Monday, 31 August 2009

Syariat Islam Bukan Ikut Logik Akal Wahai Norhayati Kaprawi SIS

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Laungan itu kedengaran lagi menandakan simbolik tarikh kemerdekaan negara kita Malaysia yang ke-52 tahun.

Alhamdulillah. Setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala di atas nikmat kemerdekaan yang dikurniakan kepada kita.


Membaca helaian-helaian media arus perdana di Malaysia seringkali mengecewakan. Berita yang 'tiada-tiada' selalu sahaja diulas panjang. Hidangan penulisan untuk mencerna minda masyarakat disekat. Ah, sampai bila akan begini?

Baru-baru ini heboh tentang kes sebatan yang akan dikenakan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno. Hampir semua yang 'bisu' selama ini tiba-tiba bersuara. Masing-masing dengan pendapat dan hujah dikeluarkan. Hatta Tun Mahathir juga bersuara di dalam blog beliau walaupun sekadar melontarkan persoalan yang telah pun terjawab sekian lama.


"Fas aluu ahlazzikri in kuntum laa ta'lamun". Sayugianyalah jika sakit kita akan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Doktor itu pula mestilah yang benar-benar berkelayakan. Jangan pula nanti orang yang sakit jantung diberi ubat sakit mata. Makin bertambah pula jenis penyakit si pesakit itu nanti. Begitu juga halnya jika membabitkan hukum-hakam agama. Soal agama bukan perkara yang boleh dibahas secara mudah dan sambil lewa. Baru mengerti 'muqaddimah' ilmu mustolah hadith, sudah begitu mudah mengeluarkan fatwa. Nas al-Quran dan Hadith ditafsirkan mengikut kemampuan akal. Apa kamu ingat ini 'matematik' boleh ditambah dan ditolak sesuka hati?

Saya rasa amat tercabar dengan kenyataan salah seorang daripada puak Sisters In Islam (SIS) iaitu Norhayati Kaprawi. Jika benar pun kamu mahu mengeluarkan pendapat, tidak usahlah kaitkan dengan hukum-hakam agama yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Wahai Norhayati Kaprawi, syariat Islam bukan mengikut logik akal manusia. Kamu menulis seperti itu akan membuat kamu seolah-olah 'mencabar' ketetapan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.`

Teringat satu hal yang lebih kurang sama dahulu dimana seorang yang bergelar 'dukturah' dalam bidang agama di Malaysia mengeluarkan fatwa bahawa wanita yang sedang haid dibolehkan memasuki masjid dengan syarat memakai 'tuala wanita' agar tidak mengotorkan masjid. Ya, Allah! bagaimana fatwa ini boleh dikeluarkan oleh seorang yang 'tinggi' ilmu agamanya. Pakailah setebal manapun 'tuala wanita' itu tetap juga tidak boleh wanita yang sedang haid memasuki rumah Allah yang mulia. Tetap haram hukumnya!

Tidak pula Norhayati Kaprawi bising dengan hukuman rotan kepada pengedar dadah. Jika diteliti hukuman itulah yang lebih berat dan kejam. Sepatutnya hukuman ini yang ditentang oleh Norhayati Kaprwai jika menganggap diri seorang pejuang(memang bukan pejuang pun). Bila hukum Islam hendak dilaksanakan mulalah tidak senang duduk. Fikir-fikirkan wahai saudari!

Dua hari lalu saya mengikuti pengajian bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Kami belajar kitab Tahzib Misykat al-Masobih dalam bab hudud. Beliau menyebutkan; hanya orang bersalah yang enggan apabila undang-undang Islam hendak dilaksanakan. Rasionalnya kerana orang-orang inilah yang akan mula-mula dulu dipotong tangan, disebat, direjam akibat dari maksiat yang dilakukan.

Mudah-mudahan kita sentiasa diberi kekuatan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam meneruskan risalah dakwah yang diwarisi daripada Junjungan Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Amin.

1 comment:

Zaiem Al-Hilmee said...

Salam tuan blog.. ana juga terdengar kisah enta di mesir biar pun ana jauh di papar.. Teguhkan pendirian biarpun byk mehnah yg melanda.. kami di sabah sentiasa menyokong para pelajar mesir yg sentiasa menegakkan Islam bersama pmram. Innallaha ma'ana

-Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah-