Thursday, 30 October 2008

Sebuah Karya

Sebetulnya, karya ini saya karang sebelum Ramadan yang telah lalu. Lebih tepat pada 8 0gos 2008. Karya 'budak baru belajar' ini akan dimuatkan di dalam Majalah Anugerah ke-5 yang akan diterbitkan oleh Biro Penerangan dan Penerbitan, Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BPP-BKPSM).


TETAP DI SINI

Pernah dia jatuh
bangun semula
tatkala nafas masih tersisa
di celah-celah runtuhan
memupuk kembali semangat yang kian sirna.

Biarkan mereka tiba
di puncak itu
sedangkan diri ini tetap bertatih
menghadam juzuk-juzuk perjuangan
mencari kesempurnaan.

Ya ALLAH
thabatkan langkah ini
jangan biarkan tersasar
ditelan bias-bias haloba.

Amiruddin Mohd. Rosdi

Villa Sabah, Syaqqah 10

Abbas el-Aqqad, Kaherah, Mesir.

Monday, 20 October 2008

Setahun berlalu...

SUDAH setahun saya berpencak di gelanggang sebegini. Seawal dari teratak kecil di blog 'friendster' hingga mampu memiliki blogspot sendiri seperti kebanyakkan orang lain. Saya mengakui diri ini bukanlah seorang penulis yang hebat cuma berupaya menukilkan apa yang dirasa selayaknya dizahirkan. Melihat tulisan saya masa mula-mula dahulu cukup membuat saya tersenyum sendiri. Tetapi tidak mengapa: beribu langkah sang pengembara tetap dimulakan dengan langkah yang pertama. Selagi ada kudrat jangan pernah terbit di hati 'saya tidak boleh'. - di dalam bas 359~

Thursday, 16 October 2008

Lambaian Mansoura - EID 15

SEMALAM merupakan kali ke-2 saya menjejakkan kaki ke Mansurah (المنصورة عروس النيل) setelah kali pertama pada tahun 2006. Pada kali ini atas urusan tauzi' (penghantaran) pelajar-pelajar perubatan negeri Sabah seramai 3 orang.

Saya merupakan antara wakil BKPSM dalam pengurusan penghantaran pelajar yang turut disertai oleh Yang Di-Pertua 2 dan Ketua WISA, Ustazah Hanizah Garai dan Ketua Biro Kebajikan dan Rehlah (BKER), Ustaz Ahmad Fairuz Mohamad. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun terpaksa menghadapi sedikit kesulitan kecil.

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada sahabat-sahabat di Mansurah atas bantuan yang telah diberikan. Selamat menempuh kehidupan 'sebenar' kepada adik-adik perubatan Mansurah (Akmal, Zulaikha dan Farihin).

Sunday, 5 October 2008

EID 5


SUDAH hampir seminggu Syawal singgah berkunjung. Adik-adik 'baru' sudah beberapa kali bertanya; Bang Amir, bila kami kena tauzi'?(penghantaran ke universiti/fakulti masing-masing). Mereka agak tidak sabar untuk memulakan sesi pengajian. Harap bersabar yaa!!

Hari ini pihak akhawat mengadakan rumah terbuka aidilfiri. Tahniah diucapkan kepada Mahasiswi Sabah (WISA) BKPSM. Alhamdulillah, pada tahun ini sedikit kelainan dibuat. "Open House" tidak lagi dibenarkan dibuat di syaqah pelajar. Rumah terbuka hanya dibolehkan dibuat di dewan atau maktabah. Kenapa ya? Saya sebutkan satu daripadanya, kita semua mengharapkan agar adab dan akhlak islam sentiasa dpelihara. Fenomena ikhtilat yang kian menghambat diharap dapat dicegah sebelum ianya semakin parah dan menjadi nanah. Saya yakin, tidak ada seorang pun yang redha apabila melihat kemungkaran berlaku di depan mata.

Bagi mereka yang faham dan mengerti, Syawal bukanlah bulan untuk bersuka ria semata-mata. Bukan juga bulan pembaziran. Jauh sekali bulan untuk kita bertabarruj. Bulan ini menjadi saksi kepada hamba-hamba Allah yang bersyukur atas selautan nikmat yang telah dikurniakan. Selepas kita semua najah menjadi graduan dari madrasah Ramadan,apakah kita mengaplikasikan ilmu yang kita pelajari?

Friday, 3 October 2008

EID 3

HARI raya tahun ini serba sederhana. Sehingga saat ini, masih lagi "bertapa" di rumah sendiri. Lazimnya orang akan keluar berziarah memenuhi jemputan rumah terbuka. Urusan kerja kelihatannya tidak henti-henti datang bertamu. Selesai satu, datang satu lagi. Saya tidak banyak memikirkan tentang suasana raya. Biarkan... biarkan sepi itu memesrai diri..

Thursday, 2 October 2008