Wednesday, 13 July 2011

Saya dan KELAP : Sebuah Memori (2007)

Pada 8 Julai 2007, Kem Latihan Penulisan (KELAP) PMRAM 2007 telah membuka tirai taqwim Badan Penerangan & Penerbitan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dengan mengadakan program siri pertama, ' Pembentangan & Bengkel Karya Kreatif ' di Dewan Ibnu Sina, Rumah Johor Haiyu Thamin.

Para peserta KELAP (Kem Latihan Penulis) yang hadir

Permulaan acara dibuka dengan kalam pembuka bicara daripada pengarah KELAP yang mengharapkan penubuhan KELAP mampu melahirkan ilmuan al Azhar yang mengambil berat di dalam bidang penulisan. Seterusnya kemahiran tersebut digunakan untuk melebarkan sayap Islam dengan kekuatan dan keajaiban pena sebagaimana yang pernah dilakukan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan seperti penulis negarawan, al marhum Ahmad Boestamam. "Mengasah Pena Menempa Wibawa" merupakan tema yang dipilih untuk KELAP pada sesi ini. Majlis tersebut diteruskan lagi dengan kalam penuh bersemangat daripada Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM, Ustaz Abdul Mu'izz Muhammad yang menjadikan ayat pertama dan kedua surah al Qalam sebagai panduan dan titik asas permulaan perkembangan ilmu-ilmu Islam.

Lebih mengejutkan lagi apabila kehadiran perasmi, Ustaz Hairul Nizam bin Mat Husain selaku Presiden PMRAM hanya berkain pelekat kerana masalah kesihatan. Bagaimanapun keadaan ini menjadi pemangkin dan pembakar semangat malah menunjukkan keprihatinan seorang Presiden sebuah persatuan induk untuk bersama-sama menjayakan program bersama ahli. Malah dalam ucapannya, beliau turut menyarankan agar ilmuan-ilmuan al Azhar lebih aktif menulis sebagai paparan ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat sekalipun hanya satu karya penulisan yang dihasilkan.

Para moderator, dari kiri; Ustaz Nurul Hisham Mohammad, Ustaz Zaki M.Noor & Ustazah Siti Khadijah @ Najwa bte Abdul Ghaffar. (Tiada dalam gambar: Ustazah Nor Saidah bte Salim )
Slot pertama majlis para peserta dihidangkan dengan pembentangan kertas kerja karya kreatif oleh tiga orang panelis yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan di Mesir iaitu Ustaz Mohd Zaki M. Noor, Ustaz Nurul Hisyam Mohammad dan seorang wakil daripada muslimat, Ustazah Siti Khadijah binti Abdul Ghaffar atau lebih dikenali dengan nama penanya Sammaituha Najwa. Pembentangan kertas kerja tersebut mengambil masa hampir 2 jam itu menghuraikan skema-skema dan segala teknik yang diperlukan dalam penulisan bagi karya kreatif.

Slot tersebut dirancakkan lagi dengan sidang conference bersama wartawan akhbar Berita Harian yang juga merupakan bekas penuntut Universiti Al-Azhar cawangan Damanhur, saudara Nazmi bin Yaakub dan setiausaha Rumah PENA, saudara Syed Mohd. Zakir Syed Othman atau lebih dikenali dengan nama penanya S.M Zakir. Beliau merupakan cerpenis bercirikan falsafah Islam yang tidak asing lagi di tanahair. Tidak rugi membeli karya-karya penulisan S.M Zakir kerana beliau banyak memenangi karya sastera tempatan. Banyak kejutan dan perkembangan baru dalam dunia kesusasteraan tanah air yang disimpulkan oleh kedua-dua tokoh cerpenis ini sebagai bekalan berguna kepada para peserta KELAP.

Para peserta khusyu' mendengar amanat Ustaz Nazmi b Yaakub, penyusun 'Pijar Kinanah'

Seusai pembentangan kertas kerja, program ditangguhkan untuk solat Zohor di masjid berhampiran bagi peserta lelaki, manakala peserta akhawat melakukan solat di dalam dewan. Penyediaan menu makanan pada tengahari tersebut diketuai oleh Ustaz Yazid b Pardi, turut dibantu oleh Ketua Unit Sidang & Pengisian KELAP iaitu Ustaz Najib b Hanafiah.

Gandingan mantap 2 orang moderator

Slot ke-3 disambung semula pada jam 2 petang dengan slot bengkel di mana para moderator membaca semula semua karya yang dihantar selama 5 minit. Kemudian semua karya tersebut dibedah dan dikenal pasti segala kelemahan dan kesalahan untuk dimuhasabah. Ustazah Nor Saidah bte Salim turut hadir memberikan pengalaman dan maklumat dalam slot bengkel tersebut. Antara nasihat para moderator kepada para peserta agar menggunakan kerencaman isu dan kompleksiti kehidupan sebagai wadah menarik yang akan diutarakan di dalam kreativiti penulisan.

Para peserta sabar menadah kritikan para moderator

Bagaimanapun penulis disarankan untuk tidak menggunakan elemen tersebut dalam membicarakan subjek yang klise serta idea pengisahan yang tidak relevan. Slot yang mengambil masa hampir 6 jam menjadi penutup kepada KELAP PMRAM 2007 bagi genre karya kreatif. KELAP PMRAM pada sesi ini menerima penyertaan yang cukup memberangsangkan di mana hampir 80 orang peserta berdaftar ikhwah dan akhawat yang menjayakan KELAP PMRAM sesi 2007 ini. Tanpa noktah pihak pengurusan KELAP ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat.

Sumber : blog KELAP

2 comments:

Si Kandil Hijau said...

salam ziarah. saya juga lahir dari KELAP 2007 sbagai yg pertama di bumi Mesir.
Ingt mahu copy pic KELAP di blog ini sbg kenangan tapi tak boleh.Hehe!

Tahniah atas karya-karya saudara yg pernah tersiar.

Teruskan menulis!

Penduga Arus said...

Salam ziarah kembali..

Syukran.. boleh copy gmbr2 di blog KELAP, insya-Allah...