Saturday 30 May 2009

Seorang MUFTI


Seorang mufti...
bila berbicara
jangan berpihak sesiapa
periksa asalnya
biar jelas segala
usah mengundang gempita

Thursday 28 May 2009

Bola Sepak dan Dakwah Islamiah

SEMALAM saya turut menyaksikan Final Bola Sepak Liga Juara-Juara Eropah di antara Barcelona dan Manchester United. Hasilnya, Barcelona ditabalkan sebagai 'Raja Eropah' usai membenam 'Red Devils' dengan skor 2-0.

Selesai kisah Final Liga Juara-Juara Eropah.


Sedar atau tidak kita sebenarnya boleh belajar dari 'makna' yang tersirat di sebalik sebuah pasukan bola yang dibentuk dengan begitu mantap dan profesional. Tidak keterlaluan jika 'intipati' dari bola sepak mampu diterjemah dalam diri setiap dai'e penyebar agama Allah di muka bumi. Sepertimana sebuah pasukan memerlukan kerjasama berpasukan dalam bola sepak, begitu juga halnya dengan sesebuah jemaah yang membutuhkan semangat dan kerjasama dalam merealisasikan misi dakwah islamiah tercapai.

Siapa yang tidak mengenali Diego Armando Maradona? Kehebatan dan kelincahannya dalam mengawal bola memang diakui. Begitu juga dengan Zinedine Zidane yang mampu mengatur perancangan yang mantap di dalam padang. Inilah yang disebut dengan 'individual skill' atau kemahiran individu. Persoalannya; cukupkah hanya seorang sahaja yang hebat dengan 'individual skill' ini mampu menjaringkan gol ke tempat lawan? Mampukah hanya seorang Zidane mengawal bola dan menjaringkan gol tanpa bantuan dan 'assist' daripada rakan sepasukan yang lain? Jawapannya : sudah tentu TIDAK.


Begitulah juga dalam konteks dakwah islamiah. Seorang dai'e yang hebat bukanlah kerana dia 'berjalan' berseorangan dalam berdakwah. Saya teringat dengan ungkapan al-Fadhil Ustaz Nasruddin Tantawi yang mengatakan; 'Bebas berdakwah ya, tapi bukan pendakwah bebas'. Dengan erti kata lain, kerjasama dan kesungguhan kita dengan jemaah (kumpulan) amatlah diharapkan dan jangan bergerak secara sendirian. Di dalam jama'ah pertolongan daripada rakan-rakan seperjuangan amat diperlukan dalam memastikan survival dakwah berjaya.

Kita perhatikan pula dalam sebuah pasukan bola sepak, setiap pemain mempunyai posisi yang telah ditentukan. Ada yang bermain di posisi pertahanan, tengah dan sebagai penyerang. Tidak ketinggalan juga benteng terakhir iaitu penjaga gol. Tidak akan sempurna sesebuah pasukan jika salah satu dari posisi ini dikosongkan. Bayangkan jika penjaga gol utama tidak berada di dalam pasukan. Apa akan terjadi? Sebagai contoh semasa perlawanan akhir Liga Juara Eropah pada tahun 2006 di antara Arsenal dan Barcelona di mana penjaga gol Arsenal ketika itu, Jens Lehman dilayangkan kad merah menyebabkan keputusan lebih berpihak kepada Barcelona.


Tidak boleh tidak, bergerak secara berpasukan atau secara jemaah amat mustahak bagi para dai'e. Seorang diri tidak akan mampu untuk menggerakkan semua lapisan masyarakat. Seorang dai'e tidak berupaya mentarbiah golongan sasaran (mad'u) tanpa adanya pertolongan dan semangat daripada sahabat-sahabat di dalam jemaah. Setiap kita mempunyai peranan masing-masing dalam melicinkan kerja-kerja dakwah. Tangan (kuasa) yang dikurniakan kepada kita amat terbatas dan sudah selayaknya memerlukan sokongan orang-orang di sekeliling kita. Rasululah S.A.W bersada mafhumya : “Perumpamaan antara seorang mukmin dengan yang lainnya adalah seperti sebuah binaan yang mengukuhkan antara satu sama lain.”

Kita bermula dengan 'training' diri sendiri sebelum cuba untuk bermain di padang yang sebenar. Mulakan menghadam konsep tarbiah diri sebelum memulakannya kepada orang lain. Janganlah kita mengimpikan semuanya manis dan dihiasi bebungaan di dalam perjuangan. Letakkanlah keyakinan kita hanya kerana Allah agar sentiasa sabar dan istiqamah walaupun pelbagai mehnah datang menimpa.

Selagi diri masih mampu untuk bernafas, selagi kaki masih mampu melangkah dan sebelum 'wisel' penamat ditiup, perjuangan mendaulatkan agama Allah akan tetap diteruskan.

Tuesday 26 May 2009

Falsafah atau Falsampah?


MANUSIA apabila gembira, akan tertawa. Bila sedih, dia menangis. Itu yang paling basis.

Dia mungkin seorang yang berilmu, tapi boleh jadi dia juga seorang yang 'bodoh'. Itu merupakan sebuah kebarangkalian atau memang kenyataan.

Tiba-tiba suasana politik Malaysia (khasnya di Perak) sekarang ini jadi kelam-kabut (memang caca marba pun). Kenapa? Mungkin boleh diibaratkan begini; Mereka lebih 'mengetahui' disiplin ilmu Qawaid al-Fiqhiyyah : 'Apabila bertemu antara yang halal dan haram, maka yang haram akan menang. Jadi, Nizar vs Zambry? Fikir sendiri...

Ini pula ungkapan mantan Presiden Amerika, Franklin Delano Roosevelt; "in politic, nothing happen by accident, if it happened it was planed that way". Mungkin ada kebenarannya.

Dan sekarang, semakin ramai yang hebat berfalsafah. Katanya; dia belajar pelbagai falsafah : Socrates, Hitler dan Karl Max, mana yang dia tidak tahu? Malangnya, dia mendahulukan neraca falsafah berbanding ISLAM itu sendiri.

Terlalu banyak yang sekadar 'celup' sekarang ini. Ambil sebahagian dan tinggalkan sebahagian yang lain. Katanya; ini lah yang TULEN. Dijamin 100% HALALAN TOYYIBAN. Hakikatnya, hampeh!

Akhirnya, jangan biarkan diri anda diselubungi misteri. Jangan pula kita sendiri 'membakul-sampahkan' falsafah-falsafah yang biasa kita ungkapkan selama ini.


Tambahan : Sesiapa yang makan lada mestilah terasa pedas, takkan rasa manis pula. Melainkan yang makan lada, telah hilang deria rasanya.

Monday 25 May 2009

Buku Sejarah : 1964 M


GAMBAR ini merupakan antara sebuah kedai buku 'siring jalan' yang terdapat di Kaherah, Mesir. Tepatnya di Hayyu 'Asyir berhadapan dengan Masjid al-Rahmah. Pelbagai jenis buku boleh ditemui di sini. Dari buku mengenai pertanian hingga ke novel berbahasa Inggeris. Sesiapa yang belum pernah berkunjung ke sini, boleh mencuba.

Siapa sangka saya akan jumpa sebuah buku sejarah yang telah diterbitkan pada tahun 1964 M di kedai ini. Fuh! Usianya lebih kurang 45 tahun. Walaupun saya terpaksa membayar nilai buku ini sebanyak LE50 (Egypt Pound). Tidak mengapa. Buku ini amat besar ertinya. Buku sejarah apa ya? Buku ini menceritakan rentetan sejarah mengenai pusat pendidikan terawal di bumi Mesir iaitu, Al-Azhar : AL-AZHAR - Sejarah dan Evolusinya.


