Friday 31 July 2009

Alexandria


SUDAH agak lama saya tidak berkunjung ke Iskandariah. Lazimnya, apabila saya ke Iskandariah mesti atas urusan kerja. Ya, seingat saya begitu.

Awal Ogos ini saya akan ke Iskandariah sekali lagi. Atas urusan apa? 'Rakyat Iskandariah' mungkin tahu jawapannya.

'Bukan Azhari Jika Tidak Hafaz Al Quran'


MUKA hadapan akhbar 'Suara Al-Azhar' semalam menyentuh mengenai satu-satunya 'keistimewaan' azhariyyun iaitu al-Quran yang dihafaz oleh mereka. Bila disebut azhariyyun tidak ada yang terkecuali termasuklah mahasiswa Malaysia yang menuntut di 'Kiblat Imu' umat Islam ini. Sehingga terbit sebuah ungkapan yang mengatakan 'bukan azhari jika tidak hafaz al-Quran'.

Tahun ini dikejutkan dengan perubahan 'muqarrar' bagi subjek al-Quran yang hanya memerlukan pelajar wafidin (bukan arab dan arab selain Mesir) menghafaz tiga juzuk sahaja berbanding enam juzuk sebelum ini sehingga tamat pengajian.

Dari pemerhatian kasar penulis, rata-rata mahasiswa Malaysia melonjak 'kegembiraan' (mungkin termasuk saya sendiri) dengan perubahan yang dibuat oleh pihak Universiti Al-Azhar ini. Perlu diingat, al-Quran yang kita hafaz itu bukan sahaja menjadi 'syafaat' dalam imtihan tetapi akan menjadi pembela kita di akhirat kelak.

Tambahan : Kemungkinan besar, tahun hadapan 'muqarrar' al-Quran kembali pada yang asal. Tidak mustahil juga jika ada penambahan.

Wednesday 29 July 2009

'Baju Biasa'

"Boleh pakai baju biasa ka di situ?" (merujuk kepada Mesir).

Begitu soalan daripada seorang sahabat (lebih tepat sahabiah) dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) yang diajukan kepada saya semalam.

Diam.

"Maksud 'baju biasa'? giliran saya pula bertanya untuk meminta kepastian.

Saya baru tahu, maksud 'baju biasa' yang dimaksudkan ialah pakaian selain dari tudung labuh dan jubah (khas untuk kaum hawa). Dia semacam tidak percaya melihat pakaian mahasiswi-mahasiswi yang belajar di Mesir (bukan semua). Ada yang memakai seluar 'jin', tudung singkat dan pelbagai lagi. Belum lagi kira yang ber'tabarruj'.


Saya kira dia membayangkan semua mahasiswi kita memelihara akhlak dan etika berpakaian. Walaupun tidak dinafikan masih ramai lagi yang 'sempurna' luar dan dalam. Tidak calar dan tidak pula ada yang terluka. Masih selamat dan kualiti terjamin.

Saya cuba untuk berseloroh. Namun tetap serius menjelaskan.

Mungkin dia faham apabila saya mengatakan tidak semua pelajar datang dari latar belakang yang sama. Kebiasaan yang sudah lama tidak terlalu mudah untuk ditinggalkan. Menjadi 'kewajiban' bagi semua untuk memulihkan keadaan ini. Dia juga seakan menyetujui kenyataan tersebut. Saya kira dia berpuas hati.

Tambahan : Teguran ala 'satira' seperti 'cantik baju kamu hari ini' semacam tidak 'mujarab'. Tukar segera!

Saturday 25 July 2009

Rehlah Matouh-Siwa BKPSM '09 (2)

21, 22 dan 23 Julai 2009. Destinasi Matrouh dan Siwa.

SAYA mengambil keputusan untuk 'bercuti'. Hakikatnya, saya tidak begitu merasakan percutian yang 'sempurna'. Banyak yang perlu difikir. Selepas itu, perlu menentukan 'ya' atau 'tidak'. Tapi, sekurang-kurangnya rehlah kali ini dapat 'merehatkan' minda dan menenangkan perasaan.




Terimbau kembali ketika tahun pertama di Mesir, hampir semua 'cuti-cuti' yang dianjurkan oleh persatuan (BKPSM), saya tidak akan ketinggalan untuk turut serta. Waktu itu saya dapat merasakan 'keakraban' di antara abang-abang, kakak-kakak dan sahabat-sahabat umpama sebuah keluarga. Tidak banyak yang berubah pada hari ini. Saya sudah jadi 'orang tua' (baca : bukan tertua) dan hidup di zaman yang 'berbeza'. Mungkin juga 'rasa' itu sudah tidak seperti dahulu lagi.




Saya dapat merasakan kegembiraan sahabat-sahabat yang mengikuti rehlah ini. Lebih-lebih lagi sudah hampir sepuluh tahun BKPSM tidak menganjurkan rehlah Matrouh dan Siwa. Sekalung ucapan tahniah kepada Biro Kebajikan dan Rehlah BKPSM, yang diketuai oleh saudara Ag. Afzainizam beserta ahli jawatankuasa yang menjadi konduk utama dalam menjayakan rehlah kali ini.

Friday 17 July 2009

Jangan Jatuhkan Kelantan : Dr. Asri


Melihat kepada usaha-usaha islamisasi di Kelantan yang telah dan sedang dilakukan, maka saya berpendapat sebarang kegiatan untuk menjatuhkan Kerajaan Kelantan yang sedang ada amat tidak wajar dan menyanggahi ruh Islami seorang muslim, bahkan jiwa seorang insan biasa yang adil dalam penilaian pun.

Biarlah Kelantan dengan caranya, mereka muslim, mereka cuba memerintah dengan pendekatan yang tidak menyanggahi syariat, sebaliknya cuba memenuhinya. Usaha menjatuhkan Kelantan hanya menimbulkan salahfaham mereka yang bersemangat Islam terhadap Kerajaan Pusat.”

Wednesday 15 July 2009

Marwa al Sharbini : Srikandi Hijab





SAYU hati membaca keratan akhbar mingguan (El Osboa) semalam. Bagaimana nasib seorang muslimah warga Mesir, Marwa al Sharbini yang telah syahid ditikam di sebuah mahkamah Jerman oleh seorang pemuda Rusia yang amat membenci Islam. Hanya kerana Marwa istiqamah memakai tudung, beliau dianggap sebagai pengganas.

Ya, hanya kerana sehelai kain yang menutupi rambut wanita muslimah telah 'menggemparkan' dunia. Seluruh dunia menyaksikan 'kesyahidan' beliau'.

Moga darah yang mengalir dari tubuh Marwa menjadi saksi kepada wanita-wanita yang masih 'degil' untuk memakai tudung serta memelihara aurat dan sebagai pembakar semangat buat umat Islam yang sedang tidur lena.

Allahumma Fasyhhad!

Monday 13 July 2009

Portal Rasmi BKPSM


Selamat berkunjung dan ahlan wa sahlan ke Portal Rasmi Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) yang baharu di http://www.bkpsm.org/v3/


Sejarah Penubuhan BKPSM

Tahun 1977 menjadi saksi kepada langkah pertama kedatangan pelajar Sabah ke Mesir apabila 2 orang pelajarnya berjaya memasuki Universiti Al-Azhar. Jumlah tersebut telah bertambah saban tahun dan akhirnya sebuah marhalah yang pertama telah mengilhamkan kewujudan sebuah badan dengan nama Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir yang pada ketika itu belum berdaftar sebagai sebuah badan rasmi kerana hanya bertujuan untuk menjaga kebajikan ahli yang sedikit.

Namun tarikh 16 Disember 1984 telah menjadi titik sejarah apabila BKPSM yang telah mempunyai ahli seramai 24 orang telah bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dengan nama baru Persatuan Mahasisiwa Sabah Mesir (PMSAM). Pada ketika itu, Tuan Haji Aidi Haji Mokhtar adalah merupakan Yang Di-Pertua pertama BKPSM. Kini beliau merupakan Ketua Hakim Mahkamah Syar’ie Negeri Sabah.

Bagaimanapun apada tahun 1986 atas cadangan PMRAM, nama PMSAM telah diganti semula dengan nama BKPSM. Pada peringkat awalnya PMSAM bimbang atas nama pertukaran ini dengan alasan takut badan-badan berkenaan di negeri Sabah memandang remeh serta kurang memberi perhatian dan kerjasama terhadap persatuan. BKPSM hanya bernaung selama 13 tahun apabila ia keluar dari pertubuhan tersebut pada tahun 1997 untuk berdaftar dan bernaung dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Pada awalnya markaz operasi BKPSM terletak di Syari’ Abdur Rasul yang kemudiannya dipindahkan ke markaz sementara di Hayyu ‘Asyir kerana mahasiwa/wi pada ketika tinggal berasingan. Alhamdulillah, pada tahun 1998 pihak Yayasan Sabah pada ketika itu dipengerusikan oleh Dato’ Seri Panglima Musa Aman berjaya membeli sebuah bangunan di kawasan Abbas EL-Akkad untuk penempatan anak-anak Sabah berikutan pertambahan jumlah pelajar setiap tahun dan akhirnya markaz operasi BKPSM dipindahkan ke bangunan tersebut yang kini lebih dikenali dengan nama Wisma Yayasan Sabah Kaherah (WYSK).


