu menjadi tumpul bila berdepan dengan rakan-rakan di dalam Barisan Nasional?

Saya menyeru kepada Umno, janganlah menjadi tukang solek yang menghodohkan wajah Islam. Islam tertegak di atas hujah, bukan di atas emosi. Apa jua isu, perdebatkan dengan ilmiah bukan dengan provokasi. Sayangnya, saya lihat Umno sangat cenderung untuk menjadikan sesuatu isu sebagai kontoversi kerana dengan talian hayat inilah mereka bernyawa. Hakikatnya, isu perkauman dan pertembungan agama ini sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana. Umno mengharapkan dengan kekeruhan ini, mereka mampu muncul sebagai juara. Mereka lupa, hasil kerja tangan mereka ini bakal menjadikan suasana lebih tidak tenteram dan menjauhkan masyarakat daripada Islam.

Ingatlah, dalam mengendalikan sebarang isu, ambillah pertimbangan kemuliaan bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang. Jangan dibiarkan lidah berbicara sesuatu yang sudah diketahui pembohongannya kerana dibimbangi ia hanya menggandakan dosa di sisi Allah SWT kerana menodai kesucian Ramadhan. Dan biarlah ia juga boleh menjadi jawapan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.



YAB DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 16 Ramadhan 1432H / 16 Ogos 2011M

Monday 8 August 2011

Bedar Sukma Bisu

NOVEL 'Bedar Sukma Bisu' pertama kali diterbitkan pada tahun 2007. Saya baru sahaja selesai membaca karya Faisal Tehrani ini yang sarat dengan idea dan gaya penceritaan yang menarik serta memerlukan kesungguhan untuk proses pencernaan sempurna.

Tidak menghairankan jika 'Bedar Sukma Bisu' mengungguli tempat pertama dalam sayembara mengarang sempena perayaan Jubli Emas DBP. Sungguh, anda akan turut serta 'belayar' bersama Bedar Sukma di lautan 'kehidupan'. - Penduga Arus


Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga : RM 25.00