Mengikut catatan di buku ini, Al-Azhar (ketika itu Masjid Al-Azhar) telah didirikan pada tahun 359 H (971 M) oleh Jeneral Jawhar al-Saqili. Hanya pada tahun 361 H, solat ditunaikan buat pertama kalinya di Masjid tersebut. Dalam buku ini juga telah dicatatkan nama syeikh Al-Azhar yang pertama iaitu, Syeikh Muhammad Abdullah al-Khurasyi al-Maliki.

Thursday 21 May 2009

Pertanyaan Orang-Orang Kampung

SEMASA di tanah air dahulu (Sabah Tanah Airku), sebelum menjejakkan kaki ke Mesir, orang-orang kampung memang sudah memanggil saya sebagai 'ustaz' (tidak layak lagi). Dan kerana itu juga, pelbagai persoalan sering dilontarkan kepada saya. Biasanya lebih kepada soalan-soalan berbentuk hukum-hakam agama. Apa yang boleh saya jawab, saya akan jawab. Apa yang saya tidak tahu, saya katakan tidak tahu.

Lazimnya, orang yang bertanya berniat untuk tahu dan mendalami sesuatu perkara yang dia tidak tahu. Ini dinamakan sebagai TAFAQQUH dan amat digalakkan. Berbeza dengan orang yang bertanya dengan niat untuk berdebat atau mempermain-mainkan sesuatu perkara. Ini disebut TAFAKKUH dan tidak sepatutnya dilakukan.

Saya melihat, pertanyaan yang diajukan oleh orang-orang kampung semuanya berbentuk soalan tafaqquh. Apa yang menarik, soalan-soalan daripada mereka kekadang tidak pernah terfikir dek minda kita. Sekali fikir, soalan-soalan sebegitu seperti 'main-main'. Tapi, mereka memang ingin tahu sebenarnya.

Sebagai contoh, saya pernah ditanya; Ustaz, apakah hukum solat di bulan? Mahu saja saya menjawab seperti ini, 'tidak ada tempat lain lagikah untuk solat?' Hakikatnya, soalan tersebut telah pun dibincangkan oleh para ulamak. Menjadi tanggungjawab kita untuk menerangkan kepada masyarakat akan setiap perkara yang kurang jelas bagi mereka.


Kita juga seharusnya bijak menggunakan 'skill' dalam menjawab persoalan yang diajukan yang boleh membuat mereka berfikir. Saya juga pernah ditanya; di antara Nabi Adam dan dinosaur, mana lebih dulu wujud? Saya tanya kepada dia pula; adakah dinosaur itu benar-benar wujud? Kalau benar, saya akan jawab soalan kamu. Akhirnya dia mengakui, dia sendiri pun tidak dapat memastikan kesahihan bahawa wujudnya dinosaur. Dari itu, kita dapat mengajak masyarakat untuk berfikir tentang perkara-perkara yang lebih penting untuk dibincangkan.

Tidak salah untuk bertanya jika ianya memberi manfaat. Bertanyalah seandainya anda benar-benar tidak tahu. Kepada yang ditanya, janganlah anda malu untuk berkata "saya tidak tahu", jika anda tidak tahu. Itu lebih baik dari berlagak seperti tahu.

Monday 18 May 2009

Dari Akhbar : Dasar Islam jadikan PAS terus utuh - Presiden

BERA 18 Mei (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempertegaskan bahawa dasar Islam adalah punca kekuatan PAS selama ini.

Katanya dengan dasar itu, Kerajaan PAS gagal dijatuhkan walaupun dengan kekuatan majoriti hanya satu kerusi di Kelantan apabila wakil Rakyat PAS gagal dibeli walaupun dengan nilai yang amat tinggi.

"Adun PAS mempunyai kekuatan akidah yang kental untuk menolak tawaran-tawaran yang dibuat kepada mereka," kata beliau ketika berucap pada Majlis Penerangan di Darul Ikhwan, Bera.


Menceritakan sejarah lampau, beliau berkata, Umno melakukan pengkhianatan terhadap rakyat yang memilih PAS memerintah di Kelantan dan Terangganu sekitar tahun 1960-an dengan melakukan sabatoj dan penculikan Adun dalam usaha untuk mejatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat.

"Di Terengganu mereka membeli Adun Parti Negara dan akhirnya berjaya menjatuhkan kerajaan PAS di negeri itu, di Kelantan pula Adun PAS diculik dan dibawa ke Kuala Lumpur kemudian dibawa ke persidengan Dun Kelantan, Namun Adun PAS berkenaan tidak menyokong undi tidak percaya menyebabkan Kerajaan Kelantan gagal di jatuhkan.

"Kini diulangi pula di Perak dalam usaha untuk berkuasa selepas ditolak rakyat dalam pilihan raya umum," ujarnya.

Menurut Tuan Guru, jika di negara maju, perbuatan Umno itu boleh menjatuhkan kerajaan pusat kerana di dalam negara demokrasi rakyat adalah hakim tertinggi adalah rakyat, bila kerajaan lemah rakyat akan menggantikannya dengan kerajaan baru.

"Bagaimanapun di negara kita, tahap kefahaman politik rakyat masih rendah dan mereka tidak memahaminya menyebabakan Umno-BN terus berkuasa walaupun melakukan pelbagai perkara yang mencemarkan demokrasi," ujar beliau.

Mengenai PAS, beliau menegaskan semua pihak mempunyai peranan tersendiri termasuk golongan profesional malah katanya, golongan profesional terlibat sama dalam menubuhkan PAS.

PAS, katanya pernah dipimpin oleh Dr Abas dan ramai tokoh profesional di dalam PAS termasuklah Tan sri Aminuddin Baki, Prof Ahmad Ibrahim dan lain-lain.

Menurutnya, laporan media kononya PAS bergolak hanyalah laporan media di luar PAS yang tidak memahami dan melihat PAS dari dalam.

"Umpama kita mengubah suai rumah kedengaran riuh dari luar wal hal kita mengemas rumah dan mengalih parabut, memanglah kedengaran dari luar bising tetapi kita di dalam tahu apa sedang kita buat," katanya.

Sumber : HarakahDaily.Net


Penduga Arus; Merindukan khilafah Islamiyyah tertegak kembali. Yaa Allah, saksikanlah para pejuang agama-Mu.

Saturday 16 May 2009

Selamat Hari Guru


GAMBAR di atas merupakan potret sebahagian daripada guru-guruku di Sekolah Menengah Ugama Islam Papar, Sabah Malaysia (SMUIP). Merekalah yang telah mengajar diri sahaya menjadi seorang manusia, dan memanusiakan manusia yang lain.

"Terima Kasih, Cikgu"

Dahulu; seorang guru umpama sebatang lilin yang membakar diri menerangi kegelapan

Sekarang; seorang murid menghidupkan api membakar seorang guru...

SELAMAT HARI GURU.

Thursday 14 May 2009

Pengenalan Kepada Hukum HUDUD

Hudud merupakan seberat-berat bahagian dari hukuman (iqob) dalam syara’, kerana ianya (hudud) menuntut untuk meninggalkan sebesar-besar bahagian kejahatan dan jenayah serta permusuhan dari apa yang disebut sebagai pelanggaran ke atas undang-undang Islam yang asas yang disebut sebagai perkara yang sangat perlu (dhoruri) bagi mengekalkan bahagian dari kemanusiaan, dan ia bergantung kepada kepentingan yang besar (Masolih al-Kubra) dalam kehidupan iaitu : AGAMA, JIWA, AKAL, KETURUNAN DAN HARTA. Dengan hukuman hudud inilah yang akan memelihara, menjaga dan mengekalkan (Masolih al-Kubra).

Pengertian (takrif) Hudud :

Hudud : jama’ dari kalimah had, dan dari segi bahasa : mencegah atau melarang.

Para fuqaha’ telah memberi pengertian (had) : hukuman yang ditentukan oleh syara’ dengan ketetapan Allah SWT,dan hukuman yang ditentukan oleh syara’ mengikut ketetapan Allah SWT ini ada enam iaitu : had bagi perzinaan, had tuduhan (qazaf), had pencurian, had meminum minuman yang memabukkan, had peperangan dan had murtad.

Sifat-sifat yang berkaitan dengan Hukum Hudud :

1) Hukum hudud ditentukan dari syara’, maka tidak menerima apa-apa penambahan ke atasnya, dan tidak juga berlaku pengurangan, berbeza dengan ta’zir, iaitu hukuman yang ditentukan oleh pemerintah.

2) Hukum hudud merupakan hak Allah SWT, berbeza dengan hukuman qisas.

3) Hukum hudud tidak menerima kemaafan, kerana kemaafan itu terletak daripada empunya hak (Allah SWT), dan had adalah hak Allah SWT, maka tidak ada kemaafan di dunia.

4) Hukum hudud tidak menerima syafaat, sepertimana kisah Simar dalam hadith Usamah Radhiallahu ‘anhu.

5) Hukum hudud tidak menerima pembatalan, maka apabila telah jatuh hukuman (thabit), tidak ada hak ke atas pemerintah, hakim atau wakil kerajaan untuk membatalkannya.

6) Hukum hudud sebagai denda bagi empunya dosa yang dilakukannya, maka tidak akan dihukum ke atasnya kali yang seterusnya, seperti dalam hadith al-Juhaniyyah.

7) Hukum hudud menyembunyikan perkara-perkara yang syubhat (keraguan), kerana hukum hudud merupakan hukuman yang sempurna, maka semestinya sesuai dengan kejahatan yang sempurna, jika didapati keraguan akan gugur hukuman had dan berpindah kepada hukuman ta’zir.


#Penulis menggunakan ayat sendiri dari kitab Mu'tamad Fi Feqh al-Syafi'e Jilid Kelima karangan Ustaz Muhammad al-Zuhaily, Dekan Kulliyyah Syariah dan Pengajian Islam, Universiti al-Syariqah, Syria.


Tambahan:

Saya berkata kepada seorang sahabat; Engkau yakin dengan undang-undang Allah (hudud)?

Dia menjawab; Yakin bah!(bahasa Sabah) tapi bagaimana hendak melaksanakannya?

Tuesday 12 May 2009

Fatwa Prof. Dr. Ali Jum’ah : Adakah ayat dari Surah al-Ahzab menunjukkan ke atas kawajipan memakai niqob (purdah)?

Soalan : Apakah yang dimaksudkan dengan ayat al-Quran al-Karim (يأيها النبي قل لأزوجك وبناتك ونساء المؤمنين يدنين عليهن من جلبيهن - الأحزاب : 59 adakah ayat ini menunjukkan ke atas kewajipan memakai niqob (purdah)?

Jawapan : Ayat ini membawa makna bahawa sesungguhnya wanita seperti yang telah disebutkan : oleh Nabi SAW dengan apa yang telah dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunan-nya (Sunan Abu Daud) daripada Asma’ binti Abu Bakar ketika mana dia masuk ke dalam rumah dengan tersingkap rambutnya (kepala) di hadapan Rasulullah SAW (Wahai Asma’, sesungguhnya wanita apabila telah datang haid) iaitu telah sampai ketetapan sebagai seorang wanita : Datang haid, dan haid itu sebagai tanda baligh (puber), tanda kedewasaan, tanda bermulanya kewajipan (taklif).

Seorang manusia yang masih kecil, sebelum tibanya marhalah kematangan (baligh) tidak dipertanggungjawab ke atasnya sesuatu kewajipan (bukan mukallaf), akan tetapi ketika dia telah sampai ke marhalah kematangan (baligh) maka dia telah dikira sebagai seorang yang mukallaf.

Maka seorang wanita apabila telah datang haid iaitu mencapai usia remaja (tidak boleh memperlihatkan daripadanya (aurat) kecuali ini dan ini) dan Nabi mengisyaratkan kepada muka (wajah) dan telapak tangan di dalam sembahyang (solat).
Imam Malik berpendapat dengan mengatakan : Sesungguhnya niqob tidak dibolehkan melainkan dua keadaan :

1)Menjadi satu kebiasaan (adat)rakyat dalam sesebuah negara seperti itu (berniqob)

2)Sesorang wanita yang amat jelita, maka dengan demikian harus baginya menutup keseluruhan wajahnya (berniqob).

Dan dijawab : Adakah ayat ini menujukkan ke atas niqob?

Dan kami mengatakan : Sesungguhnya ayat ini tidak menunjukkan ke atas niqob, akan tetapi tidak juga menafikan ke atas niqob.

Dan sesungguhnya dikatakan : bahawasanya pakaian yang dipakai tidak boleh tidak (mesti) keadaannya luas menutupi, tidak nipis, tidak memperlihatkan potongan badan dan mestilah menutupi semuanya (aurat) kecuali muka dan dua telapak tangan, dan jika ditutup kedua-duanya pun tidak mengapa.

-Akan tetapi di sana ada perbezaan yang besar di antara yang mengatakan ayat ini menunjukkan tentang niqob dan menjadikan niqob ini sebagai satu kewajipan berpandukan ayat ini, maka ini adalah tidak tepat, kerana ia tidak ada dalam nas akan tetapi ia adalah sebagai penafsiran (takwil) sahaja.


#Penulis menaqalkan dari kitab Fatwa Kontemporari Bahagian Pertama tulisan Prof. Dr. Ali Jum'ah, Mufti Republik Arab Mesir.

Sunday 10 May 2009

Seuntai Doa Buat Ibu


Seuntai Doa Buat Ibu

Selamat Hari Ibu buat Mak yang sangat kucintai, Puan Siti Sarah Bt Darus. Ibu yang sentiasa menanti kepulanganku. Menghadam aroma kerinduan, menelusuri erti sayu dan pilu. Senyum di wajahnya biarpun terpaksa menelan keperitan. Maafkan anakmu jika pernah membuat air matamu yang suci jatuh ke bumi. Engkau insan pertama yang mengajar aku erti hidup. Yaa Allah, Rahmatilah Ibuku....

Seandainya saja ada bas tambang dari Cairo ke Papar... Yaa Allah, hanya Engkau Yang Maha Mengerti...



Di saat kita berjauhan

Rasa ingin ku berlari

Mendakapimu penuh girang

Bak si kecil kehilangan



kau insan penyayang

betapa ku merindu

Lembutnya belaian ibu




Di keheningan senja,

Amiruddin Mohd Rosdi

Saturday 9 May 2009

Fikah Ekonomi

INI merupakan sebahagian muqarrar (silibus) bagi Mahasiswi Tahun Dua Jurusan Syariah Islamiah,di Kulliyah Banat Universiti al-Azhar, Kaherah yang saya terjemah dari buku Ensiklopedia Ekonomi Islam, Jilid Pertama terbitan Dar al-Salam. Mudah-mudahan memberi manfaat kepada kita semua.


بيعتين في بيعة (Bai’atain fi bai’ah)

(Rasulullah SAW menegah (larang) Bai’atain fi bai’ah)*

Para Fuqaha’ telah mentafsirkan hadith ini dengan pelbagai keadaan;

1 - Sama ada dua barang yang berharga dengan dua harga, contoh : Aku menjual kepada engkau barang dagangan ini dengan harga begini atas aku menjual kepada engkau rumah ini dengan harga begini, atau mengatakan : Aku menjual kepada engkau hamba (ghulam) ini dengan satu dinar atau yang lain dengan dua dinar.

2- Barang yang berharga dengan dua harga, seperti salah satu dari dua harga tersebut adalah duit dan yang lain adalah secara kredit, dan memisahkan (kedua-duanya) sebelum bersetuju atas salah satu dari dua harga tersebut, atau dikatakan aku menjual pakaian ini dengan duit ini atas aku membelinya daripada engkau pada waktu ini dengan harga ini.