Pengenalan BKPSM

Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir atau akronimnya BKPSM merupakan sebuah persatuan yang menjadi teras dan bernaungnya mahasiswa/wi Sabah di bumi Mesir. Penubuhannya adalah bertujuan untuk menyatukan mahasiswa/wi Sabah dalam satu rumpun kenegerian sebagai satu wadah dalam menggalas misi dan visi kerajaan negeri yang mahu melihat gabungan dan kesatuan ideologi anak-anak Sabah yang menuntut di bumi Mesir. BKPSM bernaung dibawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Yayasan Sabah.

Ditubuhkan pada 16 Disember 1984, kini sudah hampir 23 tahun BKPSM menaungi dan menjaga kebajikan ahlinya. Banyak rintangan yang telah dilalui sepanjang 23 tahun ini demi melihat nama BKPSM terus wujud di bumi anbiya ini. Bermula dengan beberapa orang ahli , kini BKPSM telah mempunyai 100 lebih ahli yang bernaung dibawahnya. Ini menunjukkan bahawa BKPSM telah diberi kepercayaan kerana kemampuannya.

Badan ini diterajui oleh 12 ahli jawatankuasa tertinggi yang telah dilantik melalui sistem pilhanraya setiap tahun. Mereka inilah yang diberi kepercayaan sepenuhnya oleh seluruh ahli BKPSM untuk mengurus dan menjaga kebajikan para ahli disamping menaikkan nama BKPSM setaraf dengan badan kebajikan anak-anak negeri (BAKAN) lain yang ada di Mesir. Di samping itu, 2 orang penasihat akan dilantik berdasarkan persetujuan majoriti ahli jawatankuasa tertinggi BKPSM. Penasihat ini berperanan untuk memberi pandangan yang dapat melicinkan lagi perjalanan persatuan dari segi pentadbiran dan protokol.

Selain daripada menjaga kebajikan ahlinya, BKPSM juga berperanan sebagai satu platform untuk melatih dan mempersiapkan mahasiswa/wi yang bakal menjadi pendakwah untuk berkhidmat di bumi Sabah kelak. Setiap tahun, biro-biro tertentu di bawah badan ini akan terus menyediakan pelbagai program ilmiah sama ada berbentuk kursus, seminar atau forum yang melibatkan mahasiswa/wi Sabah. Kerjasama daripada pihak agensi kerajaan negeri Sabah dan Jabatan Penuntut Mesir Kaherah juga diperolehi dalam usaha ke arah ini.

Sumber : Portal Rasmi BKPSM

'3A' Yang Kebetulan?

MUNGKIN ianya suatu kebetulan.Ya, jika memang ada istilah kebetulan. Sesi 2008/2009 menyaksikan '3A' menerajui kepimpinan dalam persatuan masing-masing;

1)Abdul Mu'izz Bin Muhammad
Presiden, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2009

2)Ahmad Wafi Bin Arshad
Presiden, Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) 2009

3)Amiruddin Bin Mohd Rosdi
Yang Di-Pertua, Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) 2009

Tambahan : 1 dan 3 berada di fakulti yang sama.

Wednesday 8 July 2009

ISLAM dan POLITIK


PENULIS 'disarankan' oleh seorang pengunjung blog ini supaya tidak menulis entri yang ada kaitan dengan politik. Lebih baik menulis hanya berkaitan ISLAM, itu lebih baik katanya.

Mengapa perlu berkata sedemikian? Seolah-olah bila menyentuh tentang politik, itu terkeluar dari landasan ad-din.

Aduh, sungguh menyedihkan jika kita mengatakan ISLAM itu tidak ada kaitan dengan POLITIK. Wajarkah kita hanya berbicara tentang ISLAM sekadar menyentuh bab nikah dan kahwin semata. Atau hanya pada jual dan beli sahaja. Dan tidak lebih sekadar makan dan minum untuk meneruskan kehidupan.

Baca dan hadami secara daqiq Sirah Rasulullah S.A.W. Sepengetahuan penulis, Rasulullah S.A.W tidak pernah memisahkan di antara ISLAM dan POLITIK. Semua perkara yang kita lakukan di atas muka bumi Allah S.W.T hendaklah mengikut acuan ISLAM. Serba-serbi dan tidak ada yang terkecuali.

Jika hendak berpolitik, berpolitiklah mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh syariat ISLAM. Jangan kita pandai-pandai sendiri.

