Tuesday 29 September 2009

Arsenal : Arsene Wenger


dari Nagoya Grampus Eight ke ARSENAL.

MAAF, ini untuk 'kipas susah mati' The Gunners.

1 Oktober 2009 genap 13 tahun 'The Professor' memimpin The ARSENAL dan memecahkan rekod sebagai manajer terlama dalam sejarah Arsenal yang dipegang oleh George Allison (12 tahun 11 bulan).

Syabas dan tahniah.

Ingat, perjuangan masih di awal garisan.

Tambahan : Malam ini bertemu wakil Greek Olympiakos Piraeus dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Monday 28 September 2009

'Wa Laisa al zakaru Kal Unsa'


(Gambar Hiasan) Penulis bergambar di hadapan Main Hall Universiti Kaherah.

SELAMA dua hari saya dan sahabat-sahabat yang lain ralit menekuni hampir 20 kertas kerja yang dibentangkan dalam International Conference On Malaysia "Malaysia in Global Perspective" yang diadakan di Universiti Kaherah, Mesir.

Ini bukan kali pertama saya masuk ke dalam Universiti Kaherah. Seingat saya pada tahun 2006, adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke universiti yang berusia 101 tahun pada tahun ini.

Bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki tentu terpegun dengan suasana dan keadaan yang menarik dan sistematik yang terdapat di Universiti Kaherah. Saya terdengar perbualan beberapa orang sahabat yang cuba untuk membandingkan di antara Universiti al-Azhar asy-Syarif dengan Universiti Kaherah.

Antara perkara yang menjadi pertanyaan ialah mengapa sehinga ke hari ini, Universiti al-Azhar masih mengekalkan imej 'klasik' dan boleh dikatakan hampir tidak berubah sejak ditubuhkan.

Saya cuba membawa minda kita pada zaman di mana al-Azhar ketika itu bermula dengan sistem pengajian yang berorientasikan jami' (masjid). Masjid al-Azhar itulah sebenarnya yang menjadi kebanggaan umat Islam di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Masjid al-Azhar asy-Syarif didirikan pada 14 Ramadan tahun 359 H (971 M).

Para penuntut ilmu menadah mutiara ilmu yang keluar dari mulut mulia ulama'-ulama' al-Azhar dengan bertalaqqi (belajar secara berhadapan) di masjid al-Azhar. Mereka duduk di atas lantai masjid dan belajar dengan tekun dan istiqamah. Suasana ini menjadikan khirrij (graduan al-Azhar) pada zaman dahulu begitu tawadhu' dan mampu menjadi ulama' rabbani.

Hari ini, jami' (masjid) ditukar kepada jami'ah (universiti). Pengajian dibuat di dalam dewan kuliah dan diajar oleh pensyarah atau biasa digelar duktur. Para pelajar duduk di atas kerusi dan menulis di atas meja. Suasana ini memungkinkan kurangnya sifat tawadhu' ketika menuntut ilmu. Lebih teruk lagi jika perasaan ego menguasai diri. Merasa diri lebih hebat daripada orang lain. Nau'zubillah.

Jika dahulu, sistem pengajian di al-Azhar tidak terbatas dan tidak dikhususkan kepada bidang-bidang tertentu. Para penuntut mempelajari semua jenis ilmu dan tidak terhad kepada pengkhususan dalam ilmu yang dipelajari. Para ulama' dahulu mahir dalam semua bidang ilmu. Seorang ulama' pakar dalam ilmu feqah, tafsir, hadith dan dalam bidang perubatan sekaligus.

Pada masa sekarang, Universiti al-Azhar telah membuat pengkhususan dalam bidang-bidang ilmu. Wujudnya sistem yang membahagikan bidang ilmu kepada pecaha-pecahan yang disusun mengikut kesesuaian. Terbentuknya kuliah syariah, usuluddin, bahasa arab, perubatan, pertanian dan bermacam jenis lagi yang menunjukkan pengkhususan dalam bidang ilmu tersebut. Hampir tidak ada lagi yang mampu menguasai semua jenis cabang ilmu seperti dahulu.

Bermula hanya di Kota Kaherah yang menjadi pusat pengajian, kini telah dibuka cawangan-cawangan Universiti al-Azhar ke muhafazah di seluruh Mesir. Al-Azhar hebat kerana masjid tuanya yang telah banyak melahirkan ilmuan Islam yang memimpin seantero dunia. Berbahagialah bagi mereka yang merasakan naungan lembayung al-Azhar asy-Syarif.

