Thursday 21 May 2009

Pertanyaan Orang-Orang Kampung

SEMASA di tanah air dahulu (Sabah Tanah Airku), sebelum menjejakkan kaki ke Mesir, orang-orang kampung memang sudah memanggil saya sebagai 'ustaz' (tidak layak lagi). Dan kerana itu juga, pelbagai persoalan sering dilontarkan kepada saya. Biasanya lebih kepada soalan-soalan berbentuk hukum-hakam agama. Apa yang boleh saya jawab, saya akan jawab. Apa yang saya tidak tahu, saya katakan tidak tahu.

Lazimnya, orang yang bertanya berniat untuk tahu dan mendalami sesuatu perkara yang dia tidak tahu. Ini dinamakan sebagai TAFAQQUH dan amat digalakkan. Berbeza dengan orang yang bertanya dengan niat untuk berdebat atau mempermain-mainkan sesuatu perkara. Ini disebut TAFAKKUH dan tidak sepatutnya dilakukan.

Saya melihat, pertanyaan yang diajukan oleh orang-orang kampung semuanya berbentuk soalan tafaqquh. Apa yang menarik, soalan-soalan daripada mereka kekadang tidak pernah terfikir dek minda kita. Sekali fikir, soalan-soalan sebegitu seperti 'main-main'. Tapi, mereka memang ingin tahu sebenarnya.

Sebagai contoh, saya pernah ditanya; Ustaz, apakah hukum solat di bulan? Mahu saja saya menjawab seperti ini, 'tidak ada tempat lain lagikah untuk solat?' Hakikatnya, soalan tersebut telah pun dibincangkan oleh para ulamak. Menjadi tanggungjawab kita untuk menerangkan kepada masyarakat akan setiap perkara yang kurang jelas bagi mereka.


Kita juga seharusnya bijak menggunakan 'skill' dalam menjawab persoalan yang diajukan yang boleh membuat mereka berfikir. Saya juga pernah ditanya; di antara Nabi Adam dan dinosaur, mana lebih dulu wujud? Saya tanya kepada dia pula; adakah dinosaur itu benar-benar wujud? Kalau benar, saya akan jawab soalan kamu. Akhirnya dia mengakui, dia sendiri pun tidak dapat memastikan kesahihan bahawa wujudnya dinosaur. Dari itu, kita dapat mengajak masyarakat untuk berfikir tentang perkara-perkara yang lebih penting untuk dibincangkan.

Tidak salah untuk bertanya jika ianya memberi manfaat. Bertanyalah seandainya anda benar-benar tidak tahu. Kepada yang ditanya, janganlah anda malu untuk berkata "saya tidak tahu", jika anda tidak tahu. Itu lebih baik dari berlagak seperti tahu.

1 comment:

ummi raihah said...

Betul tu.. Bertanya, penting kalau tidak tahu. Menjawab, penting kalau tahu.. hehe..
Sama-samala kita kongsi ilmu..