Friday, 28 October 2011
Tuesday, 25 October 2011
Tahniah Parti An-Nahdah Tunisia!
KUALA LUMPUR, 25 Okt: PAS mengucapkan tahniah kepada Parti An-Nahdah yang memenangi pilihan raya Tunisia semalam. Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) juga berharap kemenangan itu diterima oleh masyarakat antarabangsa walaupun ia dimenangi oleh parti Islam. Sebenarnya, kata beliau An-Nahdah penah memenangi pilihan raya Tunisia beberapa tahun lalu dengan majoriti yang besar, tetapi kemenangan itu dinafikan dan Parti An-Nahdah diharamkan, pemimpinnya dipenjara dan sebahagiannya terpaksa berhijrah keluar negara seperti Dr Rashid Ganouchi. “Saya dimaklumkan An-Nahdah boleh memenangi pilihan raya dengan lebih besar jika bertanding di hampir kesemua kerusi. Tetapi An-Nahdah sengaja tidak bertanding di kesemua kerusi bagi memberi peluang kepada parti lain turut sama bertanding,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily. Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan an-Nahdah itu. "Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan Parti An-Nahdhah di Tunisia di dalam pilihanraya umum semalam. Semoga dengan kemenangan ini, Islam lebih bersinar di bumi Tunisia," ujarnya melalui twitter. Paling penting, katanya keadilan dan kebajikan rakyat terbela di bawah pemerintahan yang adil berteraskan syariat Islam. "Sesungguhnya di mana saja berlakunya kepekatan malam, akan tiba juga fajar yang menyinsing," ujarnya. Parti An-Nahdah telah telah memenangi lebih daripada 30 peratus kerusi di perhimpunan 217 kerusi Tunisia, dalam pilihan raya bersejarah negara tersebut sebagaimana dilaporkan agensi berita AFP. "Keputusan pertama yang disahkan menunjukkan al-Nahda telah mendapat tempat pertama di peringkat kebangsaan dan di kebanyakan daerah," kata pengurus kempen parti al-nahda, Abelhamid Jlassi, pada sidang akhbar, memetik laporan sendiri pemerhati pilihan raya al-Nahdah. Pemimpin-pemimpin kedua-dua pihak berhaluan kiri, Parti Kongres Republik (CPR) dan Ettakol, berkata, mereka berjuang untuk tempat kedua, manakala pemimpin Parti Demokratik Progresif (PDP) mengakui kekalahan pada petang Isnin. "Al-Nahda pastinya majoriti, tetapi terdapat dua entiti demokratik lain, Ettakatol dan CPR, yang lemah pada permulaan tetapi kini mendapati diri mereka dalam kedudukan untuk menyumbang kepada kehidupan politik dan menyambut kemodenan rasional dalam Arab-Islam negara, "kata Khalil Zaouia, pemimpin nombor dua parti Ettakatol. Samir Dilou, ahli biro politik al-Nahda, berkata bahawa partinya telah memenangi tidak jauh daripada 40 peratus undi. Pada hari mengundi pilihan raya bebas pertama Tunisia kelihatan orang ramai menunjuk-nunjuk jari telunjuk yang disapu dengan dakwat kekal berwarna biru mereka selepas membuang undi, menunjukkan mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka. Berikut adalah kenyataan penuh Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Berikutan kemenangan Parti An-Nahdah dalam pilihan raya Tunisia semalam, saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah dan bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan kemenangan yang diberikan kepada parti yang dipimpin oleh Sheikh Dr Rashid Ganouchi. Sebenarnya An Nahdah penah memenangi pilihan raya Tunisia beberapa tahun lalu dengan majoriti yang besar, tetapi kemenangan ini dinafikan dan Parti An-Nahdah diharamkan, pemimpinnya dipenjara dan sebahagiannya terpaksa berhijrah keluar negara seperti Dr Rashid Ganouchi sendiri. Kita berharap kemenangan ini diterima oleh masyarakat antarabangsa walaupun ia dimenangi oleh parti Islam. Kebetulan tiga minggu yang lalu, saya