Tuesday, 11 November 2008

Itu Amanah... Bukan kemuliaan

07 November 2008 / 09 Dzulka'edah 1429

Mesyuarat Agung Tahunan BKPSM kali ke-26 berjalan lancar. Sesi pertama pada pagi itu di'warnai' dengan nota ringkas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya yang bertulis demikian :

"Tahniah kerana berjaya memegang jawatan YDP BKPSM 2008/09. Diminta utk menyediakan @ bersedia utk menyampaikan ucapan dasar. Terima kasih.
-S/U SPR

Bagai hendak gugur jantung ini membaca tulisan tersebut. Ini bukanlah cerita kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat. Hanya sebuah cerita biasa yang menjadi luar biasa dirasakan oleh diri. Rasa resah yang terbit dari dalam hati membuat fikiran mencambahkan pelbagai persoalan. Adakah aku benar-benar layak digelar pemimpin? Apa yang perlu aku buat selepas ini? Semua persoalan itu "menjerit" di nubari meminta jawapan.

Perjuangan bermula lagi. Jalan yang panjang, tidak ada padanya hamparan permaidani. Penuh belati dan duri menemani perjalanan. Ya Allah, permudahkan setiap urusanku...


KONSEP KEPIMPINAN

Telah jelas dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran bahawasanya hakikat penciptaaan adam (insan pertama) adalah untuk mentadbir dan memakmurkan alam buana bikinan Sang Pencipta. Walaupun pada awalnya para Malaikat Allah meng'kritik' hebat ketika Allah hendak menjadikan makhluk yang bernama manusia ini. Bagaimana nanti makhluk kerdil ini memegang amanah sebagai khalifah di atas muka bumi. Para malaikat sebenarnya telah mengetahui akan sifat manusia yang lazimnya cenderung berbuat kerosakan dan kebinasaan. Sesunggungnya Allah Maha Mengetahui daripada sekalian yang tahu.

Manusia yang ditaklifkan menjadi seorang pemimpin hendaklah meletakkan ISLAM sebagai tunjang yang utama. Al-Quran dan as-Sunnah menjadi panduan. Tidak gentar apabila dicabar oleh sesiapa sahaja ketika dasar yang diperjuangkan cuba untuk diganggu gugat. Sanggup mempertaruhkan nyawa atas nama ISLAM yang tercinta. Berbicara memang mudah, hendak melaksanakan sememangnya payah. Perlu ada kekuatan pada diri seorang pemimpin untuk merealisasikan seruan Allah dan Rasul-Nya. Di mana perginya JIHAD?

Pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan membiarkan orang-orang yang dipimpin terbiar begitu sahaja. Seharusnya ada kesedaran untuk memastikan yang dipimpin turut melaksanakan apa yang telah digariskan dan megikuti lunas-lunas yang telah ditetapkan Allah S.W.T. Bukan sekadar memerhati tanpa mengambil tindakan jika kemungkaran berlaku di depan mata. Mampukah kita untuk berbuat begitu?



AMANAH YANG AKAN DIPERSOALKAN

Melihat senario yang berlaku hari ini, ramai manusia yang terlibat dalam kanvas kepimpinan tergelincir dari landasan hukum ISLAM yang telah ditetapkan. Meletakkan hawa nafsu menunjangi setiap urusan dunia. Membelakangi janji Allah yang hak bahawa kedudukan dan pangkat merupakan amanah yang wajib dipikul dengan sebaiknya. Tidak menggunakan jawatan demi untuk kepentingan diri dan kroni.

Memegang amanah apabila khianat telah disifatkan oleh Rasulullah S.A.W salah satu dari ciri-ciri orang munafik. Menjadi pemimpin selayaknya adil pada diri dan adil terhadap orang lain. Tugas pemimpin bukan hanya omongan kosong yang diceritakan di warung-warung kopi. Setiap pemimpin patut sedar dan insaf, 'singgahsana' yang dimiliki hanya pinjaman serta berifat sementara dan setiap apa yang dilaksanakan akan dipersoalkan kelak di dalam mahkamah Allah yang Maha Agung.

Di mana kita hendak letakkan wajah kita dihadapan Dzat Allah apabila amanah yang diberi kita khianati? Jika rasa malu kepada makhluk kita amat jaga, bagaimana pula rasa malu dan khudu' kita kepada Khaliq?

Firman Allah S.W.T. yang mafhumnya : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesunggungnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat". - Surah an-Nisaa' 5:58


Kita merancang, Allah juga merancang. Percayalah, sebaik-baik perancangan adalah daripada Allah jua. Contohi baginda Nabi S.A.W yang menjadi pemimpin terulung sehingga nikmat iman dan islam sampai kepada kita pada hari ini. Amat rugi seandainya kita mengambil uswah yang lain sehingga melupakan sirah perjuangan Khatimul Anbiya' ini. Yakinlah, jika kita menolong agama Allah, nescaya Allah akan memberi bantuan dan menetapkan langkah kita. Ke arah kesejahteraan bersama!

Ya Allah, bantulah diri hambamu yang faqir lagi haqir ini.

No comments: