Pembaca ramai, buku BM kurang
Oleh: Dr AMINUDIN MANSOR
Secara umumnya semua manusia minat membaca, kecuali yang buta huruf. Membaca tidak terbatas hanya kepada akhbar dan majalah, malah seharusnya mencakupi buku-buku ilmiah, fiksyen dan agama sebagai usaha meningkatkan pengetahuan setiap masa.
Tokoh Barat, Sanborn pernah berkata, seorang pembaca membaca beberapa surat khabar yang bermutu tinggi, dapat belajar lebih banyak perkara dalam waktu setahun daripada sebahagian besar sarjana ataupun mahasiswa yang belajar dalam perpustakaan besar dan kurang membaca.
Di negara ini, pembaca terutama golongan muda boleh membaca dalam bahasa Melayu sebenarnya hampir 95 peratus. Ini disebabkan mereka terdidik di sekolah rendah dan menengah yang diajar dalam bahasa Melayu.
Walau bagaimanapun fenomena masa kini menunjukkan kurangnya buku-buku bahasa Melayu diterbitkan terutama buku ilmiah meliputi sains dan teknologi, falsafah, teknologi maklumat, psikologi, sosiologi, kesihatan, farmasi dan sebagainya.
Penerbitan buku-buku ini dalam bahasa Melayu tidak seimbang dengan penerbitan buku-buku karya fiksyen seperti novel, antologi cerpen dan sajak, buku-buku bercorak agama dan juga novel remaja.
Kedai buku atau toko-toko buku ternama juga hanya menyediakan ruang kecil untuk buku-buku bahasa Melayu yang kebanyakannya terdiri daripada novel remaja, kamus dan buku-buku pelajaran.
Jumlah buku dalam bahasa Melayu yang diterbitkan setahun, 8,000 hingga 10,000 judul amat kecil jika dibandingkan dengan penduduk negara yang sudah menjangkau hampir 27 juta.
Buku-buku dalam bahasa Melayu sewajarnya diterbitkan sekitar 26,000 hingga 27,000 setahun dalam konteks ke arah menuju negara maju.
Hasrat kerajaan untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) dalam bahasa Inggeris mulai tahun 2012, memberi peluang kedua kepada bahasa Melayu untuk terus berkembang sebagai bahasa ilmu.
Pengalaman penulis semasa menjadi guru Pusat Sumber di sekolah, majalah dan buku-buku bermutu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya 10 peratus sampai ke perpustakaan.
Sementara, novel-novel remaja pula terpaksa disaring terlebih dahulu supaya pelajar tidak membaca novel-novel percintaan ringan yang boleh menyebabkan mereka terjebak ke arah percintaan (cinta monyet).
Apa yang kita lihat, kebanyakan buku di perpustakaan sekolah sudah berusia lebih 10 tahun, terutama buku-buku dalam bahasa Melayu.
Pelajar sebenarnya amat minat membaca, terutama Tingkatan 1 hingga 3. Mereka ini jika bersekolah di sesi petang, akan datang awal ke sekolah untuk membaca di perpustakaan, tetapi jika buku lama yang disajikan (disebabkan buku baru tiada diterbitkan) pelajar juga akan bosan untuk ke perpustakaan.
Jika kita tinjau perpustakaan awam atau perpustakaan negeri, keadaannya juga hampir sama.
Kerjasama penerbit dan pengedar juga mestilah erat terutama penerbit yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran dengan memberikan peratus tinggi kepada pengedar bertauliah untuk mengedarkan buku-buku ilmiah ke Pusat Sumber Sekolah (PSS) sebagai wadah ilmu kepada pelajar.
Kempen Membaca tidak akan berkesan jika buku, khususnya dalam bahasa Melayu sukar untuk didapati dan kurang dipasarkan.
Kadar penerbitan buku-buku judul baru di negara ini terutama dalam bahasa Melayu wajar dipertingkatkan dengan lebih hebat meliputi semua bidang.
No comments:
Post a Comment