Apabila sudah wujud kalangan wakil rakyat Umno yang mencadangkan
undang-undang hudud, maka tercetus kenyataan-kenyataan balas yang
mengejutkan. Ada NGO yang meminta supaya jangan mempolitikkan hukum
hudud. MCA pula menuduh Umno sudah hilang akal dan ada kelompok yang
berdiam diri kerana jahil. Maka lebih baik diam sahaja. Lebih
mendukacitakan pula ialah kalangan ilmuan Islam yang berada dalam
kelompok Umno ikut sama berdiam diri, sama ada yang sudah tua atau yang
bergelar ulama muda. Kalau yang kami telah luluskan di Kelantan dan
Terengganu itu hudud ciptaan PAS, sila tunjukkanlah di mana silapnya dan
mana dia hudud Islam yang sebenarnya. Marilah kita menerima kenyataan
ini secara positif dan berbincang secara ilmu dengan menunaikan amanah
perintah Allah dan hudud adalah hukum Allah secara nas sehingga para
ulama bermazhab diharamkan berijtihad.
Kesedaran sepatutnya berlaku dengan merebaknya jenayah yang
menakutkan dan penjenayah yang tidak takut kepada undang-undang yang ada
walau pun hukumannya lebih keras daripada hudud, seperti hukuman
gantung mati mandatori kepada pengedar dadah. Bahkan tidak ada rasa
gerun terhadap anggota polis yang menguatkuasakan undang-undang,
sehingga rumah pegawai tinggi polis juga menjadi mangsa yang sama dan
dadah boleh diedar ke dalam lokap, penjara dan pusat seranti. Ini
menunjukkan bahawa keberkesanan undang-undang itu kerana mendidik
masyarakat bukan menghukum tanpa mendidik walau pun terlalu keras
hukumannya, ia tidak memberi kesan kepada penjenayah dan bakal
penjenayah.
Hudud adalah salah satu daripada tiga jenis undang-undang jenayah
yang dibahagikan oleh hukum Islam iaitu, qisas, hudud dan takzir.
Menurut hukum Islam, politik adalah syarat melaksanakan undang-undang
jenayah. Salah satu daripadanya ialah hudud, saperti juga politik tidak
boleh dipisahkan daripada Islam. Apabila Allah tidak menurunkan
ayat-ayat hukuman jenayah termasuk hudud ketika Rasulullah S.A.W. berada
di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah. Rasulullah juga tidak
melaksanakan mana-mana undang jenayah ketika berada di Makkah. Maka
mengikut hukum Islam tidak diizinkan bagi seseorang bahkan haram berdosa
sekiranya menangkap pencuri di rumahnya dan melaksanakan hukum hudud
sendiri. Begitulah juga terhadap penjenayah yang lain. Pelaksanaannya
mewajibkan penyiasatan dan kehakiman yang adil dibawah kuasa politik
yang mengadakan kerajaan yang sah berdaulatnya. Maka Rasulullah S.A.W.
terpaksa berhijrah ke Madinah setelah dihalang berpolitik di Makkah.
Boleh jadi mereka yang melarang hukum hudud dipolitik itu jahil ilmu
politik, khususnya politik Islam.
Ada pun MCA yang menuduh Umno sudah hilang akal, menandakan Umno
tidak berdakwah. Ini kerana politik tidak dihubungkan dengan dakwah.
Sebenarnya Umno tidak hilang akal, tetapi akalnya datang semula setelah
hilang. Tahun 80-an pernah seorang wakil rakyat Umno daripada negeri
Johor mencadangkan wanita diberi pakai cawat besi. Di waktu itu hukum
hudud dianggap jumud atau tidak bertamadun dan berbagai-bagai kenyataan
songsang dikeluarkan mereka. Namun kita mengharapkan ia timbul kerana
kejahilan mereka. Bagaimana pula dengan ahli-ahli biro agama Umno yang
diam membisu atau bersilat di hadapan Allah bahawa undang-undang Islam
tidak boleh dilaksanakan, atau dengan ungkapan 'kami pun mahu
melaksanakan juga, tetapi belum tiba masanya'. Sekarang sudah lima puluh
tahun lebih Umno memimpin negara, masih belum tiba masanya.
Bersyukur kepada Allah kerana PAS telah berjaya mencetuskan kesedaran
kembali kepada Islam, sehingga suaranya bukan sahaja berjaya menerima
kedatangan beberapa tokoh Umno untuk menyertai PAS secara terbuka atau
secara senyap, tetapi juga menerima kedatangan kalangan pagawai kerajaan
dan para ilmuan. Tercetusnya suara pelaksanaan Islam dalam diri Umno
menandakan suara PAS sudah masuk ke dalam telinga mereka yang berada
dalam bahtera Umno. Mengapa masa lebih setengah abad bahtera Umno masih
tidak sampai ke destinasi melaksanakan Islam yang ditunggu-tunggu?
Mungkin laksana mereka yang menaiki bas ekspres yang tidak membaca tiket
yang dibeli atau apa yang ditulis ke mana arahnya politik kenderaan
Umno.
DAP yang bergaul dengan PAS menentang hukum hudud secara terbuka dan
berhujah dengan tegas. PAS terpaksa menjawab hujah DAP dan melayan media
Umno yang mahu melagakan PAS dengan DAP. Namun tidaklah sampai DAP
menuduh PAS hilang akal sebagaimana MCA sebut kepada Umno.
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment