Wednesday 31 December 2008

HIJRAH - Bukan Cerita Biasa


SABAN tahun kita memperingati ketibaan tahun baharu Hijriah. Ini tahun ke 1430. Acapkali juga azam baharu menjelma di nubari. Hijrah dari satu situasi ke situasi yang berbeza. Hijrah dari satu sudut ke sudut yang berlainan. Hijrah dari yang kurang baik ke tahap yang lebih baik hingga boleh disifatkan hijrah itu menghampiri ke arah kesempurnaan.

Sehari sebelumnya, saya ditaklifkan menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk "Sejarah Di Sebalik Ma'al Hijrah" di hadapan para ahli Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir. Intipati utama yang saya perkatakan adalah sejauh mana sebenarnya penghayatan kita tentang sirah Hijrah Rasulullah S.A.W bersama para sahabat. Semua saya kira sudah sedia maklum, hijrah itu boleh sahaja ditakrif dengan kata berpindah atau migrate dalam lughah 'orang kampung'. Apa sebenarnya yang dikehendaki dari penghijrahan?

Hijrah bukan 'suka-suka'. Bukan tanpa matlamat. Perlu ada persediaan yang jitu agar misi yang dirancang tidak berterbangan seperti daun-daun kering yang dihembus bayu. Apapun status kita; seorang ketua hakim, jurutera, petani, doktor, ustaz hatta pekerja kaunter tol sekalipun tetap juga seorang HAMBA yang mendambakan keredhaan daripada Allah S.W.T. Hijrah Nabi memberikan kita inspirasi dan tarbiyyah spiritual yang amat berkesan dalam mengajar kita erti ukhuwah, kesabaran dan jihad mendepani apa jua mehnah dan tribulasi.

Ini bukan cerita dongeng jauh sekali sebuah mitos yang direka agar kelihatan gah berbanding 'naskhah' asal. Penghijrahan Rasulullah dari Kota Mekah al-Mukarramah ke Yathrib (Madinah al-Munawwarah) sebenarnya suatu signifikan indah yang telah diilhamkan oleh Allah S.W.T kepada Baginda. Ini secara jelas membuktikan bahawasanya persoalan akidah wajib dipertahankan dengan apa cara sekalipun walau nyawa jadi taruhan. Setelah pelbagai kekangan dan ancaman yang dilakukan oleh puak kuffar terhadap kaum muslimin ketika itu, Allah secara rasminya telah memerintahkan HIJRAH ke atas mereka.

Kita pula bagaimana? Memang sudah tidak ada hijrah lagi selepas Hijrah Nabi. Hijrah di waktu sekarang adalah hijrah memperbaiki peribadi menuju alam hakiki. Walaupun kita tidak berada di zaman penghijrahan Baginda dan para sahabat, semangat jihad yang terdapat dalam konotasi hijrah seharusnya kita ambil cakna dalam kehidupan seharian. Boleh saja indivitu itu mengatakan dia telah berhijrah; tapi, hijrah yang bagaimana? Hijrah itu menuntut pengorbanan. Hijrah juga perlukan kesabaran.

Dengan lafaz BismillahirRahmanirRahim, langkah diatur. Kita mulakan hijrah pada diri sekali lagi. Perlu diingat, jangan bersendirian ketika berhijrah. kita perlu teman menemani perjalanan. Andai langkah kaki kita ada yang sumbang, si teman itu yang akan jadi pemerhati dan penegur yang setia.


P/S: Salam Ma'al Hijrah 1430H kepada semua ummat Islam dan selamat menyambut Tahun Baharu 2009.

Sunday 21 December 2008

RENCAM 2008

Salam, tahniah diatas kemenangan serta terpilihnya selaku pemegang amanah. Semoga bkpsm dpt dipandu dgn kejayaan serta tetap murni dr unsur2 yg tdk kita inginkan ~ via hp

Salam. alfu mabruk bang! makin tngi, alhamdulillah................... ~ via hp

Salam. Mir, alfu mabruk cz jd ydp bkpsm yg bru. Smoga sukses slalu. ~ via hp

Alfi MABRUK 3ala... YDP BKPSM el-gidid.... Allahu ma3aku.. ~ via blog

"انا لله و انا اليه راجعون"

...dan seterusnya... Syukran...

Novel Ayat-Ayat Cinta plus tauqi' Habiburrahman el Shirazy.

Memiliki sendiri Kamus al-Asry yang 'original'.

Dari koleksi kit + sweater, syal dan yang terbaharu mug ber'label' MERIAM pemberian...

Ungkapan Senni Seviyorum daripada...

Dah 3 tahun tak balik Sabah.

Red Devils dan The Blues tumbang vs The Gunners untuk tahun ini, hari ini vs The Reds, bagaimana???

Sekarang... meladeni zouq imtihan=)

"رب اشرح لي صدري ويسر لي أمري واحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي"

Tuesday 16 December 2008

Original


Wajahmu yang asli
yang hakiki
jangan pernah nodai
itu sebuah janji

Lukisanmu penuh erti
walau adakalanya sukar dimengerti
seakan ilusi
sebenarnya realiti

Jangan pernah kecewa
pada insan bergelar hamba
Engkau adalah muslimah
yang dicemburui bidadari syurga


p/s: Buat semua wanita yang bergelar MUSLIMAH...

Tuesday 9 December 2008

Bicara Bersama Pemandu Teksi

SEMALAM saya menghadiri Majlis Sambutan Eidul Adha anjuran bersama KBMK, JPMK, MSD, PERUBATAN dan BKAN bertempat di Hayyu Ashir. Usai menjamu selera, saya kembali ke Rumah Sabah dengan menaiki teksi. Bukan saya seorang. Kami berempat sebenarnya.

Saya lazimnya akan berbual dengan 'ammu' teksi untuk meng'hidup'kan suasana dalam perjalanan. Agak kaget sedikit apabila mengetahui pemandu teksi ini bukan serang muslim yakni beragama kristian (Koptik). Saya perasan apabila melihat gambar "Jesus" terpampang di dalam teksi. "Minien? (Kamu dari mana?) dia bertanya kepada saya"; Malizi,(Malaysia) ringkas saya memberi respon. Dia sempat mengatakan bahawasanya di dalam akhbar hari ini menjelaskan Malaysia berada dalam masalah yang besar. Saya hanya tersenyum dan memberitahu itu hanya masalah siasah (politik) seperti yang berlaku di mesir secara umumnya.

Pemandu teksi ini juga tidak begitu senang dengan sikap orang arab lebih-lebih lagi rakyat Mesir. Saya agak terkejut dan lantas bertanya; enta musy 'masry? dia menjawab ana masry, masry asli. Dia menjawab dengan begitu yakin. Dia menjelaskan dengan panjang lebar perangai orang arab lebih-lebih lagi yang berada di Mesir. Sikap kasar, pentingkan diri sendiri, tidak ada kesatuan antara sebab yang menyebabkan negara-negara arab mundur dan ditindas. Memang wajar apa yang dikatakan. Dia juga mengatakan orang arab mesir pada hari ini bukan asli tetapi telah bercampur menjadi Arab-Barat. Serba-serbi kebaratan sehingga menenggelamkan ke'arab'an. "Ehna min abnaa el faraainah", dia berbangga menjadi anak Firaun yang memiliki segala kekuasaan. Saya memang lazim mendengar orang-orang Mesir berkata sedemikian. Saya tidak hairan apabila yang bercakap bukan seorang muslim. Jika dia adalah seorang muslim. Bagaimana? Sedih.

Bukan itu sahaja, pemandu teksi ini juga melampiaskan kemarahannya kepada orang arab yang suka bertelingkah sesama sendiri. Cara dia bercakap seolah-olah beliau bukan berbangsa arab. Saya cuba untuk menjelaskan dengan membawa sebuah mafhum dari sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang menegaskan jangan membenci orang arab kerana Baginda juga seorang arab. Pemandu teksi ini terdiam seketika apabila saya memperkatakan perkara tersebut. Walaupun dia bukan seorang muslim, saya kira dia juga faham dan mengerti. Dia sendiri mengakui orang-orang arab sebenarnya adalah kaum yang hebat sekiranya mereka bersatu padu dan bekerjasama. Mereka seharusnya mengubah sikap dan cara berfikir. Saya sendiri bersetuju dengan kenyataan tersebut.

Akhirnya, dia menyatakan sikap orang mesir yang 'hakiki' sebenarnya penuh dengan kelembutan dan kasih sayang. Bukannya sifat kasar dan panas baran. Ini kalam yang dilafazkan oleh seorang pemandu teksi yang bukan beragama Islam. Bagaimana dengan kita? Mungkin ini boleh dijadikan kayu ukur kepada diri sendiri untuk muhasabah kembali mentaliti dan budaya kita selama ini. Andai apa yang kita lihat dan alami disini wujud perkara yang negatif, jangan pula terbawa-bawa apabila kembali ke tanah air nanti.

"Seekor ikan walaupun hidup di dalam lautan yang masin, tetapi tetap tawar melainkan setelah menjadi ikan masin". Itu ikan, inikan pula kita sebagai manusia...

Sunday 7 December 2008

Salam Tadhiyyah

Selamat menyambut Hari Raya Eidul Adha kepada ahli keluarga yang berada di Sabah, Malaysia, buat semua sahabat di Villa Sabah, Kaherah, buat sahabat yang berada di Iskandariah, Mansoura, Tanta, Zagazig, Damanhur, Shibin el Koum dan Dumyat.

Akhirnya, kepada semua pengunjug 'elmandari' di seluruh pelusuk dunia dan di mana sahaja anda berada.

SALAM TADHIYYAH.

Sunday 30 November 2008

Apabila Haq dan Batil bercampur



TENTU ramai yang mengenali 'Grup Band' ini. Dewa 19. Ini bukan kali pertama mereka membuat kontroversi. Kali ini bendera yang dikibar dalam album Laskar Cinta bertulis kalimah Allah (Lafzul Jalaalah). Bukan seorang dua yang menjadikan kumpulan ini idola mereka. Saya pernah 'menziarahi' blog seorang "ustazah" yang agak meminati Dewa 19 ini. "Tahniah"!. Siap tulis lirik lagu Laskar Cinta dalam blog.

Sebuah peringatan buat diri sendiri yang sentiasa leka dan alpa.

Tuesday 25 November 2008

Bingkisan Habiburrahman el Shirazy

Bertempat di Hayyu 'Asyir, Baruga Kerukunan Keluarga Sulawesi (KKS) Kaherah, Mesir, 24 November 2008, saya berkesempatan menghadiri sebuah majlis 'Pelatihan Menulis Buku' edisi Indonesia. Selalu begitu, saya lazimnya menjadi peserta tunggal dari BKAN hatta negara sekalipun. Tak mengapa. Itu bukan topiknya.


Apa yang menarik ialah, "acara" tersebut dihadiri oleh seorang penulis yang pernah menggemparkan Asia Tenggara lewat novel 'Ayat-Ayat Cinta'nya. Beliau adalah Habiburrahman el Shirazy atau lebih mesra dengan panggilan Kang Abik. Majlis pelatihan menulis buku secara umum ini saya simpulkan secara peribadi membawa nilai dan makna yang amat besar.

Mungkin boleh disifatkan majlis ini sebuah pemula kepada sesiapa sahaja yang belum mula untuk 'menulis'. Kang Abik dalam materi yang disampaikan menegaskan bahawa, semua manusia berhak untuk menjadi penulis. Menulis melalui pengalaman atau boleh sahaja melalui pembacaan. Tinggal sahaja, penulis yang produktif ialah insan yang produktif mencari idea. Berbicara tentang bakat; Kang Abik menyatakan, bakat itu bukanlah sebuah kemampuan yang dimiliki sejak kecil. Bakat yang ada pada diri seseorang adalah kemahuan kuat yang diiringi usaha dan kerja keras. Ada benarnya kalam yang disampaikan, bagi mereka yang faham...


Sementalah itu, saya sendiri mengkoreksi diri. Di mana tahap dan nilai karya saya sebetulnya. Saya juga masih belajar dan sentiasa belajar untuk memperbaiki diri. Terima kasih kepada Kang Abik. Alhamdulillah, ini bermakna bertambah lagi guru saya dalam bidang ini.

Monday 24 November 2008

Kapten Baharu 'Gudang Peluru'



INI soal kepimpinan. Bukan usia yang menjadi taruhan utama. Bila Gallas kayaknya sudah tidak mampu, lebih-lebih lagi apabila dia telah membocorkan 'rahsia' kerukunan dalam pasukan. Akhirnya anak muda ini ditaklifkan memakai ban kapten menunjukkan bermulanya era baharu untuk semua.

Selamat menjalankan tugas!!!

Saturday 15 November 2008

Warna-warni Kehidupan


SATU: Sabtu, 08 November 2008, Arsenal di bawah kendalian 'The Professor' telah menewaskan Manchester United untuk kali ke-15 dalam 37 pertemuan (Skor 2-1). Keputusan ini sudah cukup untuk 'menutup' mulut "Kipas Susah Mati" Red Devils. Jangan marah..=)

DUA: Hari ini sudah melebihi seminggu saya memegang jawatan YDP BKPSM yang baharu. Ya Allah kuatkan hati hamba-Mu ini.

TIGA: Terima dua surat permohonan perletakan jawatan daripada AJKT. Satu telah diluluskan, satu lagi? Ada lagi kah yang akan menyusul selepas ini?

Friday 14 November 2008

al Fatihah!




Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un...

"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah,(bahawa mereka itu) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya" - Surah al-Baqarah 02:154

Thursday 13 November 2008

from Kitchen with Love



Saya sedang membaca buku ini. Buku yang pada perkiraan awal saya lebih memfokuskan perihal dapur dan 'kawan-kawannya'. Sebenarnya tidak begitu! Apa persepsi anda?

Anda berminat? Sila lawati toko buku yang berhampiran.

Tuesday 11 November 2008

Itu Amanah... Bukan kemuliaan

07 November 2008 / 09 Dzulka'edah 1429

Mesyuarat Agung Tahunan BKPSM kali ke-26 berjalan lancar. Sesi pertama pada pagi itu di'warnai' dengan nota ringkas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya yang bertulis demikian :

"Tahniah kerana berjaya memegang jawatan YDP BKPSM 2008/09. Diminta utk menyediakan @ bersedia utk menyampaikan ucapan dasar. Terima kasih.
-S/U SPR

Bagai hendak gugur jantung ini membaca tulisan tersebut. Ini bukanlah cerita kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat. Hanya sebuah cerita biasa yang menjadi luar biasa dirasakan oleh diri. Rasa resah yang terbit dari dalam hati membuat fikiran mencambahkan pelbagai persoalan. Adakah aku benar-benar layak digelar pemimpin? Apa yang perlu aku buat selepas ini? Semua persoalan itu "menjerit" di nubari meminta jawapan.

Perjuangan bermula lagi. Jalan yang panjang, tidak ada padanya hamparan permaidani. Penuh belati dan duri menemani perjalanan. Ya Allah, permudahkan setiap urusanku...


KONSEP KEPIMPINAN

Telah jelas dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran bahawasanya hakikat penciptaaan adam (insan pertama) adalah untuk mentadbir dan memakmurkan alam buana bikinan Sang Pencipta. Walaupun pada awalnya para Malaikat Allah meng'kritik' hebat ketika Allah hendak menjadikan makhluk yang bernama manusia ini. Bagaimana nanti makhluk kerdil ini memegang amanah sebagai khalifah di atas muka bumi. Para malaikat sebenarnya telah mengetahui akan sifat manusia yang lazimnya cenderung berbuat kerosakan dan kebinasaan. Sesunggungnya Allah Maha Mengetahui daripada sekalian yang tahu.

Manusia yang ditaklifkan menjadi seorang pemimpin hendaklah meletakkan ISLAM sebagai tunjang yang utama. Al-Quran dan as-Sunnah menjadi panduan. Tidak gentar apabila dicabar oleh sesiapa sahaja ketika dasar yang diperjuangkan cuba untuk diganggu gugat. Sanggup mempertaruhkan nyawa atas nama ISLAM yang tercinta. Berbicara memang mudah, hendak melaksanakan sememangnya payah. Perlu ada kekuatan pada diri seorang pemimpin untuk merealisasikan seruan Allah dan Rasul-Nya. Di mana perginya JIHAD?

Pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan membiarkan orang-orang yang dipimpin terbiar begitu sahaja. Seharusnya ada kesedaran untuk memastikan yang dipimpin turut melaksanakan apa yang telah digariskan dan megikuti lunas-lunas yang telah ditetapkan Allah S.W.T. Bukan sekadar memerhati tanpa mengambil tindakan jika kemungkaran berlaku di depan mata. Mampukah kita untuk berbuat begitu?



AMANAH YANG AKAN DIPERSOALKAN

Melihat senario yang berlaku hari ini, ramai manusia yang terlibat dalam kanvas kepimpinan tergelincir dari landasan hukum ISLAM yang telah ditetapkan. Meletakkan hawa nafsu menunjangi setiap urusan dunia. Membelakangi janji Allah yang hak bahawa kedudukan dan pangkat merupakan amanah yang wajib dipikul dengan sebaiknya. Tidak menggunakan jawatan demi untuk kepentingan diri dan kroni.

Memegang amanah apabila khianat telah disifatkan oleh Rasulullah S.A.W salah satu dari ciri-ciri orang munafik. Menjadi pemimpin selayaknya adil pada diri dan adil terhadap orang lain. Tugas pemimpin bukan hanya omongan kosong yang diceritakan di warung-warung kopi. Setiap pemimpin patut sedar dan insaf, 'singgahsana' yang dimiliki hanya pinjaman serta berifat sementara dan setiap apa yang dilaksanakan akan dipersoalkan kelak di dalam mahkamah Allah yang Maha Agung.

Di mana kita hendak letakkan wajah kita dihadapan Dzat Allah apabila amanah yang diberi kita khianati? Jika rasa malu kepada makhluk kita amat jaga, bagaimana pula rasa malu dan khudu' kita kepada Khaliq?

Firman Allah S.W.T. yang mafhumnya : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesunggungnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat". - Surah an-Nisaa' 5:58


Kita merancang, Allah juga merancang. Percayalah, sebaik-baik perancangan adalah daripada Allah jua. Contohi baginda Nabi S.A.W yang menjadi pemimpin terulung sehingga nikmat iman dan islam sampai kepada kita pada hari ini. Amat rugi seandainya kita mengambil uswah yang lain sehingga melupakan sirah perjuangan Khatimul Anbiya' ini. Yakinlah, jika kita menolong agama Allah, nescaya Allah akan memberi bantuan dan menetapkan langkah kita. Ke arah kesejahteraan bersama!

Ya Allah, bantulah diri hambamu yang faqir lagi haqir ini.

Saturday 1 November 2008

Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) bila bermula?

HARI ini sekali lagi permulaan bulan. Jika dicongak sepatutnya wajah-wajah kepimpinan yang baharu sudah termaktub. Hakikatnya belum lagi.


Tarikh Mesyuarat Agung Tahunan bagi Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (MAT-BKPSM) belum ditentukan secara pasti. Semua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) sudah mengadakan MAT dan menentukan tampuk 'pemerintahan' sesi 2008/2009. Jika sebelum ini Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) yang terakhir mengadakan MAT. BKPSM jauh lebih lewat dari tarikh tersebut.


Tarikh sebenar akan diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT-BKPSM) yang akan mengadakan mesyuarat esok. Seperti biasa harapan daripada semua adalah ingin melihat kesinambungan survival persatuan terus utuh seiring dengan peredaran zaman.


Apa harapan kita (ahli BKPSM) pada MAT kali ini?

Thursday 30 October 2008

Sebuah Karya

Sebetulnya, karya ini saya karang sebelum Ramadan yang telah lalu. Lebih tepat pada 8 0gos 2008. Karya 'budak baru belajar' ini akan dimuatkan di dalam Majalah Anugerah ke-5 yang akan diterbitkan oleh Biro Penerangan dan Penerbitan, Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BPP-BKPSM).


