Tuesday 9 December 2008

Bicara Bersama Pemandu Teksi

SEMALAM saya menghadiri Majlis Sambutan Eidul Adha anjuran bersama KBMK, JPMK, MSD, PERUBATAN dan BKAN bertempat di Hayyu Ashir. Usai menjamu selera, saya kembali ke Rumah Sabah dengan menaiki teksi. Bukan saya seorang. Kami berempat sebenarnya.

Saya lazimnya akan berbual dengan 'ammu' teksi untuk meng'hidup'kan suasana dalam perjalanan. Agak kaget sedikit apabila mengetahui pemandu teksi ini bukan serang muslim yakni beragama kristian (Koptik). Saya perasan apabila melihat gambar "Jesus" terpampang di dalam teksi. "Minien? (Kamu dari mana?) dia bertanya kepada saya"; Malizi,(Malaysia) ringkas saya memberi respon. Dia sempat mengatakan bahawasanya di dalam akhbar hari ini menjelaskan Malaysia berada dalam masalah yang besar. Saya hanya tersenyum dan memberitahu itu hanya masalah siasah (politik) seperti yang berlaku di mesir secara umumnya.

Pemandu teksi ini juga tidak begitu senang dengan sikap orang arab lebih-lebih lagi rakyat Mesir. Saya agak terkejut dan lantas bertanya; enta musy 'masry? dia menjawab ana masry, masry asli. Dia menjawab dengan begitu yakin. Dia menjelaskan dengan panjang lebar perangai orang arab lebih-lebih lagi yang berada di Mesir. Sikap kasar, pentingkan diri sendiri, tidak ada kesatuan antara sebab yang menyebabkan negara-negara arab mundur dan ditindas. Memang wajar apa yang dikatakan. Dia juga mengatakan orang arab mesir pada hari ini bukan asli tetapi telah bercampur menjadi Arab-Barat. Serba-serbi kebaratan sehingga menenggelamkan ke'arab'an. "Ehna min abnaa el faraainah", dia berbangga menjadi anak Firaun yang memiliki segala kekuasaan. Saya memang lazim mendengar orang-orang Mesir berkata sedemikian. Saya tidak hairan apabila yang bercakap bukan seorang muslim. Jika dia adalah seorang muslim. Bagaimana? Sedih.

Bukan itu sahaja, pemandu teksi ini juga melampiaskan kemarahannya kepada orang arab yang suka bertelingkah sesama sendiri. Cara dia bercakap seolah-olah beliau bukan berbangsa arab. Saya cuba untuk menjelaskan dengan membawa sebuah mafhum dari sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang menegaskan jangan membenci orang arab kerana Baginda juga seorang arab. Pemandu teksi ini terdiam seketika apabila saya memperkatakan perkara tersebut. Walaupun dia bukan seorang muslim, saya kira dia juga faham dan mengerti. Dia sendiri mengakui orang-orang arab sebenarnya adalah kaum yang hebat sekiranya mereka bersatu padu dan bekerjasama. Mereka seharusnya mengubah sikap dan cara berfikir. Saya sendiri bersetuju dengan kenyataan tersebut.

Akhirnya, dia menyatakan sikap orang mesir yang 'hakiki' sebenarnya penuh dengan kelembutan dan kasih sayang. Bukannya sifat kasar dan panas baran. Ini kalam yang dilafazkan oleh seorang pemandu teksi yang bukan beragama Islam. Bagaimana dengan kita? Mungkin ini boleh dijadikan kayu ukur kepada diri sendiri untuk muhasabah kembali mentaliti dan budaya kita selama ini. Andai apa yang kita lihat dan alami disini wujud perkara yang negatif, jangan pula terbawa-bawa apabila kembali ke tanah air nanti.

"Seekor ikan walaupun hidup di dalam lautan yang masin, tetapi tetap tawar melainkan setelah menjadi ikan masin". Itu ikan, inikan pula kita sebagai manusia...

1 comment:

Anonymous said...

org Arab mmg kasar.
cmana nak ubah tu.
hakikanya mmg tak boLeh membenci tapi cuba merobah.