Isu
berhubung atlet yang beragama Islam dalam menyertai Sukan Olimpik 2012 yang
diadakan pada bulan Ramadan menjadi perhatian ramai pihak kerana membabitkan
perbincangan bagi ibadah puasa terhadap atlet tersebut. Sukan Olimpik tersebut
diadakan di London, England, United Kingdom bermula 27 Julai sehingga 12 Ogos
2012.[1]
Sehubungan
itu, MANHAL PMRAM membahagikan perbincangan kepada beberapa bahagian iaitu :
Kewajipan
Puasa Dalam Bulan Ramadan
Ibadah
puasa dalam bulan Ramadan merupakan satu kewajipan dan salah satu daripada rukun
Islam yang lima.
Ibnu
Jarir meriwayatkan daripada Muaz bin Jabal RA berkata[2] :
فإن
رَسُولَ اللَّهِ صلى اللَّهُ عليه وسلم قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَجَعَلَ يَصُومُ من
كل شَهْرٍ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ
وَصَامَ عَاشُورَاءَ وَصَامَ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا من رَبِيعٍ إلى شَهْرِ
رَبِيعٍ إلى شَهْرِ رَمَضَانَ ثُمَّ إِنَّ اللَّهَ عز وجل فَرَضَ عليه شَهْرَ
رَمَضَانَ فَأَنْزَلَ عليه كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ
"Sesungguhnya Rasulullah SAW tiba di
Madinah, maka baginda SAW berpuasa pada hari 'Asyura dan puasa 3 hari tiap-tipa
bulan. Dan adalah baginda berpuasa sedemikian selama 17 bulan bermula bulan
Rabiulawal sehingga Rabiulawal tahun seterusnya sehingga masuk ke bulan
Ramadan. Selepas itu, Allah mensyariatkan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan
dengan
menurunkan ayat mengenai kewajipan berpuasa (yang bermaksud ):
“Wahai
orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa,” (Surah Al-Baqarah :
183)
Hadis
yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, Nabi SAW bersabda,
"Dibina
Islam itu atas 5 asas, penyaksian bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan
Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa
dalam bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.” (Bukhari
dan Muslim)
Dalam
ilmu usul fiqh kewajipan puasa dalam bulan Ramadan termasuk dalam ketegori
wajib mudhaiyaq (sempit)[3]. Maka wajib mudhaiyaq (sempit)
merujuk kepada tempoh puasa tersebut yang hanya pada bulan Ramadan, tidak pada
bulan yang lain serta menjadi kewajipan setiap tahun bagi mereka yang cukup
syarat iaitu Islam, baligh, berakal, bermukim dan mampu dari sudut syara’ dan
kemampuan.[4]
Justeru,
kewajipan puasa dalam bulan Ramadan merupakan wajib mudhaiyaq (sempit)
yang tidak ada pilihan waktu lain untuk ditangguhkan bahkan menjadi kewajipan
untuk dilaksanakan pada setiap tahun apabila cukup syarat. Ia berbeza dengan
dengan kewajipan Haji yang merupakan wajib muwassa’ (luas) yang
memberikan ruang waktu yang lain jika ada penangguhan. Maka dalam kewajipan
puasa dalam bulan Ramadan tidak timbul soal ‘tangguh’.
Adapun
rukhsoh (keringanan) yang diberikan kepada beberapa golongan bukanlah
merupakan tangguh akan tetapi sebagai keringanan bagi golongan yang diberikan
keuzuran untuk berbuka dalam masa yang sama wajib ganti puasa pada hari yang
dibuka pada hari lain. Maka wajib ganti tersebut merupakan dalil bahawa
kewajipan puasa tidak boleh ditangguh bahkan golongan yang diberikan rukhsoh
(keringanan) dikenakan puasa ganti. Dan juga golongan yang tidak mampu untuk
berpuasa seperti orang tua yang memang tidak mampu berpuasa dan orang sakit
yang tidak ada harapan untuk sembuh dikenakan bayar fidyah mengikut bilangan
hari yang ditinggalkan puasa. Hal ini menunjukkan bahawa kewajipan puasa dalam
Ramadan tidak boleh ditangguhkan.
Golongan
Yang Mendapat Rukhsoh Dalam Berpuasa
Terdapat
beberapa golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) dalam berpuasa. Rukhsoh
(keringanan) yang diberikan merupakan pilihan kepada orang yang berpuasa
tersebut sama ada untuk meneruskan puasa atau berbuka namun menggantikannya
pada hari yang lain.
Golongan
yang diberikan rukhsoh (keringanan) ialah :
1-
Musafir
-
Musafir yang mubah, bukan musafir bertujuan
melakukan maksiat.
-
Lebih 2 marhalah iaitu melebihi 80 atau 90
kilometer[5]
Firman
Allah SWT yang bermaksud :
“Maka
sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan
keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)
Imam
Ibnu Taimiyah berkata : “Sesiapa yang mengingkari bahawa diberikan rukhsoh
(keringanan) atas sebab musafir, maka orang tersebut dituntut untuk bertaubat,
jika ia tidak bertaubat maka ia dihukumkan sebagaimana orang yang murtad.”[6]
2-
Orang Yang Sakit
Berdasarkan
kepada firman Allah SWT yang bermaksud :
“Maka
sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan
keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)
Sakit
yang diberikan keringanan ialah sekiranya berpuasa akan menyebabkan bertambah
mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk
sembuh.
3-
Orang Yang Mengandung Dan Yang Menyusukan Anak
Sama
ada bimbang keselamatan diri atau anak dalam kandungan atau anak yang
disusukan. Dalilnya diqiaskan kepada keringanan yang diberikan kepada orang
yang bermusafir dan sakit.[7]
4-
Orang Tua Yang Tidak Ada Kemampuan Untuk Berpuasa
Termasuk
juga dalam kategori ini orang yang sakit namun tidak ada harapan untuk sembuh.
Maka diberikan keringanan untuk berbuka bahkan wajib jika menyebabkan kematian.
Tidak dikenakan puasa ganti melainkan membayar fidyah mengikut bilangan hari
yang ditinggalkan berpuasa.[8]
Ibadah
Puasa Bagi Atlet Yang Memasuki Sukan Olimpik
Sebagaimana
yang telah dibentangkan di atas bahawa ibadah puasa dalam Ramadan bagi atlet
yang beragama Islam wajib dilakukan dan tidak boleh ditangguh.
Namun
jika atlet termasuk dalam kategori yang bermusafir maka diberikan keringanan
untuk berbuka dan wajib ganti pada hari yang lain. Syarat musafir yang
diberikan rukhsoh (keringanan) untuk berbuka ialah musafir yang diharuskan
iaitu bukan bertujuan maksiat dan melebihi 2 marlahah iaitu 80 atau 90
kilometer.[9]
Maka
jika atlet tersebut bermusafir bagi bertujuan untuk bersukan iaitu riadhah
kerana bersukan itu hukum asalnya adalah diharuskan[10] dan antara faedah sukan
itu ialah menyegarkan tubuh badan maka ia termasuk dalam kategori musafir yang
diharuskan. Walaupun di saat ia bersukan ia melakukan maksiat iaitu tidak
menutup aurat. Hal ini demikian kerana tujuan asal adalah diharuskan.[11]
Berbeza
dengan musafir yang bertujuan maksiat, maka ia tidak diberikan rukhsoh
(keringanan) kerana kaedah menyebutkan bahawa :
“Rukhsoh
(keringanan) tidak diberikan kepada perkara maksiat”
Justeru,
jika atlet berniat ketika musafir untuk membuka aurat dalam pertandingan maka
niat musafirnya adalah bertujuan maksiat dan tidak diberikan rukhsoh
(keringanan).
Dan
tempoh rukhsoh (keringanan) berhubung musafir adalah berdasarkan kepada
tempoh musafir. Temph musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) ini
terdapat perselisihan pandangan fuqaha[12] :
1-
Mazhab Hanafi : jika niat bermukim selama 15 hari
dan lebih maka tidak ada rukhsoh (keringanan) sebaik tiba di tempat
bermukim
2-
Mazhab Maliki Dan Mazhab Syafie : jika niat
bermukim di sesuatu tempat empat hari atau lebih, maka tidak ada rukhsoh
(keringanan) apabila sampai di tempat bermukim
3-
Mazhab Hanbali : jika niat bermukim di sesuatu lebih daripada
empat hari, maka tidak ada rukhsoh (keringanan) apabila sampai di tempat
bermukim
Justeru
rukhsoh (keringanan) untuk berbuka tersebut bukan paksaan ke atas atlet.
Rukhsoh (keringanan) bukanlah disebabkan Sukan Olimpik, tetapi
disebabkan musafir yang memenuhi syarat (muafir yang diharuskan, melebihi 2
marlahah dan dalam tempoh bermusafir). Bahkan mana-mana individu muslim yang
bermusafir diberikan rukhsoh (keringanan) kerana musafir itu sendiri
sebab bagi rukhsoh (keringanan).
Dan
inilah yang ditegaskan oleh Imam Ibnu Taimiyah : “Sesiapa yang mengingkari
bahawa diberikan rukhsoh (keringanan) atas sebab musafir, maka orang
tersebut dituntut untuk bertaubat, jika ia tidak bertaubat maka ia dihukumkan
sebagaimana orang yang murtad.”[13]
Bahkan
jika terdapat atlet muslim yang sakit yang diberikan syara’ akan rukhsoh
(keringanan) iaitu sekiranya berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada
pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh, maka
rukhsoh (keringanan) tersebut adalah disebabkan sakit itu bukannya
disebabkan Sukan Olimplik.
Maka
ini sebagaimana juga dengan fatwa yang diberikan oleh Syeikh Atiyah Saqar
berkenaan soalan yang diajukan kepada beliau mengenai bolehkan seseorang yang
menduduki peperiksaan di bulan Ramadan untuk berbuka bagi memudahkan
mengulangkaji? Lalu Syeikh Atiyah Saqar menjelaskan bahawa orang tersebut
diberikan rukhsoh (keringanan) untuk berbuka disebabkan sakit bukan
disebabkan peperiksaan. Hal ini demikian beradasarkan kepada firman Allah SWT
yang bermaksud :
“Maka
sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan
keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)
Begitu
juga dengan fatwa yang diberikan oleh Syeikh Ali Jumuah, pada 9 Julai 2012
berkenaan ibadah puasa atlet ketika Ramadan dengan menyebut :
الاِفْطارُ فِي حَالَةِ السَفَر أَوْ
المَرَض طَبَقًا لِلنَّصِّ القُرْآنِي : فَمَنْ كانَ مِنكُم مَريضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ
فَعِدَّةٌ مِن أَيَّامٍ أُخَر". وتابع جمعة "لا عَلاقَةَ بِالرِياضَة بِهذِه الرُخْصَة لِاَنَّهُ
لَوْ اُقِيْمَتْ البُطُولَةُ فِي مِصْر مَا جازَ الاِفْطَار
“Berbuka
(disebabkan rukshoh) dalam keadaan musafir atau sakit terdapat dalam nas
al-Quran iaitu “Maka
sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan
keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.”. Dan Syeikh Ali
Jumuah menambah bahawa rukhsoh tersebut tidak ada kaitan dengan sukan (Olimpik)
kerana jika pertandingan diadakan dalam Mesir maka (atlet Mesir) tidak
diharuskan berbuka.”
Adapun jika berbuka puasa kerana pekerjaan yang berat
sehingga mengganggu nafkah wajib dalam kehidupan[14], maka dilihat kepada
beberapa perkara :
1-
Tidak ada pekerjaan yang
lain melainkan pekerjaan itu sahaja. Dan pekerjaan berat tersebut mestilah yang
diharuskan oleh syara’.
2-
Mendatangkan mudarat
kepada diri sama ada ketika bekerja atau tidak mampu puasa menyebabkan tidak
mendapat nafkah.
3-
Maka jika mudarat itu
datang ke atas dirinya, maka dilihat kepada batasan bagi golongan sakit yang
diberikan rukhsoh (keringanan) iaitu berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada
pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh. Rukhsoh (keringanan)
yang diberikan adalah kerana sakit yang menimpa.
4- Jika mudarat itu datang
disebabkannya tidak mampu bekerja sehingga menghilangkan nafkah maka dilihat
bahawa mestilah nafkah tersebut merupakan nafkah yang wajib iaitu nafkah yang
merupakan keperluan asasi yang akan menyebabkan kecelakaan dalam kehidupan jika
hilang. Maka ia termasuk dalam konteks dharurat.[15]
5-
Dan kerja berat dalam mendapatkan
nafkah wajib tersebut terikat dalam masa dan waktu perjanjian yang dilakukan.
Maka jika selain pada waktu dan masa kontrak perjanjian, maka ia tidak
dibolehkan kerana tidak termasuk dalam konteks kerja berat dalam mendapatkan
nafkah yang wajib
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, pihak MANHAL
PMRAM menekankan beberapa perkara yang penting dalam isu yang melibakan Sukan
Olimpik dalam bulan Ramadan dan ibadah puasa bagi atlet Ramadan iaitu :
1-
Kewajipan puasa
dalam Ramadan merupakan wajib mudhaiyyaq (sempit), maka tidak boleh
ditangguhkan. Yang ada hanya rukhsoh (keringanan) untuk berbuka bagi
golongan tertentu dan diwajibkan ganti pada hari yang lain.
2-
Atlet yang
berada dalam keadaan musafir (musafir yang diharuskan dan melebih 2 marlahah)
maka diberikan rukhsoh (keringanan) dalam tempoh musafir tersebut. Rukhsoh
(keringanan) merupakan pilihan kepada atlet dan atlet tidak dipaksa untuk
berbuka.
3-
Tempoh musafir
yang diberikan rukhsoh (keringanan) adalah berbeza mengikut pandangan
fuqaha sebagaimana yang diterangkan sebelum ini, maka mestilah merujuk kepada
ahli yang berautoriti agar selari dengan realiti masyarakat Islam di Malaysia
yang mengamalkan Mazhab Syafie.
