Wednesday, 31 December 2008
HIJRAH - Bukan Cerita Biasa
SABAN tahun kita memperingati ketibaan tahun baharu Hijriah. Ini tahun ke 1430. Acapkali juga azam baharu menjelma di nubari. Hijrah dari satu situasi ke situasi yang berbeza. Hijrah dari satu sudut ke sudut yang berlainan. Hijrah dari yang kurang baik ke tahap yang lebih baik hingga boleh disifatkan hijrah itu menghampiri ke arah kesempurnaan.
Sehari sebelumnya, saya ditaklifkan menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk "Sejarah Di Sebalik Ma'al Hijrah" di hadapan para ahli Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir. Intipati utama yang saya perkatakan adalah sejauh mana sebenarnya penghayatan kita tentang sirah Hijrah Rasulullah S.A.W bersama para sahabat. Semua saya kira sudah sedia maklum, hijrah itu boleh sahaja ditakrif dengan kata berpindah atau migrate dalam lughah 'orang kampung'. Apa sebenarnya yang dikehendaki dari penghijrahan?
Hijrah bukan 'suka-suka'. Bukan tanpa matlamat. Perlu ada persediaan yang jitu agar misi yang dirancang tidak berterbangan seperti daun-daun kering yang dihembus bayu. Apapun status kita; seorang ketua hakim, jurutera, petani, doktor, ustaz hatta pekerja kaunter tol sekalipun tetap juga seorang HAMBA yang mendambakan keredhaan daripada Allah S.W.T. Hijrah Nabi memberikan kita inspirasi dan tarbiyyah spiritual yang amat berkesan dalam mengajar kita erti ukhuwah, kesabaran dan jihad mendepani apa jua mehnah dan tribulasi.
Ini bukan cerita dongeng jauh sekali sebuah mitos yang direka agar kelihatan gah berbanding 'naskhah' asal. Penghijrahan Rasulullah dari Kota Mekah al-Mukarramah ke Yathrib (Madinah al-Munawwarah) sebenarnya suatu signifikan indah yang telah diilhamkan oleh Allah S.W.T kepada Baginda. Ini secara jelas membuktikan bahawasanya persoalan akidah wajib dipertahankan dengan apa cara sekalipun walau nyawa jadi taruhan. Setelah pelbagai kekangan dan ancaman yang dilakukan oleh puak kuffar terhadap kaum muslimin ketika itu, Allah secara rasminya telah memerintahkan HIJRAH ke atas mereka.
Kita pula bagaimana? Memang sudah tidak ada hijrah lagi selepas Hijrah Nabi. Hijrah di waktu sekarang adalah hijrah memperbaiki peribadi menuju alam hakiki. Walaupun kita tidak berada di zaman penghijrahan Baginda dan para sahabat, semangat jihad yang terdapat dalam konotasi hijrah seharusnya kita ambil cakna dalam kehidupan seharian. Boleh saja indivitu itu mengatakan dia telah berhijrah; tapi, hijrah yang bagaimana? Hijrah itu menuntut pengorbanan. Hijrah juga perlukan kesabaran.
Dengan lafaz BismillahirRahmanirRahim, langkah diatur. Kita mulakan hijrah pada diri sekali lagi. Perlu diingat, jangan bersendirian ketika berhijrah. kita perlu teman menemani perjalanan. Andai langkah kaki kita ada yang sumbang, si teman itu yang akan jadi pemerhati dan penegur yang setia.
P/S: Salam Ma'al Hijrah 1430H kepada semua ummat Islam dan selamat menyambut Tahun Baharu 2009.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment