Thursday, 17 September 2009
Malam 27 Ramadhan 1430 : 'Nur' Masjid 'Amru al-'Aas
SEMALAM, saya bersama sahabat-sahabat Sabahan yang lain berkesempatan menunaikan solat maghrib, isyak dan solat sunat tarawikh di Masjid Saidina 'Amru al-'Aas yang merupakan masjid pertama dibina di mesir.
Masjid ini dibina di zaman pemerintahan Sayyidina Umar al-Khattab pada tahun 21 Hijrah bersamaan tahun 624M sempena penaklukan negara Mesir yang dipimpin oleh Sayyidina 'Amru al-'Aas ketika itu.
Saban tahun setiap malam 27 Ramadhan, Syeikh Muhammad Muhammad Sayyid Hasanin Jibril atau lebih dikenali dengan nama Syeikh Jibril seorang Qori yang tersohor di Mesir dan di dunia akan mengimami Solat tarawikh di Masjid 'Amru al-'Aas.
Saya dan sahabat-sahabat bertolak seusai menunaikan solat asar dengan menyewa sebuah tramco. Kami tiba di kawasan masjid sekitar sejam sebelum masuk waktu maghrib dan berbuka puasa. Ribuan manusia kelihatan telah membanjiri kawasan luar dan dalam masjid.
Untuk masuk ke dalam masjid saya rasakan sudah tidak ada harapan lagi. Saya dan sahabat-sahabat yang lain akhirnya mengambil tempat yang masih ada di kawasan luar masjid.
Selepas berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib, saya cuba untuk masuk ke dalam masjid. Alhamdulillah, dengan izin Allah akhirnya saya mampu untuk masuk walaupun terpaksa berhimpit-himpit dengan jemaah yang lain.
Masjid yang yang saya perkirakan boleh memuatkan 4 hingga ke 5 ribu jemaah memang cukup 'padat'. Lautan manusia yang berada di luar dan jalan raya pun terlalu ramai semata-mata ingin bersama dan berimamkan Syeikh Muhammad Jibril. 'Inilah yang dikatakan 'aura' ulama'', bisik seorang sahabat kepada saya.
Waktu isyak masuk sekitar jam 7.20 malam. Muazzin mengalunkan azan begitu sayu dan menusuk kalbu.
Solat diimamkan oleh Syeikh Jibril seorang Qari yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat Mesir. Seorang Qari yang dikasihi dan sangat terkenal di negara Mesir.
Syeikh Jibril memiliki suara yang merdu dan lunak. Ayat-ayat al-Quran yang dibaca akan diulang-ulang mengikut kesesuaian.
Kedengaran esak tangis jemaah apabila ayat azab neraka dan dosa yang dilakukan oleh manusia dibaca. Semakin kuat dan tidak henti-henti.
Tiba ke rakaat witir yang ketiga. Inilah masa yang amat dinanti-nantikan. Jam telah menunjukkan 10 malam. Para jemaah menunggu doa qunut dibacakan. Sungguh syahdu dan mengharukan jika dapat menghayati maknanya.
Puji-pujian kepada Allah dirafa'kan. Doa keampunan dipanjatkan. Doa untuk kesejahteraan negara Mesir. Doa untuk memohon terhindar dari selsema burung dan khinzir. Sekali lagi suara tangisan kedengaran membelah malam yang hening.
Doa Qunut dibaca selama 1 jam 5 minit.
Solat berakhir sekitar jam 11.10 malam. Alhamdulillah, cukup puas dan bermakna.
Kami tiba di Villa Sabah sekitar jam 1 pagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
paling istimewa solat tarawih bersama syeikh jibril ialah pada rakaat terakhir solat witir...bacaaan qunut nya yg panjang antara keistimewaan dan ketenangan bg yg mghayatinya..hehe...saya juga bkesampatan pd tahun lalu bsamanya..
Post a Comment