Monday, 13 July 2009

Portal Rasmi BKPSM


Selamat berkunjung dan ahlan wa sahlan ke Portal Rasmi Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) yang baharu di http://www.bkpsm.org/v3/


Sejarah Penubuhan BKPSM

Tahun 1977 menjadi saksi kepada langkah pertama kedatangan pelajar Sabah ke Mesir apabila 2 orang pelajarnya berjaya memasuki Universiti Al-Azhar. Jumlah tersebut telah bertambah saban tahun dan akhirnya sebuah marhalah yang pertama telah mengilhamkan kewujudan sebuah badan dengan nama Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir yang pada ketika itu belum berdaftar sebagai sebuah badan rasmi kerana hanya bertujuan untuk menjaga kebajikan ahli yang sedikit.

Namun tarikh 16 Disember 1984 telah menjadi titik sejarah apabila BKPSM yang telah mempunyai ahli seramai 24 orang telah bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dengan nama baru Persatuan Mahasisiwa Sabah Mesir (PMSAM). Pada ketika itu, Tuan Haji Aidi Haji Mokhtar adalah merupakan Yang Di-Pertua pertama BKPSM. Kini beliau merupakan Ketua Hakim Mahkamah Syar’ie Negeri Sabah.

Bagaimanapun apada tahun 1986 atas cadangan PMRAM, nama PMSAM telah diganti semula dengan nama BKPSM. Pada peringkat awalnya PMSAM bimbang atas nama pertukaran ini dengan alasan takut badan-badan berkenaan di negeri Sabah memandang remeh serta kurang memberi perhatian dan kerjasama terhadap persatuan. BKPSM hanya bernaung selama 13 tahun apabila ia keluar dari pertubuhan tersebut pada tahun 1997 untuk berdaftar dan bernaung dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Pada awalnya markaz operasi BKPSM terletak di Syari’ Abdur Rasul yang kemudiannya dipindahkan ke markaz sementara di Hayyu ‘Asyir kerana mahasiwa/wi pada ketika tinggal berasingan. Alhamdulillah, pada tahun 1998 pihak Yayasan Sabah pada ketika itu dipengerusikan oleh Dato’ Seri Panglima Musa Aman berjaya membeli sebuah bangunan di kawasan Abbas EL-Akkad untuk penempatan anak-anak Sabah berikutan pertambahan jumlah pelajar setiap tahun dan akhirnya markaz operasi BKPSM dipindahkan ke bangunan tersebut yang kini lebih dikenali dengan nama Wisma Yayasan Sabah Kaherah (WYSK).


Pengenalan BKPSM

Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir atau akronimnya BKPSM merupakan sebuah persatuan yang menjadi teras dan bernaungnya mahasiswa/wi Sabah di bumi Mesir. Penubuhannya adalah bertujuan untuk menyatukan mahasiswa/wi Sabah dalam satu rumpun kenegerian sebagai satu wadah dalam menggalas misi dan visi kerajaan negeri yang mahu melihat gabungan dan kesatuan ideologi anak-anak Sabah yang menuntut di bumi Mesir. BKPSM bernaung dibawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Yayasan Sabah.

Ditubuhkan pada 16 Disember 1984, kini sudah hampir 23 tahun BKPSM menaungi dan menjaga kebajikan ahlinya. Banyak rintangan yang telah dilalui sepanjang 23 tahun ini demi melihat nama BKPSM terus wujud di bumi anbiya ini. Bermula dengan beberapa orang ahli , kini BKPSM telah mempunyai 100 lebih ahli yang bernaung dibawahnya. Ini menunjukkan bahawa BKPSM telah diberi kepercayaan kerana kemampuannya.

Badan ini diterajui oleh 12 ahli jawatankuasa tertinggi yang telah dilantik melalui sistem pilhanraya setiap tahun. Mereka inilah yang diberi kepercayaan sepenuhnya oleh seluruh ahli BKPSM untuk mengurus dan menjaga kebajikan para ahli disamping menaikkan nama BKPSM setaraf dengan badan kebajikan anak-anak negeri (BAKAN) lain yang ada di Mesir. Di samping itu, 2 orang penasihat akan dilantik berdasarkan persetujuan majoriti ahli jawatankuasa tertinggi BKPSM. Penasihat ini berperanan untuk memberi pandangan yang dapat melicinkan lagi perjalanan persatuan dari segi pentadbiran dan protokol.

Selain daripada menjaga kebajikan ahlinya, BKPSM juga berperanan sebagai satu platform untuk melatih dan mempersiapkan mahasiswa/wi yang bakal menjadi pendakwah untuk berkhidmat di bumi Sabah kelak. Setiap tahun, biro-biro tertentu di bawah badan ini akan terus menyediakan pelbagai program ilmiah sama ada berbentuk kursus, seminar atau forum yang melibatkan mahasiswa/wi Sabah. Kerjasama daripada pihak agensi kerajaan negeri Sabah dan Jabatan Penuntut Mesir Kaherah juga diperolehi dalam usaha ke arah ini.

Sumber : Portal Rasmi BKPSM

1 comment:

abunuha said...

Tahniah amir. Nama pun amir. Semoga menjadi pemimpin yang amanah