Saya yakin mengatakan bahawa; 'ISLAM itu POLITIK dan POLITIK itu ISLAM'.

Surat Debat Tok Guru Kepada Perdana Menteri


(S)16/7/(21) 9 Rejab 1430 / 2 Julai 2009

Yang Amat Berhormat
Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Jabatan Perdana Menteri
Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 PUTRAJAYA

Assalamualaikum WM WB.

Semoga YAB. Dato’ Seri sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan beroleh petunjuk yang berpanjangan dari Allah SWT dalam memimpin Negara.

YAB Dato Seri,

Cadangan Mengadakan Debat Ilmiah Isu UMNO Parti Menolak Islam

Dengan segala hormatnya, di maklumkan bahawa saya ada menerima khabar tentang laporan polis yang dibuat oleh anak buah di Kelantan Dato’ Seri berhubung dengan perkara di atas. Pada dasarnya, saya lebih banyak berlapang dada.

Mengikut laporan, kononnya saya telah menghasut dengan mengatakan bahawa UMNO sebuah parti yang sesat. Di sini, izinkan saya tegaskan sekali lagi bahawa “mana-mana faham yang menolak Islam (termasuk UMNO) – sememangnya kita panggil ajaran sesat”. (lihat Utusan Malaysia muka surat 6, 27 Jun 2009).

Sebagai penjelasan, mari kita mulakan begini. Pertama, dunia ini bukan dibuat oleh manusia atau terjadi sendiri. Ia ada penciptanya dan tuannya yakni Allah. Oleh sebab itulah kita tidak boleh buat pandai-pandai, melebihi dari apa yang menjadi kehendak “Tuan Punya” yang menjadi tuan rumah kepada seluruh alam ini.

Kedua, al-Quran menetapkan bahawa manusia, tanpa mengira bangsa , bahasa dan keturunan adalah menjadi khalifah-Nya. Kepada manusia pertama iaitu Adam ‘alaihissalam, Allah SWT telah menetapkan bahawa sebarang perbalahan yang berlaku di antara anak buah kamu (lihat sebahagian surah al-Baqarah Ayat 36) akan menjadi reda dan tenang (lihat pula sebahagian Surah al-Baqarah Ayat 38)sekiranya kamu menuruti hidayah-Ku. Atau, maksud kedua-dua perkara ini ada dirangkumkan dengan penuh didalam surah Thoha yang bermaksud, “Allah berfirman:turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama , sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Maka, jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, lalu barangsiapa yang mengikuti petunjuk dari-Ku, ia tidak akan sesat dan celaka.”(Lihat surah Thoha Ayat 123). Ini adalah benda yang menjadi tugas utama yang amat penting para Nabi sejak daripada zaman berzaman termasuk Nabi Muhammad SAW.


Nabi SAW mewajibkan kita membaca Fatihah dalam sembahyang. Di dalam Fatihah, telah ditetapkan tiga perkara pokok. Satu laluan yang betul dan dua yang salah. Ayat “si ro thollazi na an ‘am ta ‘alai him” yang menuntut jalan yang lurus adalah betul manakala ayat “ghoiril maghdhu bi ‘alaihim waladdhol liin” adalah yang salah seperti yang di maksudkan. Aneh, bahkan silapnya Umno ialah Umno tolak yang betul iaitu “siro thollazi na an ‘am ta ” yang menjadi jalan Nabi-Nabi iaitu menolak Islam dan mengambil sistem sekular barat yang tidak pasal-pasal menimbulkan pecah-belah teruk di kalangan seluruh orang Melayu dan orang Islam bukan Melayu di Malaysia. Ini termasuk jugalah perpecahan antara orang Islam dan Non –Islam di negara kita.

Lebih buruk apabila semuanya ini menjadikan orang-orang yang belum Islam terkapai-kapai; yang mana yang sebenar samaada Islam atau sekular. Hasil daripada inilah saya rasa sudah sampai masanya untuk mengajak Presiden Umno yang menjadi Perdana Menteri sekarang ini bersemuka dengan saya di atas dasar “waja dil hum billati hiya ahsan” yang bermaksud, “serulah manusia pada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan nasihat yang baik “(Sebahagian dari maksud surah an-Nahl Ayat 125).

Persoalan yang ada di hadapan kita sekarang ialah kenapa Umno tolak Islam sedangkan Islam adalah jalan yang bersifat “siro thol mustaqiim”? Bahkan, sikap Umno melawan PAS sedangkan PAS yang ditubuhkan sejak 1951 meletakkan Islam sebagai dasar adalah sebuah kekeliruan yang cukup dahsyat. Pegangan Umno yang menolak jalan yang lurus inilah yang saya ertikan sebagai boleh membawa kepada perpecahan dan kesesatan.