TETAP DI SINI

Pernah dia jatuh
bangun semula
tatkala nafas masih tersisa
di celah-celah runtuhan
memupuk kembali semangat yang kian sirna.

Biarkan mereka tiba
di puncak itu
sedangkan diri ini tetap bertatih
menghadam juzuk-juzuk perjuangan
mencari kesempurnaan.

Ya ALLAH
thabatkan langkah ini
jangan biarkan tersasar
ditelan bias-bias haloba.

Amiruddin Mohd. Rosdi

Villa Sabah, Syaqqah 10

Abbas el-Aqqad, Kaherah, Mesir.

Monday 20 October 2008

Setahun berlalu...

SUDAH setahun saya berpencak di gelanggang sebegini. Seawal dari teratak kecil di blog 'friendster' hingga mampu memiliki blogspot sendiri seperti kebanyakkan orang lain. Saya mengakui diri ini bukanlah seorang penulis yang hebat cuma berupaya menukilkan apa yang dirasa selayaknya dizahirkan. Melihat tulisan saya masa mula-mula dahulu cukup membuat saya tersenyum sendiri. Tetapi tidak mengapa: beribu langkah sang pengembara tetap dimulakan dengan langkah yang pertama. Selagi ada kudrat jangan pernah terbit di hati 'saya tidak boleh'. - di dalam bas 359~

Thursday 16 October 2008

Lambaian Mansoura - EID 15

SEMALAM merupakan kali ke-2 saya menjejakkan kaki ke Mansurah (المنصورة عروس النيل) setelah kali pertama pada tahun 2006. Pada kali ini atas urusan tauzi' (penghantaran) pelajar-pelajar perubatan negeri Sabah seramai 3 orang.

Saya merupakan antara wakil BKPSM dalam pengurusan penghantaran pelajar yang turut disertai oleh Yang Di-Pertua 2 dan Ketua WISA, Ustazah Hanizah Garai dan Ketua Biro Kebajikan dan Rehlah (BKER), Ustaz Ahmad Fairuz Mohamad. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun terpaksa menghadapi sedikit kesulitan kecil.

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada sahabat-sahabat di Mansurah atas bantuan yang telah diberikan. Selamat menempuh kehidupan 'sebenar' kepada adik-adik perubatan Mansurah (Akmal, Zulaikha dan Farihin).

Sunday 5 October 2008

EID 5


SUDAH hampir seminggu Syawal singgah berkunjung. Adik-adik 'baru' sudah beberapa kali bertanya; Bang Amir, bila kami kena tauzi'?(penghantaran ke universiti/fakulti masing-masing). Mereka agak tidak sabar untuk memulakan sesi pengajian. Harap bersabar yaa!!

Hari ini pihak akhawat mengadakan rumah terbuka aidilfiri. Tahniah diucapkan kepada Mahasiswi Sabah (WISA) BKPSM. Alhamdulillah, pada tahun ini sedikit kelainan dibuat. "Open House" tidak lagi dibenarkan dibuat di syaqah pelajar. Rumah terbuka hanya dibolehkan dibuat di dewan atau maktabah. Kenapa ya? Saya sebutkan satu daripadanya, kita semua mengharapkan agar adab dan akhlak islam sentiasa dpelihara. Fenomena ikhtilat yang kian menghambat diharap dapat dicegah sebelum ianya semakin parah dan menjadi nanah. Saya yakin, tidak ada seorang pun yang redha apabila melihat kemungkaran berlaku di depan mata.

Bagi mereka yang faham dan mengerti, Syawal bukanlah bulan untuk bersuka ria semata-mata. Bukan juga bulan pembaziran. Jauh sekali bulan untuk kita bertabarruj. Bulan ini menjadi saksi kepada hamba-hamba Allah yang bersyukur atas selautan nikmat yang telah dikurniakan. Selepas kita semua najah menjadi graduan dari madrasah Ramadan,apakah kita mengaplikasikan ilmu yang kita pelajari?

Friday 3 October 2008

EID 3

HARI raya tahun ini serba sederhana. Sehingga saat ini, masih lagi "bertapa" di rumah sendiri. Lazimnya orang akan keluar berziarah memenuhi jemputan rumah terbuka. Urusan kerja kelihatannya tidak henti-henti datang bertamu. Selesai satu, datang satu lagi. Saya tidak banyak memikirkan tentang suasana raya. Biarkan... biarkan sepi itu memesrai diri..

