Persoalan mengenai adakah malam
nisfu Syaaban mempunyai kelebihan tertentu dan adakah terdapat larangan
untuk menghidupkan malam tersebut merupakan perkara khilaf di kalangan para
ulama’. Namun begitu khilaf yang berlaku bukanlah untuk menimbulkan kepada
perpecahan umat Islam.
Mengenai persoalan di atas, MANHAL
PMRAM membawa fatwa yang diberikan oleh Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir yang
menyatakan harus menghidupkan malam Nisfu Syaaban kerana malam tersebut
mempunyai kelebihan yang istimewa. Hujah-hujah yang diberikan dalam fatwa
beliau ialah :
1- Terdapat hadis Nabi SAW yang
menerangkan berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban, antaranya ialah hadis yang
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Apabila tiba malam nisfu
Syaaban maka hidupkanlah malam tersebut dan berpuasalah di siangnya, maka
sesungguhnya (hari tersebut) Allah SWT turun (membuka seluas-luas pintu rahmat)
ke langit dunia apabila tenggelam matahari (malam nisfu Syaaban) sehingga
terbit fajar (keesokkan) seraya berkata : Ketahuilah sesiapa yang meminta ampun
kepada-Ku maka Aku akan memberikan keampunan baginya, sesiapa yang memohon
rezeki kepada-Ku nescaya Aku akan memberikannya rezeki dan sesiapa yang memohon
kesihatan (kesembuhan) kepada-Ku akan aku berikannya kesembuhan”[1]
Walau hadis di atas merupakan
dalam kategori hadis yang lemah namun terdapat banyak hadis yang lain yang
menguatkannya berkenaan dengan kelebihan malam nisfu Syaaban. Hal ini
sebagaimana yang diceritakan oleh Syeikh Al-Mubarakfuri dalam kitab Tuhfatul Ahwazi
(jilid ke-3, m/s 442, cetakan Dar Al-Fikr), dan beliau berkata bahawa kesemua
hadis-hadis tersebut (berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban) merupakan hujah
bagi menjawab dakwaan pihak yang menafikan kelebihan malam nisfu Syaaban.
2- Pensyariatan menghidupkan (hukumnya
harus) malam nisfu Syaaban adalah berdasarkan kepada amalan para salafus soleh
bahkan ia merupakan pendapat majoriti ulama’ dan ia dilakukan di Negara-negara
Islam. Antaranya ialah pendapat Imam As-Syafie yang dinyatakan dalam kitab
Al-Um (jilid pertama, m/s 264, cetakan Dar Al-Fikr) iaitu : terdapat 5 malam
yang dimakbulkan doa iaitu malam Jumaat, malam Eidul Adha, malam Eidul Fitri,
malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.
3- Berkata Imam Al-Fakihi (wafat
pada tahun 272 H) di dalam kitabnya yang berjudul “ Akhbar Makkah Fi Qadimi
Ad-Dahr Wa Hadisihi” (jilid ke-3, m/s 84, cetakan Dar Al-Hadhr) : antara amalan
dan ijtihad penduduk Mekah pada malam nisfu Syaaban disebabkan kelebihan yang
terdapat pada malam tersebut ialah mereka samada lelaki dan wanita akan keluar
menuju ke masjid, mereka akan solat, melakukan tawaf dan menghidupkan malam
tersebut dengan membaca Al-Quran sehingga khatam di dalam Masjid Al-Haram sehinggalah
waktu Subuh dan mereka juga melakukan ibadah solat.
4- Berkata Syeikh Zainuddin bin
Nujaim Al-Hanafi (ulama’ besar Hanafi) dalam kitab yang berjudul “Al-Bahr
Ar-Raiq” (jilid ke-2, m/s 56 cetakan Dar Al-Makrifat) : antara perbuatan sunat ialah
dengan menghidupkan 10 malam bulan Ramadhan, dua malam Raya, malam kesepuluh
Zul-Hijjah dan malam nisfu Syaaban, sebagaimana terdapat dalam hadis-hadis
mengenainya (kelebihan menghidupkan malam-malam tersebut).
5- Syeikh Ibnu Taimiyah Al-Hanbali
sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Al-Fatawa Al-Kubra (jilid ke-5, m/s
344, cetakan Dar Al-Kutub Al-Ilmiah) : Adapaun pada malam nisfu Syaaban
tersebut mempunyai kelebihan, dan para salafus soleh melakukan ibadah solat
pada malam tersebut (dengan erti kata menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan
melakukan ibadah).
6- Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali
menyatakan di dalam kitabnya yang berjudul “Latoif Al-Ma’arif Fima Al-Mawasim Al-‘Am Min Al-Wazoif” (m/s
263, cetakan Dar Ibnu Kathir) : Ulama Syam berbeza pendapat dalam menyatakan
sifat atau bentuk menghidupkan malam (yang mempunyai kelebihan seperti malam
nisfu Syaaban) kepada 2 pandangan :
1) Harus menghidupkan malam-malam (yang
tertentu yang mempunyai kelebihan) secara berjemaah iaitu beramai-ramai di
masjid. Dan ia bukan termasuk dalam perkara bid’ah (iaitu bid’ah yang terlarang).
2) Makruh menghidupkan malam-malam
(yang tertentu yang mempunyai kelebihan) secara beramai-ramai di masjid seperti
solat dan zikir, namun harus iaitu tidak makruh jika melakukan secara individu.
Ini merupakan pendapat Imam l-Auza’i.
Maka
berdasarkan kepada perselisihan pendapat di atas, dapat dilihat bahawa ulama’
sepakat bahawa disyariatkan iaitu harus serta sunat menghidupkan malam-malam (yang
tertentu yang mempunyai kelebihan), namun mereka hanya berbeza mengenai cara
menghidupkannya samada secara jemaah atau sendiri, dan perbezaan yang berlaku
tersebut hanya melibatkan hukum makruh, tidak sampai ke tahap yang haram.
Namun yang lebih tepat ialah harus dan tidak makruh kerana suruhan berbentuk
galakan menghidupkan malam-malam tersebut merupakan suruhan yang berbentuk
mutlak iaitu tidak diperincikan cara bagaimana ia termasuk dalam apa jua jenis
ibadah yang disyariatkan. Justeru apabila ia dilakukan secara individu mahupun
berjemaah maka ia adalah satu perbuatan yang baik dan elok.
Sehubungan itu, berkenaan
dengan fadhilat malam nisfu Syaaban serta menghidupkannya dengan ibadah-ibadah
merupakan khilaf ulama’. Justeru MANHAL PMRAM membawakan terjemahan daripada
fatwa Syeikh Ali Jumaah yang menyatakan terdapat pandangan ulama’ yang
menyatakan hukumnya adalah harus. Maka bagi sesiapa yang ingin menghidupkan
malam nisfu Syaaban terdapat hujah-hujah yang mengharuskan. Manakala bagi pihak
yang tidak mahu menghidupkan malam-malam tersebut termasuk malam nisfu Syaaban
maka ia terpulang kerana hukum adalah harus, bukan wajib. Bagi mereka yang
melakukan dapat pahala sunat, dan yang tidak mahu melakukan tidak berdosa. Ia
merupakan khilaf pada perkara cabang. Selaku umat Islam, kita perlu memahami
adab berkhilaf dan tidak menjadikan khilaf yang berlaku sebagai perpecahan.
Jagalah kesatuan umat Islam, dan beramallah dengan keyakinan berdasarkan
hujah-hujah yang jelas, bukan hanya taklid tanpa pengetahuan.
Wallahu a’lam
Terjemahan dan olahan oleh :
Muhamad Zuhaili bin Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM
2012
**Terjemahan dan olahan dari Majalah Al-Azhar, keluaran Bulan Syaaban 1433 H / Julai 2012,
m/s 1834-1835
No comments:
Post a Comment