Menyamakan atau membandingkan ajaran Ayah Pin atau komunis dengan UMNO yang menolak Islam adalah sekadar mematuhi kaedah al-balaaghah. Ini penggunaan perumpamaan atau kiasan semata-mata. Jauh dari segi maudhu’, ia bertujuan untuk menjelaskan bagaimana aliran asal sekularisme yang menolak agama khususnya Islam dari pemerintahan. Ini punca sebenar atau ibu kepada segala kesesatan. Apabila sekularisme itu adalah faham yang sesat, maka tidakkah faham kebangsaan yang merupakan cabang dari ajaran sekular bawaan Parti Kebangsaaan Melayu Bersatu (UMNO) itu juga turut sesat?

Seperti yang kita sedia maklum, perdebatan diterima oleh Islam dan diterima oleh demokrasi. Ia perkara fitrah dan perkara sedunia. Contoh terdekat ialah perdebatan antara Obama dengan saingan beliau dari parti Republikan. Begitu juga dengan debat antara calun-calun Presiden Indonesia terkini yang sedang berlangsung di Jakarta yakni antara regu Susilo Bambang Yudhono/Boediono, Megawati Soekarnoputri/Prabowo Subianto dan Jusuf Kalla/Wiranto.

Jika di Eropah dan negara negara demokrasi yang lain, debat lebih ditumpukan kepada perkara-perkara cabang yang bersifat keduniaan semata-mata maka apa salahnya jika kali ini kita perbahaskan perkara pokok yang menyentuh aqidah? Masalah yang saya bawa ini adalah perkara aqidah yakni persoalan tunjang yang menyentuh kedua-dua kepentingan secara bersekali, dunia dan akhirat.Jika tidak betul aqidah, sembahyang pun tidak diterima. Dunia demokrasi yang sekular; mana ada pedulikan masalah aqidah dan persoalan “sesat tak sesat”? Soal sesat atau tidak, ini istilah ugama. Ini bukan isu perlembagaan dan undang-undang.


Sesat seperti yang terdapat di hujung surah al-Fatihah (adho- Lliin) bererti dholalah yakni tidak bertemu atau berjumpa jalan.Kita perlu sama-sama sedar bahawa jalan yang boleh diharap hanyalah jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ini persoalan “huda llil muttaqiin” yakni jalan yang menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa (lihat sebahagian maksud al-Baqarah Ayat 2). Tak turut jalan inilah apa yang dipanggil sesat.
Tidak timbul sama sekali soal menghasut atau mencetuskan keresahan. Ini isu ugama sepenuhnya. Ini persoalan teguran dan dakwah.

Demi mencari kejernihan dan menghentikan polemik, saya mohon mencadangkan sebuah debat ilmiyyah dianjurkan dalam tempoh terdekat kearah menjelas dan merungkai segala kemusykilan dari kedua-dua perspektif parti bertajuk “kerana apa Umno tolak Islam dan kerana apa Umno lawan PAS”; tidak lebih daripada itu. Insya Allah, saya bersedia untuk bersama Dato’ Seri Perdana Menteri dalam majlis berkenaan tanpa meletakkan sebarang syarat. Lantiklah mana-mana mufti atau salah seorang sarjana yang faqih lagi amanah, baik dari dalam mahupun luar Negara untuk menjadi pemudah cara yang adil bagi tujuan ini. Tempat yang sesuai boleh ditetapkan oleh pihak Dato’ Seri, baik di Kuala Lumpur atau di mana-mana. Hari dan masa juga adalah mengikut kelapangan dan keselesaan YAB. Saya boleh mematuhi kepada apa jua ketetapan asalkan Dato’ Seri bersedia untuk bersama dalam sebuah rapat ilmiyyah untuk dibuat siaran langsung demi manfaat Negara.

Seluruh rakyat akan menjadi hakim di atas pelbagai sandaran yang saya maksudkan ketika mengatakan apa yang telah saya sebut mengenai fenomena UMNO dengan persoalan kesesatan ini.

Jadi, sekali lagi saya dengan ikhlas mengangkat cadangan ini agar sudilah apa kiranya YAB. Dato Seri menerima pelawaan ini mengikut kesesuaian tarikh Dato” Seri demi kebaikan bersama. Semoga diizinkan Allah. Terima kasih, Wasalam.


Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Saturday 4 July 2009

...


Hati mati...
kembali pada Ilahi
Usah lemah
kau lelaki

'Mencari Damai di Hati' 4 - 7 JULAI 2009