Wednesday 25 July 2012

Puasa Ramadan dan Sukan Olimpik : MANHAL PMRAM

Isu berhubung atlet yang beragama Islam dalam menyertai Sukan Olimpik 2012 yang diadakan pada bulan Ramadan menjadi perhatian ramai pihak kerana membabitkan perbincangan bagi ibadah puasa terhadap atlet tersebut. Sukan Olimpik tersebut diadakan di London, England, United Kingdom bermula 27 Julai sehingga 12 Ogos 2012.[1]

Sehubungan itu, MANHAL PMRAM membahagikan perbincangan kepada beberapa bahagian iaitu :

Kewajipan Puasa Dalam Bulan Ramadan

Ibadah puasa dalam bulan Ramadan merupakan satu kewajipan dan salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Muaz bin Jabal RA berkata[2] :

فإن رَسُولَ اللَّهِ صلى اللَّهُ عليه وسلم قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَجَعَلَ يَصُومُ من كل شَهْرٍ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ وَصَامَ عَاشُورَاءَ وَصَامَ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا من رَبِيعٍ إلى شَهْرِ رَبِيعٍ إلى شَهْرِ رَمَضَانَ ثُمَّ إِنَّ اللَّهَ عز وجل فَرَضَ عليه شَهْرَ رَمَضَانَ فَأَنْزَلَ عليه كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ

 "Sesungguhnya Rasulullah SAW tiba di Madinah, maka baginda SAW berpuasa pada hari 'Asyura dan puasa 3 hari tiap-tipa bulan. Dan adalah baginda berpuasa sedemikian selama 17 bulan bermula bulan Rabiulawal sehingga Rabiulawal tahun seterusnya sehingga masuk ke bulan Ramadan. Selepas itu, Allah mensyariatkan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan dengan menurunkan ayat mengenai kewajipan berpuasa (yang bermaksud ):
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa,” (Surah Al-Baqarah : 183)

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, Nabi SAW bersabda,

"Dibina Islam itu atas 5 asas, penyaksian bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa dalam bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.” (Bukhari dan Muslim)

Dalam ilmu usul fiqh kewajipan puasa dalam bulan Ramadan termasuk dalam ketegori wajib mudhaiyaq (sempit)[3]. Maka wajib mudhaiyaq (sempit) merujuk kepada tempoh puasa tersebut yang hanya pada bulan Ramadan, tidak pada bulan yang lain serta menjadi kewajipan setiap tahun bagi mereka yang cukup syarat iaitu Islam, baligh, berakal, bermukim dan mampu dari sudut syara’ dan kemampuan.[4]

Justeru, kewajipan puasa dalam bulan Ramadan merupakan wajib mudhaiyaq (sempit) yang tidak ada pilihan waktu lain untuk ditangguhkan bahkan menjadi kewajipan untuk dilaksanakan pada setiap tahun apabila cukup syarat. Ia berbeza dengan dengan kewajipan Haji yang merupakan wajib muwassa’ (luas) yang memberikan ruang waktu yang lain jika ada penangguhan. Maka dalam kewajipan puasa dalam bulan Ramadan tidak timbul soal ‘tangguh’.

Adapun rukhsoh (keringanan) yang diberikan kepada beberapa golongan bukanlah merupakan tangguh akan tetapi sebagai keringanan bagi golongan yang diberikan keuzuran untuk berbuka dalam masa yang sama wajib ganti puasa pada hari yang dibuka pada hari lain. Maka wajib ganti tersebut merupakan dalil bahawa kewajipan puasa tidak boleh ditangguh bahkan golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) dikenakan puasa ganti. Dan juga golongan yang tidak mampu untuk berpuasa seperti orang tua yang memang tidak mampu berpuasa dan orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh dikenakan bayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan puasa. Hal ini menunjukkan bahawa kewajipan puasa dalam Ramadan tidak boleh ditangguhkan.

Golongan Yang Mendapat Rukhsoh Dalam Berpuasa

Terdapat beberapa golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) dalam berpuasa. Rukhsoh (keringanan) yang diberikan merupakan pilihan kepada orang yang berpuasa tersebut sama ada untuk meneruskan puasa atau berbuka namun menggantikannya pada hari yang lain.

Golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) ialah :

1-   Musafir

-      Musafir yang mubah, bukan musafir bertujuan melakukan maksiat.
-      Lebih 2 marhalah iaitu melebihi 80 atau 90 kilometer[5]

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Imam Ibnu Taimiyah berkata : “Sesiapa yang mengingkari bahawa diberikan rukhsoh (keringanan) atas sebab musafir, maka orang tersebut dituntut untuk bertaubat, jika ia tidak bertaubat maka ia dihukumkan sebagaimana orang yang murtad.”[6]

2-   Orang Yang Sakit

Berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Sakit yang diberikan keringanan ialah sekiranya berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh.

3-   Orang Yang Mengandung Dan Yang Menyusukan Anak

Sama ada bimbang keselamatan diri atau anak dalam kandungan atau anak yang disusukan. Dalilnya diqiaskan kepada keringanan yang diberikan kepada orang yang bermusafir dan sakit.[7]

4-   Orang Tua Yang Tidak Ada Kemampuan Untuk Berpuasa

Termasuk juga dalam kategori ini orang yang sakit namun tidak ada harapan untuk sembuh. Maka diberikan keringanan untuk berbuka bahkan wajib jika menyebabkan kematian. Tidak dikenakan puasa ganti melainkan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan berpuasa.[8]

Ibadah Puasa Bagi Atlet Yang Memasuki Sukan Olimpik

Sebagaimana yang telah dibentangkan di atas bahawa ibadah puasa dalam Ramadan bagi atlet yang beragama Islam wajib dilakukan dan tidak boleh ditangguh.

Namun jika atlet termasuk dalam kategori yang bermusafir maka diberikan keringanan untuk berbuka dan wajib ganti pada hari yang lain. Syarat musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) untuk berbuka ialah musafir yang diharuskan iaitu bukan bertujuan maksiat dan melebihi 2 marlahah iaitu 80 atau 90 kilometer.[9]

Maka jika atlet tersebut bermusafir bagi bertujuan untuk bersukan iaitu riadhah kerana bersukan itu hukum asalnya adalah diharuskan[10] dan antara faedah sukan itu ialah menyegarkan tubuh badan maka ia termasuk dalam kategori musafir yang diharuskan. Walaupun di saat ia bersukan ia melakukan maksiat iaitu tidak menutup aurat. Hal ini demikian kerana tujuan asal adalah diharuskan.[11]

Berbeza dengan musafir yang bertujuan maksiat, maka ia tidak diberikan rukhsoh (keringanan) kerana kaedah menyebutkan bahawa :

“Rukhsoh (keringanan) tidak diberikan kepada perkara maksiat”

Justeru, jika atlet berniat ketika musafir untuk membuka aurat dalam pertandingan maka niat musafirnya adalah bertujuan maksiat dan tidak diberikan rukhsoh (keringanan).

Dan tempoh rukhsoh (keringanan) berhubung musafir adalah berdasarkan kepada tempoh musafir. Temph musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) ini terdapat perselisihan pandangan fuqaha[12] :

1-   Mazhab Hanafi : jika niat bermukim selama 15 hari dan lebih maka tidak ada rukhsoh (keringanan) sebaik tiba di tempat bermukim
2-   Mazhab Maliki Dan Mazhab Syafie : jika niat bermukim di sesuatu tempat empat hari atau lebih, maka tidak ada rukhsoh (keringanan) apabila sampai di tempat bermukim
3-   Mazhab Hanbali :  jika niat bermukim di sesuatu lebih daripada empat hari, maka tidak ada rukhsoh (keringanan) apabila sampai di tempat bermukim

Justeru rukhsoh (keringanan) untuk berbuka tersebut bukan paksaan ke atas atlet. Rukhsoh (keringanan) bukanlah disebabkan Sukan Olimpik, tetapi disebabkan musafir yang memenuhi syarat (muafir yang diharuskan, melebihi 2 marlahah dan dalam tempoh bermusafir). Bahkan mana-mana individu muslim yang bermusafir diberikan rukhsoh (keringanan) kerana musafir itu sendiri sebab bagi rukhsoh (keringanan).

Dan inilah yang ditegaskan oleh Imam Ibnu Taimiyah : “Sesiapa yang mengingkari bahawa diberikan rukhsoh (keringanan) atas sebab musafir, maka orang tersebut dituntut untuk bertaubat, jika ia tidak bertaubat maka ia dihukumkan sebagaimana orang yang murtad.”[13]

Bahkan jika terdapat atlet muslim yang sakit yang diberikan syara’ akan rukhsoh (keringanan) iaitu sekiranya berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh, maka rukhsoh (keringanan) tersebut adalah disebabkan sakit itu bukannya disebabkan Sukan Olimplik.

Maka ini sebagaimana juga dengan fatwa yang diberikan oleh Syeikh Atiyah Saqar berkenaan soalan yang diajukan kepada beliau mengenai bolehkan seseorang yang menduduki peperiksaan di bulan Ramadan untuk berbuka bagi memudahkan mengulangkaji? Lalu Syeikh Atiyah Saqar menjelaskan bahawa orang tersebut diberikan rukhsoh (keringanan) untuk berbuka disebabkan sakit bukan disebabkan peperiksaan. Hal ini demikian beradasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Begitu juga dengan fatwa yang diberikan oleh Syeikh Ali Jumuah, pada 9 Julai 2012 berkenaan ibadah puasa atlet ketika Ramadan dengan menyebut :

الاِفْطارُ فِي حَالَةِ السَفَر أَوْ المَرَض طَبَقًا لِلنَّصِّ القُرْآنِي : فَمَنْ كانَ مِنكُم مَريضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِن أَيَّامٍ أُخَر". وتابع جمعة "لا عَلاقَةَ بِالرِياضَة بِهذِه الرُخْصَة لِاَنَّهُ لَوْ اُقِيْمَتْ البُطُولَةُ فِي مِصْر مَا جازَ الاِفْطَار
“Berbuka (disebabkan rukshoh) dalam keadaan musafir atau sakit terdapat dalam nas al-Quran iaitu “Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.”. Dan Syeikh Ali Jumuah menambah bahawa rukhsoh tersebut tidak ada kaitan dengan sukan (Olimpik) kerana jika pertandingan diadakan dalam Mesir maka (atlet Mesir) tidak diharuskan berbuka.”
Adapun jika berbuka puasa kerana pekerjaan yang berat sehingga mengganggu nafkah wajib dalam kehidupan[14], maka dilihat kepada beberapa perkara :
1-   Tidak ada pekerjaan yang lain melainkan pekerjaan itu sahaja. Dan pekerjaan berat tersebut mestilah yang diharuskan oleh syara’.
2-   Mendatangkan mudarat kepada diri sama ada ketika bekerja atau tidak mampu puasa menyebabkan tidak mendapat nafkah.
3-   Maka jika mudarat itu datang ke atas dirinya, maka dilihat kepada batasan bagi golongan sakit yang diberikan rukhsoh (keringanan) iaitu berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh. Rukhsoh (keringanan) yang diberikan adalah kerana sakit yang menimpa.
4- Jika mudarat itu datang disebabkannya tidak mampu bekerja sehingga menghilangkan nafkah maka dilihat bahawa mestilah nafkah tersebut merupakan nafkah yang wajib iaitu nafkah yang merupakan keperluan asasi yang akan menyebabkan kecelakaan dalam kehidupan jika hilang. Maka ia termasuk dalam konteks dharurat.[15]
5-   Dan kerja berat dalam mendapatkan nafkah wajib tersebut terikat dalam masa dan waktu perjanjian yang dilakukan. Maka jika selain pada waktu dan masa kontrak perjanjian, maka ia tidak dibolehkan kerana tidak termasuk dalam konteks kerja berat dalam mendapatkan nafkah yang wajib
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, pihak MANHAL PMRAM menekankan beberapa perkara yang penting dalam isu yang melibakan Sukan Olimpik dalam bulan Ramadan dan ibadah puasa bagi atlet Ramadan iaitu :
1-   Kewajipan puasa dalam Ramadan merupakan wajib mudhaiyyaq (sempit), maka tidak boleh ditangguhkan. Yang ada hanya rukhsoh (keringanan) untuk berbuka bagi golongan tertentu dan diwajibkan ganti pada hari yang lain.
2-   Atlet yang berada dalam keadaan musafir (musafir yang diharuskan dan melebih 2 marlahah) maka diberikan rukhsoh (keringanan) dalam tempoh musafir tersebut. Rukhsoh (keringanan) merupakan pilihan kepada atlet dan atlet tidak dipaksa untuk berbuka.
3-   Tempoh musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) adalah berbeza mengikut pandangan fuqaha sebagaimana yang diterangkan sebelum ini, maka mestilah merujuk kepada ahli yang berautoriti agar selari dengan realiti masyarakat Islam di Malaysia yang mengamalkan Mazhab Syafie.
4-   Sekiranya atlet tidak termasuk dalam golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan), maka tidak ada rukhsoh (keringanan) lain bagi atlet tersebut untuk berbuka. Rukhsoh (keringanan) yang diberikan adalah sebab syar’ie yang mengharuskan, bukan sebab Sukan Olimpik.
5-   Atlet muslim juga mestilah menutup aurat semasa dalam pertandingan kerana ia merupakan kewajipan dan juga bagi menghormati bulan Ramadan.
6-   Maka pekerjaan berat dalam mencari nafkah yang wajib yang diberikan rukhsoh (keringanan) mesti dilihat dari sudut batasan mudarat ke atas diri atau kecelakaan apabila hilang nafkah wajib serta masa yang terikat dengan perjanjian. Justeru, adakah atlet merupakan satu pekerjaan sebagaimana dalam perbincangan tersebut, ia perlu dinilai dari sudut apa yang telah dibincangkan di atas.
7-   Berkenaan dengan Sukan Olimpik yang dianjurkan dalam bulan Ramadan, MANHAL PMRAM melihat sepatutnya negara-negara Islam dalam OIC dan Liga Arab mengambil tindakan yang tegas dalam menuntut agar diadakan pada bulan selain Ramadan bahkan mungkin melakukan boikot sekiranya penganjuran tersebut bertujuan mencemarkann kesucian Ramadan dan menyentuh sensitiviti umat Islam.
8-   Ataupun negara-negara Islam boleh mendahulukan non-Muslim bagi mewakili negara dalam Sukan Olimpik yang dilakukan pada bulan Ramadan sekiranya dengan penarikan diri daripada sukan tersebut akan menyebabkan kerugian. Dan jika atlet muslim juga yang mewakili negara Islam dalam sebarang sukan dalam bulan Ramadan, maka perbahasan adalah sebagaimana di atas.

Wallahu a'lam
Disediakan oleh barisan Felo MANHAL PMRAM 2012 yang terlibat :
Muhamad Zuhaili Saiman
Ainuddin Ishak
Ahmad Ulwan Hassim
Muhammad Zikri Mohamad Zaki
Rujukan :

1-   Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
2-   Fiqh al-Lahwi Wa at-Tarwih, Dr Yusuf al-Qardhawi, Makabah Wahbah
3-   Fiqh as-Siyam, DR Yusuf al-Qardhawi, Makabah Wahbah
4-   Al-Fatawa Min Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, cetakan Maktabah at-Taufiqiyah
5-   At-Taqrirat as-Sadidah Fi Masail al-Mufidah, Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhamad Al-Kaf, cetakan Dar al-Mirath an-Nubuwah
6-   Nihayah as-Sul Fi Syarh Minhajal-Wusul Ila ‘Ilmi al-Usul, Syeikh Jamaluddin Abdul Rahim bin Hasan al-Isnawi


[2]  تفسير آيات الأحكام   jilid 1 karangan Syeikh Muhammad Ali As-Sobuni, dan جامع البيان   jilid ke-2 karangan At-Tabrani
[3]  Nihayatul as-Sul Fi Syarh Minhaj al-Wusul Ila ‘Ilm al-Usul, Imam Jamaluddin Abdul Rahim bin Hassan al-Isnawi, m/s 92, cetakan Dar Ibn Hazam
[4] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaily, jilid ke-3, m/s 1663-1668, cetakan Dar al-Fikr
[5]  Fiqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 45, cetakan Maktabah Wahbah
[6]  FIqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 43 cetakan Maktabah Wahbah
[7]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-3 m/s 1701, cetakan Dar al-Fikr
[8]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-3 m/s 1701, cetakan Dar al-Fikr
[9] Fiqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 45, cetakan Maktabah Wahbah
[10]  Fiqh al-Lahwi Wa at-Tarwih, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 49 cetakan Maktabah Wahbah
[11]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-2, m/s 1346, cetakan Dar al-Fikr
[12]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-2, m/s 1348, cetakan Dar al-Fikr
[13]  FIqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 43 cetakan Maktabah Wahbah
[14] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, jilid 3, m/s 1702, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
[15]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, jilid 3, m/s 1701, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr

Thursday 19 July 2012

Ramadhan : Peluang merawat hati dan iman - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat



Bersyukur kehadrat Allah SWT, kerana kita masih diberi peluang oleh-Nya dapat bertemu lagi dengan Ramadhan 1433H, bulan yang mulia (Ramadhan Karim).


Sempena dengannya. marilah kita merenung perjalanan masa kita hidup ini, kita telah memanfaat segala anggota tubuh badan bagi menyempurnakan segala urusan seharian. Jika diibarat sebuah motokar yang kita pakai sehari-hari, akan ada masanya kita perlu bawa motokar ke bengkel untuk diservis atau mungkin perlu dioverhaul bagi memulih dan menjaga kondisi motokar sentiasa berkeadaan baik.

Demikian juga tubuh kita, kena jaga dan perlu dibersihkan luar dan dalam. Maka sampainya Ramadhan adalah bulan untuk kita membersihkan aspek dalaman kita agar pelbagai penyakit berkaitan dengan hati dan iman dapat diubati dengan cara berpuasa dan beribadat. Antara penyakit ialah penyakit syirik, takabur, ujub (seronok sendiri), hasad-dengki, niqmah (dendam), riak (menunjuk-nujuk) dan sebagainya. Maka ibadat sepanjang Ramadhan adalah penawar mujarab bagi semua jenis penyakit ini.

Oleh yang demikian, amalan puasa Ramadhan ini diwajibkan oleh Allah sekali setahun antaranya bertujuan supaya manusia melawan nafsu dalam diri, terutama nafsu makan dan minum. Dengan melawan nafsu kita telah melatih diri untuk menghayati bagaimana mengawal hati dan iman supaya tunduk kepada perintah Allah Taala. Di sebalik perintah Allah, wajib atas kita berhenti makan dan minum di siang hari selama sebulan. Meskipun perintah-Nya bercanggah dengan hak kita sendiri. Apa yang utama, dengan cara puasa dan amal ibadat Ramadhan, ia sebagai cara untuk kita membendong perasaan tamak supaya tahu mana satu hak kita dan mana pula hak orang lain.

Oleh sebab itu, bulan Ramadhan ada kelebihan tertentu, antaranya dimuliakan dengan ibadat solat tarawih. Islam meletakkan solat tarawih sebagai sunat mua’akad dengan tujuan supaya manusia yakin dengan apa sahaja kelebihan yang disebut dalam Al-Quran. Ini kerana Al-Quran adalah sebagai buku panduan “How to Use”. Ibarat kita memandu motokar, bagaimana cara pemanduan yang selamat ada disebutkan dalam buku “How to Use.” Ini bermakna, pemanduan tanpa panduan yang betul, maka berkemungkinan motokar akan rosak dan tidak selamat.

Oleh yang demikian, manusia kena faham tujuan Allah menjadikan manusia. Firman-Nya:

Bermaksud, “Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah Al-Baqarah 2:29).
Oleh sebab itu manusia yang ramai di dunia ini, perlu ada “How to Use” yakni sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan, jika tidak, akan porak peranda masyarakat. Firman Allah SWT:

Bermaksud, “Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan – yang membuka hati – dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman” (Surah Al-A’araf 7:203).

Bagi menjayakan perintah ini, Allah menetapkan dalam Al-Quran betapa setiap manusia akan berdepan dengan pembalasan dan pada hari pembalasan setiap manusia kena berdepan dengan Allah SWT. Firman-Nya:

Maksudnya, “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” (Surah Ali-Imran 3:185).

Di akhirat kelak tidak guna lagi harta, tiada lagi benda untuk kita pujuk, bodek atau rasuah seumpama beli undi untuk masuk syurga. Harta yang kita banggakan di dunia ini sudah tidak berguna di akhirat. Hakikatnya semua manusia akan berdepan dengan suasana pembalasan. Firman Allah SWT:

Bermaksud, “Apabila berlaku hari kiamat itu. Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat)” (Surah Al-Waaqi’ah 56:1-3).

Oleh sebab itulah, diwajibkan sebut “maaliki yaumid-din” dalam segenap kali kita solat, Atas kerananya kita diwajid baca Surah Al-Fatihah dalam solat. Ini kerana intisarinya mengandungi maksud kita mohon dan merayu kepada Allah SWT, berserta dengan kita memuji Allah SWT..

Dalam ayat “maaliki yaumid-din” itu juga disebut “ad-din” iaitu lafaz “musytarikun” iaitu hari ‘agama’ sebagai al-jazak. Sedangkan lafaz “al-jazak” adalah makna asal dalam memahaami “maaliki yaumiddin”, tetapi hikmatnya yang tinggi digunakan “ad-din” supaya diyakini ketika itu berlaku pembalasan mengikut agama. Atas asas agamalah, segala akta, dan undang-undang yang digubal di parlimen atau sebarang keputusan oleh badan tertinggi di dunia seumpama Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mana yang tidak selaras dengan ad-din akan tertolak.

Memahami waqi’ sedemikian, bulan Ramadhan ini hendaklah dilalui dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Ia selari dengan kelebihan beribadat sepanjang Ramadhan akan meningkatkan takwa diri kita di sisi Allah SWT. Firman-Nya:

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah 2:183).

Selamat menyambut Ramadhan Al-Muabarak dengan penuh ketakwaan.

Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan merangkap Al-Mursyidul Am PAS.

Solat Terawih dan Persoalan Sekitarnya : MANHAL PMRAM

Solat Sunat Terawih
Merupakan solat sunat 2 rakaat (berserta satu salam) yang khusus pada bulan Ramadan sahaja. Ia merupakan salah satu anugerah yang diberikan di dalam bulan Ramadan. Waktu untuk melakukan solat sunat terawih ialah selepas waktu Isyak dan sebelum masuk waktu Subuh.
Antara solat yang tergolong dalam solat sunat[1] yang muakkad[2] ialah:
1)      Solat tahajud
2)      Solat duha
3)      Solat terawih

DALIL PENSYARIATAN
Aisyah raidallahu ‘anha berkata Nabi SAW keluar ke masjid untuk bersolat pada waktu malam (bulan Ramadan). Maka sahabat melihat baginda solat, lalu mereka solat bersama-sama baginda SAW, sehingga semakin hari sahabat semakin ramai (dikatakan masjid penuh). Pada hari ketiga atau keempat sahabat menunggu kedatangan Nabi SAW, namun baginda SAW tidak keluar. Tatkala subuh, sahabat menghadap Nabi SAW lalu baginda SAW bersabda,
أَمّا بَعْدُ إِنَّهُ لَمْ يَخِفْ عَلَيَّ شَأْنُكُم اللَيْلَة وَلَكِنِّي خَشِيتُ أن تفْرضُ عَلَيْكُم صلاةُ الليل فَتُعْجِزُوا عنها
"Sesungguhnya tidaklah ia menegah akan aku untuk keluar (untuk solat terawih pada malam seterusnya) melainkan aku bimbang kamu akan merasakan ia adalah fardu dan akhirnya kamu tidak akan mampu lakukannya." (Ibnu Hibban)
Ini adalah dalil yang menunjukkan solat sunat terawih dilakukan pada malam Ramadan. Di dalam riwayat yang diceritakan oleh Aisyah raidallahu ‘anhu menunjukkan solat terawih merupakan solat sunat dan bukannya fardhu kerana pada malam ke-3 atau ke-4[3], ketika para sahabat sedang menunggu dengan kehadiran yang begitu ramai sehingga masjid ketika itu menjadi sempit, Nabi Muhammad SAW tidak keluar kerana bimbang para sahabat akan menganggap bahawa solat terawih merupakan suatu kewajipan ke atas mereka pada setiap malam Ramadan.
Cara melakukan solat sunat terawih
Solat sunat terawih dilakukan khusus di dalam bulan Ramadan sahaja dan sudah dikira melakukan solat terawih walaupun melakukannya berseorangan. Namun, disunatkan untuk berjemaah di masjid. Dan sunat ketika solat terawih menghidupkan bacaan al-Quran, selain daripada surah-surah lazim. Afdal menghabiskan satu juzuk satu malam, untuk mengkhatamkan al-Quran di dalam solat terawih. Solat terawih dilakukan 2 rakaat satu salam sehingga 8 rakaat atau 20 rakaat. Disunatkan juga melakukan solat witir selepas solat terawih.
Bolehkah melakukannya 4 rakaat satu salam?
Tidak sah melakukan solat terawih dengan 4 rakaat (atau lebih) dengan satu salam sekiranya orang tadi melakukannya dalam keadaan sengaja dan mengetahui bahawa solat terawih itu dilakukan dengan 2 rakaat berserta satu salam. Sekiranya tidak tahu, maka tidak mengapa dan solat yang dilakukannya tadi dikira sah.[4]
Kisah solat terawih di zaman Khalifah Sayidina Umar Radiallahu ‘Anhu
Pada zaman khalifah Sayidina Umar raidallahu ‘anhu, ketika bulan Ramadan umat Islam di Madinah yang berhimpun di masjid semakin ramai. Bahkan menjadi berpuak-puak dalam satu masjid mengerjakan solat terawih. Kemudian bagi menyelaraskan, Sayidina Umar raidallahu ‘anhu pada ketika itu menghimpunkan supaya menjadi satu kelompok atau jemaah sahaja.  Maka dihimpunkan orang Islam ketika itu di belakang Ubai bin Ka'ab.[5]
8 rakaat atau 20 rakaat?
Khilaf di antara manusia pada zaman sekarang adalah berapakah rakaat sebenar bagi solat terawih? Ada sesetengah yang mengatakan 8 rakaat kerana Rasulullah SAW hanya melakukan 8 rakaat sahaja ketika bersama para sahabat. Sebahagian yang lain pula mengatakan 20 rakaat.
Bagi mereka yang mengatakan solat terawih adalah 8 rakaat, mereka mengambil hujah daripada kisah yang berlaku pada zaman Nabi SAW melakukan solat terawih dan para sahabat yang mengikutinya.
Namun dalil dan hujah yang banyak menunjukkan solat terawih itu 20 rakaat. Akan disebut sebahagian sahaja di sini. Antaranya ialah:
Di dalam kitab fikah Hasyiah Baijuri, oleh Imam Baijuri menulis di dalam kitabnya bahawa Nabi SAW dan para sahabat ketika itu melakukan solat terawih sebanyak 20 rakaat dengan cara 8 rakaat secara berjemaah dan baki rakaat, baginda SAW dan sahabat melakukannya di rumah masing-masing. Dikhabarkan sekiranya melalui di tepi rumah-rumah mereka ketika itu, maka akan kedengaran seperti bunyi lebah.
Di dalam kitab Mausu'ah Yusufiah karangan Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad, beliau menyatakan bahawa pendapat daripada Mazhab Hanafi, Syafie dan Hanabilah solat terawih di sisi mereka adalah 20 rakaat dengan menyatakan para sahabat di zaman Umar, Usman dan Ali melakukan sebanyak 20 rakaat[6].
Imam Syafi'e berkata, “Kami mendapati umat Islam di Makkah melakukan solat terawih sebanyak 20 rakaat.[7]
Daripada Malik bin Anas daripada Yahya bin Abi Sa'id Al-Ansori berkata, “Sesungguhnya Umar Al-Khattab mengarahkan manusia ketika itu untuk solat terawih sebanyak 20 rakaat.”[8]
Daripada Ibnu Abbas raidallahu ‘anhu berkata, “Adalah Nabi Muhammad SAW mengerjakan solat terawih di dalam bulan Ramadan sebanyak 20 rakaat dan solat witir.”[9]
Justeru, tiada masalah untuk melakukan solat terawih sebanyak 20 rakaat kerana terdapat lagi banyak hujah yang jelas. Walaupun begitu, solat sunat terawih sudah terhasil walaupun hanya melakukan 2 rakaat sahaja.[10]
Tazkirah mengiringi solat terawih
Berlaku juga pertanyaan berkenaan dengan beberapa tempat yang melakukan solat terawih dan diiringi dengan tazkirah sama ada sebelum solat, ketika rehat sebentar selepas habis 4 rakaat atau 8 rakaat atau selepas 20 rakaat. Melakukan tazkirah bukanlah satu masalah. Bahkan di antara tujuan solat itu sendiri dikerjakan adalah cara mendidik jiwa manusia agar mencegah perkara maksiat dan keji.
Jika kita lihat kembali, apa yang menjadi masalah untuk melakukan tazkirah? Bukannya tazkirah tersebut dilakukan sewaktu sedang solat. Sekiranya dilakukan sewaktu solat memanglah tidak boleh dan batalnya solat tersebut kerana dikira berkata-kata apatah lagi dengan menggunakan bahasa Melayu. Maka tiada masalah tazkirah dilakukan sama ada pada awal solat atau ketika rehat sebentar di tengah-tengah solat atau selepas selesai 20 rakaat.
Bahkan, tazkirah merupakan satu jalan untuk mengingatkan manusia yang sedang berhimpun dalam solat terawih pada ketika itu. Hal ini kerana pada zaman sekarang, bukan semua yang faham dan dapat mengambil iktibar daripada hasil bacaan imam ketika solat. Rata-rata mereka tidak faham, lebih-lebih lagi mereka yang tidak menguasai bahasa Arab. Maka, tazkirah yang dilakukan di luar ini merupakan satu alternatif yang baik bagi mengajar dan mendidik manusia pada ketika itu. Tambahan pula, tazkirah itu dapat disampaikan kepada orang ramai yang sedang berhimpun dan di dalam bulan Ramadan.
"Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna). Kerana orang yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu.” (Surah Al-'ala : 9-10)

Wallahu a'lam 
** petikan daripada buku "Ramadhan : Puasa & Iktikaf" karangan Muhamad Zuhaili Saiman, cetakan pertama 2009, Izin Terbit Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)


[1] Solat nawafil ghaira tabi'ah lil faraid – solat sunat yang tidak beriringan dengan solat fardu, berbeza dengan solat sunat rawatib yang beriringan dengan solat fardu.
[2]  Sangat dituntut untuk melakukannya.
[3] Berlaku banyak pendapat, yang paling mayshur nabi Muhammad SAW keluar 3 malam sahaja iaitu pada malam ke-23, 25 dan 27.
[4]  Hasyiah Baijuri jilid satu bab solat-solat sunat.
[5]  Di dalam kitab Hasyiah Baijuri dinyatakan bahawa muslimat ketika itu dihimpun di belakang Sulaiman Abu Hathamah.
[6]  الموسوعة اليوسفية في أدلة الصوفية   karangan Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad
[7]  Fiqh sunnah dan At-Tirmizi -  الموسوعة اليوسفية في أدلة الصوفية   karangan Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad
[8]  Al-Mughni Li Ibni Qadamah -  الموسوعة اليوسفية في أدلة الصوفية   karangan Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad
[9]  Ibnu Abi Syaibah -  الموسوعة اليوسفية في أدلة الصوفية   karangan Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad
[10]  Kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد   bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf.

Saturday 14 July 2012

Hudud dan Politik : Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Apabila sudah wujud kalangan wakil rakyat Umno yang mencadangkan undang-undang hudud, maka tercetus kenyataan-kenyataan balas yang mengejutkan. Ada NGO yang meminta supaya jangan mempolitikkan hukum hudud. MCA pula menuduh Umno sudah hilang akal dan ada kelompok yang berdiam diri kerana jahil. Maka lebih baik diam sahaja. Lebih mendukacitakan pula ialah kalangan ilmuan Islam yang berada dalam kelompok Umno ikut sama berdiam diri, sama ada yang sudah tua atau yang bergelar ulama muda. Kalau yang kami telah luluskan di Kelantan dan Terengganu itu hudud ciptaan PAS, sila tunjukkanlah di mana silapnya dan mana dia hudud Islam yang sebenarnya. Marilah kita menerima kenyataan ini secara positif dan berbincang secara ilmu dengan menunaikan amanah perintah Allah dan hudud adalah hukum Allah secara nas sehingga para ulama bermazhab diharamkan berijtihad.


Kesedaran sepatutnya berlaku dengan merebaknya jenayah yang menakutkan dan penjenayah yang tidak takut kepada undang-undang yang ada walau pun hukumannya lebih keras daripada hudud, seperti hukuman gantung mati mandatori kepada pengedar dadah. Bahkan tidak ada rasa gerun terhadap anggota polis yang menguatkuasakan undang-undang, sehingga rumah pegawai tinggi polis juga menjadi mangsa yang sama dan dadah boleh diedar ke dalam lokap, penjara dan pusat seranti. Ini menunjukkan bahawa keberkesanan undang-undang itu kerana mendidik masyarakat bukan menghukum tanpa mendidik walau pun terlalu keras hukumannya, ia tidak memberi kesan kepada penjenayah dan bakal penjenayah.


Hudud adalah salah satu daripada tiga jenis undang-undang jenayah yang dibahagikan oleh hukum Islam iaitu, qisas, hudud dan takzir. Menurut hukum Islam, politik adalah syarat melaksanakan undang-undang  jenayah. Salah satu daripadanya ialah hudud, saperti juga politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Apabila Allah tidak menurunkan ayat-ayat hukuman jenayah termasuk hudud ketika Rasulullah S.A.W. berada di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah. Rasulullah juga tidak melaksanakan mana-mana undang jenayah ketika berada di Makkah. Maka mengikut hukum Islam tidak diizinkan bagi seseorang bahkan haram berdosa sekiranya menangkap pencuri di rumahnya dan melaksanakan hukum hudud sendiri. Begitulah juga terhadap penjenayah yang lain. Pelaksanaannya mewajibkan penyiasatan dan kehakiman yang adil dibawah kuasa politik yang mengadakan kerajaan yang sah berdaulatnya. Maka Rasulullah S.A.W. terpaksa berhijrah ke Madinah setelah dihalang berpolitik di Makkah.  Boleh jadi mereka yang melarang hukum hudud dipolitik itu jahil ilmu politik, khususnya politik Islam.


Ada pun MCA yang menuduh Umno sudah hilang akal, menandakan Umno tidak berdakwah. Ini kerana politik tidak dihubungkan dengan dakwah. Sebenarnya Umno tidak hilang akal, tetapi akalnya datang semula setelah hilang. Tahun 80-an pernah seorang wakil rakyat Umno daripada negeri Johor mencadangkan wanita diberi pakai cawat besi.  Di waktu itu hukum hudud dianggap jumud atau tidak bertamadun dan berbagai-bagai kenyataan songsang dikeluarkan mereka. Namun kita mengharapkan ia timbul kerana kejahilan mereka. Bagaimana pula dengan ahli-ahli biro agama Umno yang diam membisu atau bersilat di hadapan Allah bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan, atau dengan ungkapan 'kami pun mahu melaksanakan juga, tetapi belum tiba masanya'. Sekarang sudah lima puluh tahun lebih Umno memimpin negara, masih belum tiba masanya.


Bersyukur kepada Allah kerana PAS telah berjaya mencetuskan kesedaran kembali kepada Islam, sehingga suaranya bukan sahaja berjaya menerima kedatangan beberapa tokoh Umno untuk menyertai PAS secara terbuka atau secara senyap, tetapi juga menerima kedatangan kalangan pagawai kerajaan dan para ilmuan. Tercetusnya suara pelaksanaan Islam dalam diri Umno menandakan suara PAS sudah masuk ke dalam telinga mereka yang berada dalam bahtera Umno. Mengapa masa lebih setengah abad bahtera Umno masih tidak sampai ke destinasi melaksanakan Islam yang ditunggu-tunggu? Mungkin laksana mereka yang menaiki bas ekspres yang tidak membaca tiket yang dibeli atau apa yang ditulis ke mana arahnya politik kenderaan Umno.


DAP yang bergaul dengan PAS menentang hukum hudud secara terbuka dan berhujah dengan tegas. PAS terpaksa menjawab hujah DAP dan melayan media Umno yang mahu melagakan PAS dengan DAP. Namun tidaklah sampai DAP menuduh PAS hilang akal sebagaimana MCA sebut kepada Umno.

Presiden PAS