4-
Sekiranya atlet
tidak termasuk dalam golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan), maka
tidak ada rukhsoh (keringanan) lain bagi atlet tersebut untuk berbuka. Rukhsoh
(keringanan) yang diberikan adalah sebab syar’ie yang mengharuskan, bukan sebab
Sukan Olimpik.
5-
Atlet muslim
juga mestilah menutup aurat semasa dalam pertandingan kerana ia merupakan
kewajipan dan juga bagi menghormati bulan Ramadan.
6-
Maka pekerjaan
berat dalam mencari nafkah yang wajib yang diberikan rukhsoh
(keringanan) mesti dilihat dari sudut batasan mudarat ke atas diri atau
kecelakaan apabila hilang nafkah wajib serta masa yang terikat dengan
perjanjian. Justeru, adakah atlet merupakan satu pekerjaan sebagaimana dalam
perbincangan tersebut, ia perlu dinilai dari sudut apa yang telah dibincangkan
di atas.
7-
Berkenaan
dengan Sukan Olimpik yang dianjurkan dalam bulan Ramadan, MANHAL PMRAM melihat
sepatutnya negara-negara Islam dalam OIC dan Liga Arab mengambil tindakan yang
tegas dalam menuntut agar diadakan pada bulan selain Ramadan bahkan mungkin
melakukan boikot sekiranya penganjuran tersebut bertujuan mencemarkann kesucian
Ramadan dan menyentuh sensitiviti umat Islam.
8-
Ataupun
negara-negara Islam boleh mendahulukan non-Muslim bagi mewakili negara dalam
Sukan Olimpik yang dilakukan pada bulan Ramadan sekiranya dengan penarikan diri
daripada sukan tersebut akan menyebabkan kerugian. Dan jika atlet muslim juga
yang mewakili negara Islam dalam sebarang sukan dalam bulan Ramadan, maka
perbahasan adalah sebagaimana di atas.
Wallahu a'lam
Disediakan oleh barisan Felo MANHAL PMRAM 2012 yang terlibat :
Muhamad Zuhaili Saiman
Ainuddin Ishak
Ahmad Ulwan Hassim
Muhammad Zikri Mohamad Zaki
Rujukan :
1-
Al-Fiqh
al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
2-
Fiqh al-Lahwi
Wa at-Tarwih, Dr Yusuf al-Qardhawi, Makabah Wahbah
3-
Fiqh as-Siyam,
DR Yusuf al-Qardhawi, Makabah Wahbah
4-
Al-Fatawa Min
Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, cetakan Maktabah
at-Taufiqiyah
5-
At-Taqrirat
as-Sadidah Fi Masail al-Mufidah, Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhamad Al-Kaf,
cetakan Dar al-Mirath an-Nubuwah
6-
Nihayah as-Sul
Fi Syarh Minhajal-Wusul Ila ‘Ilmi al-Usul, Syeikh Jamaluddin Abdul Rahim bin
Hasan al-Isnawi
[2] تفسير آيات الأحكام jilid 1 karangan Syeikh
Muhammad Ali As-Sobuni, dan جامع البيان jilid ke-2 karangan At-Tabrani
[3] Nihayatul as-Sul Fi Syarh Minhaj al-Wusul Ila
‘Ilm al-Usul, Imam Jamaluddin Abdul Rahim bin Hassan al-Isnawi, m/s 92, cetakan
Dar Ibn Hazam
[4]
Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaily, jilid ke-3, m/s
1663-1668, cetakan Dar al-Fikr
[5] Fiqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 45,
cetakan Maktabah Wahbah
[6] FIqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 43
cetakan Maktabah Wahbah
[7] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah
Az-Zuhaily, jilid ke-3 m/s 1701, cetakan Dar al-Fikr
[8] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah
Az-Zuhaily, jilid ke-3 m/s 1701, cetakan Dar al-Fikr
[9]
Fiqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 45, cetakan Maktabah Wahbah
[10] Fiqh al-Lahwi Wa at-Tarwih, Dr Yusuf
al-Qardhawi, m/s 49 cetakan Maktabah Wahbah
[11] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah
Az-Zuhaily, jilid ke-2, m/s 1346, cetakan Dar al-Fikr
[12] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah
Az-Zuhaily, jilid ke-2, m/s 1348, cetakan Dar al-Fikr
[13] FIqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 43
cetakan Maktabah Wahbah
[14] Al-Fiqh
al-Islami Wa Adillatuh, jilid 3, m/s 1702, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar
al-Fikr
[15] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, jilid 3, m/s
1701, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
No comments:
Post a Comment