Tuesday 30 September 2008

Salam Aidilfitri 1429

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN


Buat mereka yang mengenali diri ini, salam aidilftri diucapkan kepada semua. Tidak ada harapan melainkan keredhaan daripada-Nya. Moga sentisasa berbahagia bersama insan - insan yang disayangi.


Assalamualaikum
Salam hamba hulur tanda ingatan
Buat semua insan umat Islam
Di pagi syawal

Pada bonda tercinta
Pada ayah yang rela berkorban
Mohon keampunan dosa-dosa
Yang ku l
akukan


Untukmu duhai dinda yang setia
Harungi derita
Marilah bersam
a kita saling
Bermaaf-maafan
Semoga lebaran ini
Membawa keinsafan diri
Sejarah yang hitam
Agar tidak terulang
Untuk selam
anya

Pada dia yang pergi
Kita hulur doa tulus suci
Agar roh mereka dicucuri
Oleh rahmat Nya

Sunday 28 September 2008

Sebuah Catatan

SATU

SEMALAM (Sabtu - 27 September) saya ditaklifkan untuk mewakili Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) dalam sebuah pertemuan bersama Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dengan pelajar - pelajar perubatan negeri Sabah bertempat di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK). Majlis tersebut diadakan bersempena Sambutan Mahasiswa Perubatan sesi soo8/2009.


DUA

Majlis dimulakan dengan sesi ta'aruf daripada mereka. Dalam perjumpaan tersebut, penulis menerangkan secara ringkas tentang BKPSM serta objektif penubuhannya. Selain itu, penulis berkesempatan untuk berbicara tentang kesatuan di kalangan anak-anak Sabah yang menuntut di bumi Mesir ini. Penulis menekankan agar setiap pelajar sentiasa menjaga nama baik persatuan semasa berada di bumi anbiya'.


TIGA

Sebagai tambahan, penulis berharap agar setiap dikalangan pelajar memberi komitmen yang sepenuhnya kepada BKPSM dan sentiasa peka dalam setiap perkara yang dilaksanakan oleh persatuan.

Monday 22 September 2008

Memori semalam

DEDIKASI buat Kak Sitti Sahrah Mohd Arip (Fakulti Bahasa Arab, Universiti Al - Azhar Iskandariah) yang telah kembali ke tanah air - 22 September '08.

Friday 19 September 2008

Demi MASA...

"Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati agar mentaati kebenaran da saling menasihati agar menetapi kesabaran". - Surah al - Ashr

AYAT suci kalam Ilahi di atas begitu lazim dan 'mesra' didengar dan dilafazkan. Persoalannya, berapa ramai manusia yang percaya dan yakin akan kebenaran ayat tersebut? Penulis sengaja membiarkan persoalan ini diutarakan tanpa jawapan agar kita sama-sama muhasabah diri sendiri lebih - lebih lagi di bulan penuh keberkatan ini.

Penulis baru sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mutakharrijin anak- anak Sabah. Penulis selaku pengerusi mesyuarat agak terkilan dengan pengurusan masa para graduan-graduanita yang dijemput untuk menghadiri mesyuarat tersebut. Dalam surat jemputan mesyuarat tertera masa yang telah ditetapkan. Malangnya, masa tersebut langsung tidak ditepati dan dihargai. Ah! Benar-benar menjengkelkan.

Beginikah sikap kita sebagai Azhariyyun? Kalau kita sendiri tidak menghormati diri sendiri, bagaimana orang lain akan menghormati diri kita? Fikir-fikirkanlah!

*Penduga Arus : Masih za'alan lagi ni!

Sunday 14 September 2008

Bidaayah

أ ب ت ... ABC ... 123... Setapak melangkah, takkan berundur walau selangkah. Hari ini kita bermula lagi. Sebuah episod baru. Kita bukanlah seorang pemula kepada perjuangan, bukan juga ingin menjadi pengakhir, tapi penerus kepada perjuangan yang belum sempurna.