bertemu dengan Dr Rashid Ganouchi ketika sama-sama menghadiri Forum Parti-Parti Islam Sedunia di Istanbul membincangkan krisis Asia Barat. Saya dimaklumkan An-Nahdah boleh memenangi pilihan raya dengan lebih besar jika bertanding di hampir kesemua kerusi. Tetapi An-Nahdah sengaja tidak bertanding di kesemua kerusi bagi memberi peluang kepada parti lain turut sama bertanding. Mereka bersedia untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan parti-parti lain bagi menggantikan pemerintahan sebelumnya yang bersifat diktator dan ditunjangi dengan hanya satu parti. Ini kerana sebagai parti yang menyertai demokrasi, An-Nahdah ingin menampilkan sikap toleransi dan bertolak ansur, walaupun majoriti rakyat Tunisia menerima An-Nahdah. Ini kerana mereka sangat dekat di hati rakyat melalui kerja-kerja kebajikan yang dilakukan di bawah, jauh sebelum musim pilihan raya lagi, walaupun dalam keadaan parti diharamkan. Kita berharap kemenangan ini memberi semangat bukan sahaja kepada pendukung parti Islam yang memilih demokrasi tetapi juga kepada rakyat dengan memberi peluang dan sokongan kepada parti Islam memerintah dan memperbetulkan urus tadbir politik, ekonomi dan sosial negara setelah sekian lama berada di bawah rejim sekular yang gagal memerintah Tunisia sehingga digulingkan rakyat. PAS juga sebenarnya telah menghantar ucapan tahniah kepada An-Nahdah melalui Dr Syed Azman yang menyertai pasukan pemerhati antarabangsa ke Tunisia ketika ini. |
Sunday, 23 October 2011
Puisi Keempat di Harakah
ALHAMDULILLAH, sekali lagi puisi saya disiarkan di akhbar Harakah Bil. 1683 (23 - 25 Zulkaedah 1432 /21 - 23 Oktober 2011) Edisi Jumaat di ruangan Sastera & Budaya. Puisi ini berjudul 'Luka Seorang Perwira : Mat Indera.
Secara peribadi, puisi ini saya rasakan begitu 'istimewa' kerana ianya merupakan sebuah cetusan rasa yang terilham khas buat seorang pejuang kemerdekaan yang beribu 'persepsi' dihujum kepadanya beberapa ketika sebelum ini.
Luka Seorang Perwira : Mat Indera
perwira
negara
Friday, 21 October 2011
Prof Dr Abdul Aziz Bari : Profesor Sebenar
Jika di Arsenal, Profesor Arsene Wenger dengan prinsipnya membangunkan 'syabab bola' dan meng'indah'kan stail permainan bola sepak yang menjemukan, di Malaysia kita ada seorang profesor sebenar dan 'tulen' yang 'berdiri' dengan prinsip kebenaran dan keadilan.
Akibat lima laporan polis yang dibuat mengenai sebuah kenyataannya yang dianggap 'derhaka' kepada Sultan Selangor, beliau telah digantung tugas dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Doakan semoga Allah memberi kekuatan dan ke'istiqamahan' kepada beliau. Insya-Allah.
Sunday, 16 October 2011
Puisi-Puisi di Media
Hari ini
melambai takdir
di jendela kewarasan.
Esok
ripuh berlari
mengejar mimpi
melankoli membaluti
berdiri di kaki bumi
menerjah ilusi.
Betapa pasti,
nur kasih yang dicari
akan ditemui.
Amiruddin Mohd. Rosdi
Madinat Nasr, Kaherah.
(Harian Metro & Harakah)
MESIR MARAH
Di celah debu pasir kinanah
di bumi barakah
berdentum suara marhaen
meladeni sang diktator
melunasi hak yang terpadam
Wahai diktator
"keluar kamu dari Mesir!"
negeri rakyat berhati waja
ini jalan terakhir
hidup atau terkubur
Medan Tahrir jadi saksi
bukan ilusi atau fantasi
mendaki sejuta harapan
laskar jihad di hadapan
meyakini janji Tuhan.
AMIRUDDIN MOHD. ROSDI
Kota Kinabalu, Sabah.
(Harakah)
SECAWAN KOPI
Secawan kopi
diminum pak menteri
kopi latte pekat
di cawan berkilat
tersenyum megah.
Secawan kopi
diminum si petani
kopi kusam pucat
di cawan retak
merenung nasib.
Secawan kopi
pembeza darjat
hidup di dunia
bukan di akhirat.
AMIRUDDIN MOHD. ROSDI
Kota Kinabalu, Sabah.
(Siasah & Harakah)
Thursday, 13 October 2011
Shamsiah Fakeh - Pejuang, Pemimpin dan Perempuan
Penulis : Azzah AR
Penerbit : PTS Litera Sdn Bhd
Harga RM 20 / RM 23
ISBN -13: 978-967-5783-44-9
Shamsiah Fakeh adalah seorang komunis. Itu yang diberitahukan kepada kita, sehinggalah beliau sendiri berkata, “Aku akan tulis kisah ini nanti. Aku harap, selepas ini kalian tahu kisah yang sebenar dan tidak lagi membuat tuduhan yang bukan-bukan terhadapku.” Inilah novel yang sangat menghormati Shamsiah Fakeh. Ia menceritakan Shamsiah Fakeh adalah susuk yang pernah menjadi pemimpin, pejuang dan tetap seorang perempuan. Sebagai pemimpin beliau berkata, “Kamu yang dapat melihat peristiwa sebenar dalam sejarah pasti dapat menemui arah tuju untuk masa hadapan.” Sebagai pejuang, “Tiada apa yang aku kesalkan. Beribu-ribu pejuang telah terkorban semasa berjuang demi kemerdekaan. Mereka juga tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan atau kemewahan daripada perjuangan mereka.” Sebagai seorang perempuan, “Mana mungkin seorang ibu tergamak membunuh anaknya sendiri? Aku juga manusia seperti kamu, punya hati dan perasaan. Bezanya, aku mengangkat senjata dan tinggal di dalam hutan kerana berlindung dari serangan penjajah, dan kamu tidak.” Masihkah Shamsiah Fakeh itu seorang komunis pada fikiran kita? Novel ini punya jawapannya.
Wednesday, 12 October 2011
Puisi Pak Samad buat Dr Burhanuddin Al-Helmy
Tapak yang Luhur
(Istimewa buat Dr Burhanuddin Al-Helmy)
Bertapak atas batas yang luhur
bersumpah lidah sufi tersohor
disedarkannya lara bangsa
waja dirangsang tepis membantah.
Awal lagi semangat bernyala
dihembus bara merdeka bangsa.
Pagi ke malam berjuang tegap
di tengah rakyat gigih bersikap.
Bersilat atas bumi yang subur
bisik bersikap qalbu sejujur
menyala unggun zaman yang garang
membakar tekad cekal berjuang.
Bersama bangsa bangkitlah ia
tegas perkukuh asas merdeka.
SN Dato' A. Samad Said
Nota : Dr Burhanuddin Al-Helmy merupakan Yang Di-Pertua (Presiden) ke-3 Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Tuesday, 11 October 2011
Saturday, 8 October 2011
Hudud : 'Fas aluu ahla azzikri in kuntum laa ta'alamun'
Penyanyi dan penceramah Heliza Helmi tampil dengan harapan dapat menjernihkan keadaan. Hadir bersama pengurusnya, graduan dalam bidang pendidikan ini mengakui emosinya agak terganggu setelah diberitahu mengenai tohmahan yang dilemparkan kepadanya.
Berharap dengan penjelasannya, masyarakat dapat memahami situasi sebenar.
“Saya mengetahui perkara ini menjadi perdebatan setelah dimaklumkan pengurus saya, Kak Zeq, yang membacanya di laman sosial, Facebook.
“Apabila mendengar perkara itu, ia sedikit mengganggu emosi saya sehingga saya tidak boleh bekerja kerana asyik memikirkan perkara ini. Saya menangis apabila terfikir apa yang sudah saya lakukan, sedangkan pada hemat saya, saya bercakap mengikut pengetahuan saya sahaja.
"Apabila ramai yang bertanya mengenai perkara ini kepada saya, tidak mungkin saya dapat jelaskan kepada setiap individu yang bertanya. Kerana itu, saya tampil hari ini (semalam) agar mereka tahu keadaan sebenar dan berharap ia akan dihentikan serta-merta," katanya kepada Zass.
Lebih memilukan, ada pihak melemparkan tuduhan kepada anak kelahiran Terengganu ini apabila dikatakan sanggup mempertikaikan hukum Tuhan. Bagi empunya diri, bukan sahaja terkejut, malah menangis apabila mengenangkan tanggapan negatif masyarakat terhadap dirinya.
“Tidak pernah sekali pun terlintas di fikiran saya untuk mempersoalkan hukum ALLAH SWT. ALLAH mencipta kita, maka Dia tahu apa yang terbaik. Sebagai manusia biasa, siapalah saya untuk memberi komen mengenai hukum-NYA?” katanya yang kini aktif memberi ceramah motivasi kepada remaja.
Menurutnya, ketika diminta memberi pandangan mengenai perkara itu, penyanyi ini enggan memberi komen kerana takut tersalah cakap.
"Saya seboleh-bolehnya tidak mahu memberi komen kerana sedar ilmu dimiliki tidak seberapa, malah saya ada menyarankan agar perkara ini dirujuk kepada pakar, ulama dan orang bijak pandai untuk mereka membuat pertimbangan. Ini kerana saya bukan orang yang berhak berbicara mengenai hal ini.
“Bagaimanapun, berlaku silap faham. Saya tidak menyalahkan sesiapa kerana saya faham pemahaman orang mungkin berbeza dengan apa yang saya sampaikan,” katanya.
Biarpun dikecam, gadis manis ini tetap positif dan menganggap perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.