3 – Dua barang yang berharga dengan satu harga, contoh dikatakan : salah satu daripada dua pakaian ini dengan harga ini.

Secara keseluruhan para Fuqaha’ bersetuju (muttafiqun) bahawa risiko (gharar) yang banyak dalam urusan jual beli adalah tidak diharuskan dan jika sedikit diharuskan.

*Hadith Riwayat al-Tirmidzi dan al-Nasaie

*****************************************

بيع الثنيا (Bai’ al-Thunyaa)

Daripada Jaabir : Sesungguhnya Rasulullah SAW menegah dari Bai’ al-Thunyaa*

Dimaksudkan dengan al-Thunyaa ialah pengecualian dalam penjualan, seperti seorang lelaki menjual sesuatu dan mengecualikan yang lainnya.

Maka jika yang dikecualikan itu benda yang diketahui seperti mengecualikan sebuah dari pokok-pokok atau sebuah rumah dari rumah-rumah atau tempat yang telah diketahui di dunia , jual beli sahih secara (ittifaq).

Dan jika tidak diketahui (majhul) seperti mengecualikan sesuatu yang tidak diketahui tidak sahih jualan.

*Sahih Muslim

***********************************

بيع المزابنة(Bai’ al-Muzabanah)

Rasulullah SAW menegah dari al-Muzabanah dan al-Muhaqalah*

-Muzababah : Menjual buah dari pohon kurma (tamar al-nakhl) dengan buah kurma (tamar).

Muhaqalah : Menjual tanaman gandum dan mengganti tanah (al-Ardh) dengan gandum.

Muzabanah dari segi bahasa : Dari langganan (al-zabn) iaitu membayar, seperti mana setiap satu (semua) dari keduanya membayar dari dasarnya.

Istilah : Menjual sesuatu dari kurrma yang masak (rutob) kering dari jenisnya dengan sebuah ketentuan.

Imam al-Syaukani berkata : Diikuti dengan jumhur dengan yang demikian bagi setiap yang tidak diketahui dengan yang tidak diketahui (majhul) atau yang diketahui dari jenis yang berlaku padanya riba.

Dan berkata Ibn Rusyd : (Jumhur Fuqaha’ menjadikan pekerjaan dengannya, berkata Imam Malik dalam Muwatta’-nya sebagai analogi (perbandingan) ke atas justifikasi (penjelasan) hukum dalam hadith ini. Dan begitu juga menjual rutob kering dari jenisnya adalah haram iaitu mencegah persamaan seperti daging kering dengan rutob)

*Sahih Muslim

*********************************

بيع العينة (Bai’ al-‘Ainah) – Penjualan dengan contoh

‘Ainah dari segi bahasa : terdahulu (al-Salaf)

Dinamakannya juga dengan Bai’ al-‘Ainah, kerana pembeli (musytari) barang dagangan pada waktu itu mengambil sebagai contoh/model (‘ain) bentuk iaitu duit pada masa sekarang.
Dan dikatakan pembeli yang pertama kembali kepadanya harta(duit).

Istilah : Seseorang menjual sesuatu dari yang lain dengan harga tertunda, dan menyerahkan kepada pembeli, kemudian membelinya sebelum penerimaan harga dengan duit pada masa sekarang kurang dari yang demikian.


Dan jumhur Fuqaha’ berkata telah rosak jual beli ini dan tidak sahih, kerananya menjadi medium (perantara) kepada riba, dan dengannya menjadi penghubung kepada pengharusan apa yang ditegah oleh Allah dengannya maka jual beli ini tidak sah, dan dalam hadith ini terdapat janji yang tegas yang menujukkan hukum pengharaman (al-Tahrim), dan ulama’ al-Syafi’eyyah mengatakan sah berserta kebencian (al-Karahah), bersesuaian dengan ketetapan ayat al-Quran واحل الله البيع)) – 1:275
Dan berkata jumhur Fuqaha’ dan ini yang paling tepat (rajih), sesungguhnya mu’amalah ini tanpa ragu lagi sebagai perantara kepada riba, maka diharamkan.