Perlu diingat bahawasanya, dari dahulu hingga ke hari ini, jami' dan jami'ah tidak akan pernah sama. Wa laisa al zakaru kal unsa!

Saturday 26 September 2009

Jom Berbicara!


MALAM ini saya akan menghadiri sebuah program BICARA SISWA dengan tajuk yang begitu menarik iaitu, "Mahasiswa : Antara Ledakan Ideologi dan Masa Depan Negara.

Antara ahli panel ialah al-Fadhil Ust. Hairul Nizam Mat Husain yang pernah mendiskusikan Terjemahan Kitab Nihayah al-Sul, di Rumah Sabah, Kaherah.

Kepada sahabat-sahabat Sabahan yang berminat boleh 'temankan' saya pada malam ini.=)

Erti Kemerdekaan : A Samad Said


Monday 21 September 2009

Nostalgia 06.11.05


SEORANG anak desa 'terbang' pada tarikh 6 November 2005. Masih lagi di awal 'eidul fitri ketika itu.

Destinasi, Papar ke Kaherah. Dua benua yang berbeza.

Dia belajar menjadi anak rantau. Kaki yang bodoh itu dia pijakkan di tanah mulia dalam dakapan al-Azhar asy-Syarif.

Dahulu, dia banyak menjadi 'pengikut buta'. Budak hingusan kata orang, tidak tahu apa.

Kini, dia duduk dan berdiri mengikut cara orang-orang intelek agar tidak kelihatan jelik dan pelik.

Alhamdulillah, syukur pada-Mu Ya Allah.

Sunday 20 September 2009

Wajah-Wajah 1 Syawal 1430H






TAHUN ini, 'Eidul Fitri yang ke-4 saya di Ardhil Kinanah. Terlalu banyak suka dan duka yang dirasakan menjadikan diri kerdil ini semakin 'dewasa' dalam mengenal erti hidup.

Maafkan segala salah dan silap.

Penuhi 'Eidul Fitri anda dengan perkara bermanfaat dan moga sentiasa di bawah lembayung rahmat-Nya.

Minal 'Aidin Wal Faizin. Kullu 'Aam Wa Antum Bi Khair.

Amiruddin Mohd. Rosdi,
Villa Sabah, Madinat Nasr, Kaherah.

Saturday 19 September 2009

Salam 'Eidul Fitri 1430/2009

'Eidul Fitri 1427/2006

'Eidul Fitri 1428/2007


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil Hamd.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

BismillahirRahmanirRahim,

Selamat menyambut Hari Raya Eidul Fitri 1430/2009 kepada Ayahanda dan Bonda serta keluarga yang amat dirindui. Maafkan anakmu kerana sekali lagi tidak dapat beraya bersama. Mohon ampun dan maaf dari kejauhan. 'MAK, Aku terlalu merinduimu....'

elmandari mengucapkan selamat menyambut Hari Raya 'Eidul Fitri kepada semua sahabat di Kaherah, Tanta, Shibin el-Koum, Damanhur, Tafahna el-Asyraf, Zaqaziq, Dumyat, Mansourah dan Iskandariah.

Tidak dilupakan kepada semua sahabat dan kenalan di Malaysia serta para pengunjung blog ini di seluruh dunia. Salam 'Eidul Fitri.

MAAF LAHIR BATIN.

Malam Raya 1430,
Amiruddin Mohd. Rosdi,
Villa Sabah, Madinat Nasr, Kaherah.

Thursday 17 September 2009

Malam 27 Ramadhan 1430 : 'Nur' Masjid 'Amru al-'Aas





















SEMALAM, saya bersama sahabat-sahabat Sabahan yang lain berkesempatan menunaikan solat maghrib, isyak dan solat sunat tarawikh di Masjid Saidina 'Amru al-'Aas yang merupakan masjid pertama dibina di mesir.

Masjid ini dibina di zaman pemerintahan Sayyidina Umar al-Khattab pada tahun 21 Hijrah bersamaan tahun 624M sempena penaklukan negara Mesir yang dipimpin oleh Sayyidina 'Amru al-'Aas ketika itu.



Saban tahun setiap malam 27 Ramadhan, Syeikh Muhammad Muhammad Sayyid Hasanin Jibril atau lebih dikenali dengan nama Syeikh Jibril seorang Qori yang tersohor di Mesir dan di dunia akan mengimami Solat tarawikh di Masjid 'Amru al-'Aas.

Saya dan sahabat-sahabat bertolak seusai menunaikan solat asar dengan menyewa sebuah tramco. Kami tiba di kawasan masjid sekitar sejam sebelum masuk waktu maghrib dan berbuka puasa. Ribuan manusia kelihatan telah membanjiri kawasan luar dan dalam masjid.

Untuk masuk ke dalam masjid saya rasakan sudah tidak ada harapan lagi. Saya dan sahabat-sahabat yang lain akhirnya mengambil tempat yang masih ada di kawasan luar masjid.

Selepas berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib, saya cuba untuk masuk ke dalam masjid. Alhamdulillah, dengan izin Allah akhirnya saya mampu untuk masuk walaupun terpaksa berhimpit-himpit dengan jemaah yang lain.

Masjid yang yang saya perkirakan boleh memuatkan 4 hingga ke 5 ribu jemaah memang cukup 'padat'. Lautan manusia yang berada di luar dan jalan raya pun terlalu ramai semata-mata ingin bersama dan berimamkan Syeikh Muhammad Jibril. 'Inilah yang dikatakan 'aura' ulama'', bisik seorang sahabat kepada saya.

Waktu isyak masuk sekitar jam 7.20 malam. Muazzin mengalunkan azan begitu sayu dan menusuk kalbu.

Solat diimamkan oleh Syeikh Jibril seorang Qari yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat Mesir. Seorang Qari yang dikasihi dan sangat terkenal di negara Mesir.

Syeikh Jibril memiliki suara yang merdu dan lunak. Ayat-ayat al-Quran yang dibaca akan diulang-ulang mengikut kesesuaian.

Kedengaran esak tangis jemaah apabila ayat azab neraka dan dosa yang dilakukan oleh manusia dibaca. Semakin kuat dan tidak henti-henti.

Tiba ke rakaat witir yang ketiga. Inilah masa yang amat dinanti-nantikan. Jam telah menunjukkan 10 malam. Para jemaah menunggu doa qunut dibacakan. Sungguh syahdu dan mengharukan jika dapat menghayati maknanya.

Puji-pujian kepada Allah dirafa'kan. Doa keampunan dipanjatkan. Doa untuk kesejahteraan negara Mesir. Doa untuk memohon terhindar dari selsema burung dan khinzir. Sekali lagi suara tangisan kedengaran membelah malam yang hening.

Doa Qunut dibaca selama 1 jam 5 minit.

Solat berakhir sekitar jam 11.10 malam. Alhamdulillah, cukup puas dan bermakna.

Kami tiba di Villa Sabah sekitar jam 1 pagi.

Tuesday 15 September 2009

STAM Diiktiraf Kerajaan




PUTRAJAYA 15 Sept. - Pelajar lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang berkelayakan kini akan diterima memasuki semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan mulai sesi pengajian akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah terbaru itu berikutan keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan pengiktirafan ke atas lulusan sijil tersebut sama seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom mengenai hala tuju pendidikan Islam di negara ini.

Sumber : Utusan Malaysia.

Tambahan : Alhamdulillah, akhirnya STAM yang dahulu dipandang 'sebelah mata' kini setaraf dengan sijil akademik yang lain.

Monday 14 September 2009

Tentang BULAN


"Demi matahari dan cahayanya di pagi hari. Dan demi bulan apabila mengiringinya" - Surah asy-Syams (1 & 2)



SATU

Lagi beberapa hari kita akan 'berpisah' dengan BULAN Ramadhan,"Allahumma ballighna Lailah al-Qadr Yaa Karim".

Kita akan menyambut ketibaan BULAN Syawwal pula selepas ini. Selamat Hari Raya Aidul Fitri.


DUA

Dah berapa BULAN kandungan akak ni?

Ini dah masuk BULAN ketujuh.


TIGA

Apa hukumnya jika seorang wanita mengambil wudhuk (air sembahyang) ketika sedang datang BULAN (haid)?

Hukumnya mustahabbah (harus).


EMPAT

Nyatakan nama-nama BULAN dalam kalendar Islam.

Muharram, Safar, Rabiul Awwal, Rabiul Akhir, Jamadil Awwal, Jamadil Akhir, Rejab, Sya'ban, Ramadhan, Syawwal, Dzul Ka'edah dan Dzul Hijjah.


LIMA

Ada dua gerhana. Gerhana matahari dan gerhana BULAN. Gerhana bintang ada ka?

Kami menuju BULAN PURNAMA.

Sunday 13 September 2009

Video Promo : Majlis Pembacaan Kutub Sittah PMRAM



BismillahirRahmanirRahim,

PROGRAM Majlis Pembacaan Kutub Sittah yang dianjurkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) akan diadakan pada bulan oktober yang akan datang. Program ini merupakan siri pertama dan akan dimulakan dengan Kitab Sahih al-Bukhari.

Program yang akan dihadiri oleh ulama'-ulama' besar Al-Azhar ini pasti akan memberi 'sinaran cahaya' kepada semua penuntut ilmu di bumi Kinanah.

Saya kira, program ini juga mampu mengubati 'perasaan rindu' bagi mereka yang tidak kembali bercuti ke tanah air pada tahun ini. Insya-Allah.

Wednesday 9 September 2009

Wanita Al-Quran

KISAH ini saya terjemahkan dari kitab Ma’a Aulia Illahi as-Solihin karangan Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki yang dibentangkan dalam Tafaqquh Fiddin pada 16 Ramadhan 1430 Hijiriyyah bersamaan 6 September 2009 Masihi.

Saya menyarankan kepada sahabat-sahabat untuk membaca keratan kisah ini di dalam bahasa arab untuk lebih faham dan merasai 'zouq' yang lebih mendalam.


Ketika Abdullah Ibnu Mubarak Rahimahullah dalam perjalanan untuk menunaikan haji, beliau bertemu dengan seorang wanita arab yang tua melalui jalan yang jauh (dari hiruk-pikuk orang ramai).


Maka dia pergi menghampiri wanita tua tersebut dan memberi salam : Assalamualaiki wa rahmatullah.

Wanita tua itu menjawab : “Salam, sebagai ucapan selamat dari Rabb (ALLAH) Yang Maha Penyayang” – Surah Yaasin (58)

Abdullah Ibnu Mubarak berkata lagi, apa yang membuatkan kamu berada di tanah gersang ini?

Wanita itu berkata : Siapa yang Allah sesatkan maka tidak ada baginya pemberi petunjuk. Dan Allah membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan. – Surah al-A’raaf (186).

Seterusnya, Abdullah Ibnu Mubarak bertanya arah tujuan wanita tua tersebut.

Wanita tua itu berkata : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. – Surah al-Israa’ (1)

Abdullah Ibnu Mubarak bertanya lagi; berapa lama kamu akan singgah di sini?

Wanita tua itu menjawab : “Selama tiga malam” – Surah Maryam (10)

Dan ditanyakan lagi, mana bekalan(makanan) kamu?

Wanita tua itu berkata : “Dan Rabb-ku(Allah), Yang Dia memberi makan dan minum kepadaku – Surah asy-Syu’araa’ (79).

Dan ditanyakan lagi, mana air wudhu’?

Wanita itu menjawab : “Jika kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci). – Surah an-Nisaa’ (43)

Selepas itu, Abdullah Ibnu Mubarak memberikannya makananan dan berkata, ini adalah makanan yang halal dan meminta wanita tua tersebut memkannya.

Wanita tua itu berkata : “Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam. – Surah a-Baqarah (187).

Ini bukan bulan Ramadhan, kata Abdullah Ibnu Mubarak.

Wanita tua itu berkata lagi : “Dan barangsiapa yang melakukan suatu kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnhya Allah Maha Mensyukuri (member pahala) kebaikan lagi Maha Mengetahui. – Surah al-Baqarah (158)

Abdullah Ibnu Mubarak berkata, bukankah ada rukhsah bagi orang yang bermusafir untuk berbuka puasa?

Wanita tua itu berkata : “Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. – Surah al-Baqarah (184)

Abdullah Ibnu Mubarak berkata lagi; bicara denganku seperti aku berbicara denganmu (bercakap cara biasa).

Wanita tua itu berkata : “Tiada suatu kata pun yang diucapkan olehnya melainkan ada dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir. – Surah Qaaf (18)

Dan ditanyakan kepadanya dari kabilah (kumpulan) mana.

Dia menjawab : “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabnya.

Abdullah Ibnu Mubarak berkata; Maafkan aku, sesungguhnya aku telah melakukan kesilapan.

Wanita tua itu megatakan : “Pada hari ini tak ada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni (kamu).

Abdullah Ibnu Mubarak berkata lagi; Adakah kamu mahu mengikuti rombongan aku (menaiki unta)?

Wanita tua itu berkata : “Dan apa pun yang kamu kerjakan berupa kebaikan nescaya Allah mengetahuinya. – Surah al-Baqarah (197)

Abdullah Ibnu Mubarak berkata; naiklah.

Wanita tua itu berkata : “Katakanlah kepada laki-laki yang beriman : Hendaklah mereka menahan daripada pandangan-pandangannya. – Surah an-Nuur (30)

Maka unta itu ditundukkan oleh Abdullah dan mempelawa wanita tua itu untuk menaikinya.

Wanita tua itu berkata : “Maha Suci Allah Yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. – Surah az-Zukhruf (13)

Ketika Abdullah Ibnu Mubarak menarik tali unta, dia berteriak (menjerit).

Wanita tua itu berkata : “Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. – Surah Luqmaan (19)

Selepas itu Abdullah Ibnu Mubarak pun mengalunkan qasidah (khas untuk menunggang unta).

Wanita tua itu berkata : “Bacalah apa yang mudah (bagimu) dari al-Quran. – Surah al-Muzzammil (20)

Abdullah Ibnu Mubarak berkata; kamu telah memberikan peringatan (nasihat) yang banyak kepadaku.

Wanita tua itu berkata : “Dan hanya orang-orang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah) – Surah al-Baqarah (269)

Abdullah Ibnu Mubarak bertanya; Wahai makcik, adakah kamu mempunyai suami (telah berkahwin)?

Wanita tua itu berkata : “Hai orang-orang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkanmu. – Surah al-Maa’idah (101)

Ketika sampai ke tempat kafilah (konvoi) yang terpisah dari wanita tua, Abdullah Ibnu Mubarak bertanya lagi; adakah kamu mempunyai anak atau kerabat yang hampir denganmu (dalam kafilah itu).

Wanita tua itu menjawab : “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia” – Surah al-Kahfi (46)

Dan ditanyakan kepadanya tentang pekerjaan anak-anaknya di dalam kafilah tersebut.

Wanita tua itu berkata : “Dan (Dia ciptakan) tanda-tanda penunjuk jalan. Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk”. – Surah an-Nahl (16)

Dan bila ditanya nama anak-anaknya. Wanita tua itu menjawab : “Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya”. – Surah an-Nisaa’ (125)

“Dan Allah telah berbicara kepada Musa dengan langsung”. – Surah an-Nisaa’ (164)

“Hai Yahya, ambillah (pelajarilah Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. – Surah Maryam (12)

Selepas itu, wanita tua itu memanggil anak-anaknya (Ibrahim, Musa dan Yahya) untuk datang kepadanya seraya berkata : “Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakakah makanan yang lebih baik , maka hendaklah dia membawa makanan itu untukmu. – Surah al-Kahfi (19)

Ketika wanita itu datang dengan membawa makanan kepada Ibnu Mubarak : “Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan amal yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang telah lalu. – Surah al-Haaqqah (24)

Selepas dari itu, Ibnu Mubarak bertanya kepada anak-anak wanita tua tersebut untuk mengenal pasti tentang diri beliau. Anak-anaknya menjelaskan bahawasanya ibu mereka tidak pernah berbicara melainkan dengan ayat-ayat al-Quran sejak empat puluh tahun yang lalu disebabkan khuatir jika tersilap dalam mengeluarkan kata-kata. Beliau sentiasa istiqamah dalam mengamalkan kalam Allah dan terlalu cinta dan kasih kepada Allah Azza wa Jalla.

Wallahu’alam.


Amiruddin Bin Mohd Rosdi,

Penuntut Ilmu di Ruwaq al-Atrak dan Magharibah, Masjid al-Azhar asy-Syarif,
Kaherah, Mesir.

Senja Ramadhan,

08.09.09, 4.23pm.

Friday 4 September 2009

Monolog Jumaat

"Ana sami'tul khabar" sapa Ust. Hairul Nizam Mat Husain ketika bertemu beliau beberapa hari lalu. "Sabar yaa akhi". Saya cuma membalas dengan senyuman. Dalam hati saya berkata; ini hanya sebuah pengorbanan yang kecil (moga-moga dinilai di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala).


Saya cuba menaakulkan kembali kalam daripada seorang sahabat;

Sahabat : Saya sanggup berkorban tetapi tidak mahu terkorban.

Saya : Tanpa ada yang terkorban, pengorbanan itu belum sempurna.

Moga-moga hadaf kita serupa wahai sahabat!