“Saya tidak pernah berharap perkara ini terjadi sebegini, tetapi siapa tahu mungkin selepas ini lebih ramai yang mula sedar mengenai hukum hudud dan mendalaminya.
“Malah, saya berasa gembira jika ada usaha yang dibuat untuk menjelaskan mengenai hudud dan hukum-hukum lain kepada masyarakat kita, agar sama-sama mengetahui lebih mendalam mengenai hukum agama seperti ini,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
Friday, 7 October 2011
Tuesday, 4 October 2011
Belanjawan Pakatan Rakyat : Sejahtera Untuk Semua
KUALA LUMPUR, 4 Okt: Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion bagi
belanjawan 2012 berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.
Dengan mengangkat tema "Kesejahteraan Untuk Semua", belanjawan Pakatan Rakyat memberi fokus yang lebih kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
Belanjawan itu dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik taklimat parlimen hari ini.
Ianya dibentang seminggu lebih awal berbanding bajet kerajaan pusat yang akan dibentang perdana menteri Jumaat ini.
Tujuh prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat antaranya adalah seperti berikut:
1 - Membantu rakyat dalam masa terdekat mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit.
2 - Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khususnya untuk mengurangkan defisit.
3 - Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar samapai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan.
4 - Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian memartabatkan rakyat.
5 - Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang manjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.
Pembelaan rakyat terbanyak
Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut bagi mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada gologan rakyat kebanyakan:
a) Mengekalkan subsidi minyak RM22 bilion bagi mengelakkan kenaikan harga.
b) Menghapuskan subsidi korporat yang hanya menguntungkan kroni seperti pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh Bernas, monopoli lesen teksi.
c) Bayaran bonus kepada warga emas sebanyak RM1,000 setahun yang berpendapatan kurang RM18,000 setahun.
d) Bayaran suri rumah sebanyak RM1000 dalam tahun 2012 dan menggalak mereka menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
e) Bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah RM550.
f) Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat diselaraskan krpada RM550 sebulan berbanding RM300 sebulan pada masa sekarang.
Mengembalikan martabat rakyat
a) Menetapkan gaji minima sebanyak RM1,100 dan akan dikuatkuasakan.
b) Melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru seperti janji Buku Jingga.
c) Menyelaraskan gaji kakitangan awam berdasarkan penetapan gaji minima.
d) Akan menghentikan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan.
e) Memperuntukkan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik termasuk menaiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal.
f) Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam dengan perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan negeri.
g) Pelaksanaan skim "Bina dan Jual" secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang terainaya akibat projek perumahan terbengkalai.
h) Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung yang digunapakai bermula pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu.
Menjamin Kelangsungan Wang Negara
Bagi menjamin kelangsungan wang negara, Belanjawan 2012 Pakatan Rakayat akan mengambil pendekatan berikut:
a) Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan bagi mengurangkan kecenderungan beberlanja berlebihan oleh perdana menteri
b) Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4 peratus bagi tahun 2012.
c) Dividen Petronas diunjur pada kadar RM26 bilion sahaja iaitu RM4 bilion lebih rendah dari BN bagi memastikan Petronas mempunyai sumber mencukupi untuk terus berkembang.
d) Penjualan Lesen Import (AP) akan dibuat secara lelongan bagi menambah pendapatan negara dengan kadar RM1.2 bilion.
e) Pendekatan perolehan kerajaan akan diamalkan secara tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputera.
f) Menyemak kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara.
g) Mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara.
h) Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain.
Membina keanjalan dan daya saing ekonomi
a) Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi yang tidak adil.
b) Meminda Akta Persaingan 2011 supaya meliputi sektor penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli laian untuk memecahkan monopoli.
c) Mengurangkan pekerja asing menjelang 2015 mengikut sektor.
d) Elauan penjagaan anak RM1000 setahun kepada ibu-ibu yang layak dipadankan dengan pelaburan kerajaan membina pusat penjagaan kanak-kanak.
Kesejahteraan sekata dan seadilnya
a) Meminda Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap kepada prinsip formula berdasarkan faktor sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri.
b) Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar
c) Peruntukan khas RM100 juta untuk program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.
Mengukuhkan arus reformasi rakyat
a) Melaksanakan sepenuhnya janji Buku Jingga termasuk memansuhkan ISA, akta bersabit media percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan AUKU.
b) Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti dicadang Pakatan Rakyat pada 2011 untuk memansuhkan semua akta yang bertentangan dengan amalan demokratik.
c) Melaksanakan segera semua tuntutan Bersih 2.0
d) Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam supaya bertanggungjawab terus kepada Parlimen.
e) Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara dibentang di Parlimen bersama laporan Ketua Audit Negara.
f) Membentuk tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahas belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.