********************************

بيع الوفأ (الامانة) Bai’ al-Wafa’(al-Amanah)

al-Wafa’ dari segi bahasa : Lawan bagi Khianat (al-Ghadr)

Istilah : Membeli sesuatu dengan sebegini atau hutang ke atasnya, dengan syarat penjual apabila memberi (radd) harga kepada pembeli atau membayar hutang baginya (pembeli) ke atasnya (penjual) dan memberi baginya contoh jualan sebagai tanda percaya (al-Wafa’), dan jual beli ini terkenal (masyhur) di dalam Feqh al-Hanafi.

Dan dinamakan Bai’ al-Thunyaa oleh ulama’ al-Malikiyyah.

Bai’ al-‘Ahdah oleh ulama’ al-Syafi’eyyah.

Bai’ al-‘Amanah oleh ulama’ al-Hanabilah.

Dinamakan juga dengan Bai’ al-To’ah dan Bai’ al-Ja’izah

Dinamakan dalam sebahagian kitab al-Hanafiyyah sebagai Bai’ al-Mua’malah.

Dan ulama’-ulama’ al-Malikiyyah dan al-Hanabilah dan yang yang terdahulu (al-Mutaqaddimun) daripada ulama’ al-Hanafiyyah dan al-Syafi’eyyah bahawa jual beli adalah rosak (fasid), kerana jual beli ini tidak ada tujuan (maksud), ertinya ia (jual beli) ini riba yang telah jelas haram.

Dan sebahagian ulama’-ulama’ yang terkemudiaan (al-Mutaakhirin) daripada ulama’-ulama’ al-Hanafiyyah dan al-Syafi’eyyah mengharuskan jual beli ini.



من الكتاب موسوعة الاقتصادية في المصارف والنقود والاسواق المالية (المجلد الاول)
الفقير في عفو ربه

أميرالدين محمد رشدي المنداري الصباحي
1:29 AM (Syaqqah 10)



#Uslub terjemahan Bahasa Malaysia sepenuhnya daripada al-Faqir sendiri.

Thursday 7 May 2009

Berjuang hingga ke akhirnya

ARSENAL di'telan' oleh The Red Devils dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah. Paling mendukacitakan kekalahan ini terjadi di 'rumah' sendiri The Gunners. Skor 3-1 membuat perjuangan Gudang Peluru terhenti setakat ini sahaja.

"Kita telah kalah pada 10 minit di awal permainan" itu kata Prof Arsene Wenger, sang jurulatih Arsenal.

Hakikatnya, semangat lawan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain Arsenal sangat hebat. Menang dan kalah bukanlah sebuah ukuran yang 'mutlak'. Paling utama usaha untuk terus berjuang.

Noktah.



Jika dibuat analogi, seorang pejuang tidak akan pernah gentar walaupun dia berhadapan dengan seekor singa yang lapar tanpa memiliki sebarang senjata di tangan. Apa gunanya memiliki sebilah pisau yang tajam jika tidak tahu menggunakannya? Kekuatan tanpa IMAN yang padu seumpama istana pasir yang dibina di tepian pantai. Kelihatan kukuh sebenarnya rapuh.

Ada orang berkata; kenapa perlu berjuang, jika tahu akan tewas jua akhirnya? Jika kamu tidak berjuang, ketahuilah kamu telah dikalahkan awal-awal lagi. ALLAH SWT tidak mempersoalkan sama ada kamu menang atau kalah, tetapi kita akan dipertanggungjawabkan kelak sama ada kita berjuang atau sekadar berpeluk tubuh.

Wahai para pejuang ad-Din! Teruskan perjuangan kalian. KEMENANGAN di dunia hanya sementara. Hanya KEMENANGAN di akhirat yang kekal selamanya.