Monday, 28 September 2009

'Wa Laisa al zakaru Kal Unsa'


(Gambar Hiasan) Penulis bergambar di hadapan Main Hall Universiti Kaherah.

SELAMA dua hari saya dan sahabat-sahabat yang lain ralit menekuni hampir 20 kertas kerja yang dibentangkan dalam International Conference On Malaysia "Malaysia in Global Perspective" yang diadakan di Universiti Kaherah, Mesir.

Ini bukan kali pertama saya masuk ke dalam Universiti Kaherah. Seingat saya pada tahun 2006, adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke universiti yang berusia 101 tahun pada tahun ini.

Bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki tentu terpegun dengan suasana dan keadaan yang menarik dan sistematik yang terdapat di Universiti Kaherah. Saya terdengar perbualan beberapa orang sahabat yang cuba untuk membandingkan di antara Universiti al-Azhar asy-Syarif dengan Universiti Kaherah.

Antara perkara yang menjadi pertanyaan ialah mengapa sehinga ke hari ini, Universiti al-Azhar masih mengekalkan imej 'klasik' dan boleh dikatakan hampir tidak berubah sejak ditubuhkan.

Saya cuba membawa minda kita pada zaman di mana al-Azhar ketika itu bermula dengan sistem pengajian yang berorientasikan jami' (masjid). Masjid al-Azhar itulah sebenarnya yang menjadi kebanggaan umat Islam di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Masjid al-Azhar asy-Syarif didirikan pada 14 Ramadan tahun 359 H (971 M).

Para penuntut ilmu menadah mutiara ilmu yang keluar dari mulut mulia ulama'-ulama' al-Azhar dengan bertalaqqi (belajar secara berhadapan) di masjid al-Azhar. Mereka duduk di atas lantai masjid dan belajar dengan tekun dan istiqamah. Suasana ini menjadikan khirrij (graduan al-Azhar) pada zaman dahulu begitu tawadhu' dan mampu menjadi ulama' rabbani.

Hari ini, jami' (masjid) ditukar kepada jami'ah (universiti). Pengajian dibuat di dalam dewan kuliah dan diajar oleh pensyarah atau biasa digelar duktur. Para pelajar duduk di atas kerusi dan menulis di atas meja. Suasana ini memungkinkan kurangnya sifat tawadhu' ketika menuntut ilmu. Lebih teruk lagi jika perasaan ego menguasai diri. Merasa diri lebih hebat daripada orang lain. Nau'zubillah.

Jika dahulu, sistem pengajian di al-Azhar tidak terbatas dan tidak dikhususkan kepada bidang-bidang tertentu. Para penuntut mempelajari semua jenis ilmu dan tidak terhad kepada pengkhususan dalam ilmu yang dipelajari. Para ulama' dahulu mahir dalam semua bidang ilmu. Seorang ulama' pakar dalam ilmu feqah, tafsir, hadith dan dalam bidang perubatan sekaligus.

Pada masa sekarang, Universiti al-Azhar telah membuat pengkhususan dalam bidang-bidang ilmu. Wujudnya sistem yang membahagikan bidang ilmu kepada pecaha-pecahan yang disusun mengikut kesesuaian. Terbentuknya kuliah syariah, usuluddin, bahasa arab, perubatan, pertanian dan bermacam jenis lagi yang menunjukkan pengkhususan dalam bidang ilmu tersebut. Hampir tidak ada lagi yang mampu menguasai semua jenis cabang ilmu seperti dahulu.

Bermula hanya di Kota Kaherah yang menjadi pusat pengajian, kini telah dibuka cawangan-cawangan Universiti al-Azhar ke muhafazah di seluruh Mesir. Al-Azhar hebat kerana masjid tuanya yang telah banyak melahirkan ilmuan Islam yang memimpin seantero dunia. Berbahagialah bagi mereka yang merasakan naungan lembayung al-Azhar asy-Syarif.

Perlu diingat bahawasanya, dari dahulu hingga ke hari ini, jami' dan jami'ah tidak akan pernah sama. Wa laisa al zakaru kal unsa!

No comments: