Thursday, 28 May 2009

Bola Sepak dan Dakwah Islamiah

SEMALAM saya turut menyaksikan Final Bola Sepak Liga Juara-Juara Eropah di antara Barcelona dan Manchester United. Hasilnya, Barcelona ditabalkan sebagai 'Raja Eropah' usai membenam 'Red Devils' dengan skor 2-0.

Selesai kisah Final Liga Juara-Juara Eropah.


Sedar atau tidak kita sebenarnya boleh belajar dari 'makna' yang tersirat di sebalik sebuah pasukan bola yang dibentuk dengan begitu mantap dan profesional. Tidak keterlaluan jika 'intipati' dari bola sepak mampu diterjemah dalam diri setiap dai'e penyebar agama Allah di muka bumi. Sepertimana sebuah pasukan memerlukan kerjasama berpasukan dalam bola sepak, begitu juga halnya dengan sesebuah jemaah yang membutuhkan semangat dan kerjasama dalam merealisasikan misi dakwah islamiah tercapai.

Siapa yang tidak mengenali Diego Armando Maradona? Kehebatan dan kelincahannya dalam mengawal bola memang diakui. Begitu juga dengan Zinedine Zidane yang mampu mengatur perancangan yang mantap di dalam padang. Inilah yang disebut dengan 'individual skill' atau kemahiran individu. Persoalannya; cukupkah hanya seorang sahaja yang hebat dengan 'individual skill' ini mampu menjaringkan gol ke tempat lawan? Mampukah hanya seorang Zidane mengawal bola dan menjaringkan gol tanpa bantuan dan 'assist' daripada rakan sepasukan yang lain? Jawapannya : sudah tentu TIDAK.


Begitulah juga dalam konteks dakwah islamiah. Seorang dai'e yang hebat bukanlah kerana dia 'berjalan' berseorangan dalam berdakwah. Saya teringat dengan ungkapan al-Fadhil Ustaz Nasruddin Tantawi yang mengatakan; 'Bebas berdakwah ya, tapi bukan pendakwah bebas'. Dengan erti kata lain, kerjasama dan kesungguhan kita dengan jemaah (kumpulan) amatlah diharapkan dan jangan bergerak secara sendirian. Di dalam jama'ah pertolongan daripada rakan-rakan seperjuangan amat diperlukan dalam memastikan survival dakwah berjaya.

Kita perhatikan pula dalam sebuah pasukan bola sepak, setiap pemain mempunyai posisi yang telah ditentukan. Ada yang bermain di posisi pertahanan, tengah dan sebagai penyerang. Tidak ketinggalan juga benteng terakhir iaitu penjaga gol. Tidak akan sempurna sesebuah pasukan jika salah satu dari posisi ini dikosongkan. Bayangkan jika penjaga gol utama tidak berada di dalam pasukan. Apa akan terjadi? Sebagai contoh semasa perlawanan akhir Liga Juara Eropah pada tahun 2006 di antara Arsenal dan Barcelona di mana penjaga gol Arsenal ketika itu, Jens Lehman dilayangkan kad merah menyebabkan keputusan lebih berpihak kepada Barcelona.


Tidak boleh tidak, bergerak secara berpasukan atau secara jemaah amat mustahak bagi para dai'e. Seorang diri tidak akan mampu untuk menggerakkan semua lapisan masyarakat. Seorang dai'e tidak berupaya mentarbiah golongan sasaran (mad'u) tanpa adanya pertolongan dan semangat daripada sahabat-sahabat di dalam jemaah. Setiap kita mempunyai peranan masing-masing dalam melicinkan kerja-kerja dakwah. Tangan (kuasa) yang dikurniakan kepada kita amat terbatas dan sudah selayaknya memerlukan sokongan orang-orang di sekeliling kita. Rasululah S.A.W bersada mafhumya : “Perumpamaan antara seorang mukmin dengan yang lainnya adalah seperti sebuah binaan yang mengukuhkan antara satu sama lain.”

Kita bermula dengan 'training' diri sendiri sebelum cuba untuk bermain di padang yang sebenar. Mulakan menghadam konsep tarbiah diri sebelum memulakannya kepada orang lain. Janganlah kita mengimpikan semuanya manis dan dihiasi bebungaan di dalam perjuangan. Letakkanlah keyakinan kita hanya kerana Allah agar sentiasa sabar dan istiqamah walaupun pelbagai mehnah datang menimpa.

Selagi diri masih mampu untuk bernafas, selagi kaki masih mampu melangkah dan sebelum 'wisel' penamat ditiup, perjuangan mendaulatkan agama Allah akan tetap diteruskan.

2 comments:

khairaummah said...

jgn jadi lone ranger!
ituka mesej tersirat dia?

hangussss....
hehe...

Penduga Arus said...

Kerjasama dan bantu membantu.. itu yang penting.
Jadi 'lone ranger' dikhuatiri akan tersesat nnt.. hehe