
Himpunan
 hijau anjuran PAS adalah siri ijtimak yang diadakan sejak lebih tiga 
puluh tahun di peringkat nasional, negeri dan kawasan.  Di peringkat 
nasional dianjurkan tidak secara tahunan, tetapi mengikut masa yang 
dikira sesuai bagi mengumpulkan ahli di seluruh negara. 
Setiap himpunan mempunyai tema bagi memperkasakan aqidah perjuangan PAS dan membangkitkan semangat ahli serta penyokong.
PAS
 tidak terikut-ikut atau terpengaruh dengan pihak lain, termasuk yang 
menganjurkan beberapa himpunan gelombang biru yang dikatakan menghimpun 
berjuta peserta. 
Bahkan ternyata perbezaan yang jauh laksana 
langit dan bumi, seperti berbezanya warna hijau dan biru itu. Aturcara 
dan pengisiannya juga sangat tidak sama.
Ahli dan penyokong PAS 
sahaja dikerah datang dari seluruh pelusuk negara. Mereka datang 
mengikut arahan pemimpin dengan kenderaan dan cara masing-masing dengan 
duit sendiri. 
Mereka yang datang menyertai gelombang biru lain 
caranya. Kalau tidak ada habuan yang nampak dimata dan seronok didengar,
 mereka tidak bersedia pun untuk datang.
Himpunan hijau dihitung 
sendiri oleh mereka yang datang dan menyaksikannya. Gelombang biru 
memerlukan tambah nilai dengan berbagai cara penggambaran melalui sudut 
yang ramai peserta, bukannya semua sudut dan disolek melalui penyiaran  
melalui media yang dikuasai sepenuhnya.

Setiap
 ahli dan penyokong PAS yang datang ke himpunan hijau mengharapkan 
pahala daripada Allah. Duit dan tenaga terpaksa dikorbankan kerana yakin
 adanya pahala, walau apapun orang mengata. 
Mereka yang menyertai gelombang biru sila nyatakan, adakah mereka juga mahukan pahala?
Himpunan
 hijau didahulukan dengan pesanan supaya para pimpinan disemua peringkat
 supaya berjuang dengan sifat taqwa dan ikhlas menegakkan Islam tepat 
dengan petunjuk Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. dengan akhlak yang
 mulia dan hanya percaya kepada janji Allah dunia dan akhirat. 
Kalau
 ditunjuk-tunjuk zahir sahaja tiada fadilatnya dan cabut lari, tanpa  
dilihat habuannya dengan mata kasar dan tidak diketahui bila masa 
mencapainya, sehingga ternganga, tiba-tiba diminta menghulurkan derma 
pula, tetapi yakin dan percaya kepada janji Allah.
Gelombang biru
 dipenuhi ucapan janji kebendaan dan kemewahan melempah ruah. Diminta 
menunggu bila hendak ditaburkan. Akan diberi apabila ditadah tangan, 
disuap sebaik sahaja dinganga dan ada yang datang dijemput untuk 
mengambil atau dibawa bergolek datang ke rumah  atau menadah poket untuk
 diisi. Semuanya sudah siap dengan angka berbilion ringgit.
 
Kemuncak himpunan hijau dimulakan dengan sembahyang Maghrib 
berjamaah, sembahayang hajat secara bermunajat mengadu dan merayu kepada
 Allah dan sembahayang isya berjamaah. 
Selepasnya mendengar ceramah 
para pemimpin PAS dan tokoh masyarakat daripada berbagai bidang yang 
baru menyertai PAS. Diselangi pula dengan laungan takbir, sama ada 
menyubur semangat atau dibenci syaitan yang tidak suka dengan laungan 
takbir. Seterusnya diakhiri dengan doa yang dipimpin oleh Mursyid Am.
Ada
 pun kemuncah gelombang biru ialah pesta hiburan oleh kumpulan K- pop 
atau sewaktu dengannya. Walau pun melangkah waktu sembahayang fardu, 
kerana agama hak masing-masing tidak bercampur dengan politik.  Diikuti 
pula nyanyian bergema bersama sorak surai terlalu gembira, disertakan 
dengan tari-menari kerana terlalu gembira.
PAS mengerahkan ahli 
bagi himpunan hijau supaya bersiap sedia menghadapi pilihanraya umum, 
walau pun belum diumumkan. Kerja pilihanraya mesti dilakukan daripada 
sekarang. Bersiap sedia menghadapi piliharaya dengan cabaran banyak 
penipuan yang nyata dan tersembunyi.

Gelombang
 biru dianjurkan untuk menabur umpan terlebih dahulu secara janji kalau 
menang dan  sewaktu pilihanraya juga sudah dapat upah. 
Para pemimpin
 dalam keadaan teragak-agak menentukan tarikh pilihanraya kerana mereka 
yang datang belum tentu mengundi Barisan Nasiaonal. 
Penganjur tetap dibayangi kebimbangan  gelombang berlalu dengan meninggalkan mata kail sahaja dan umpannya hilang entah ke mana.
Demikianlah perbezaan mukadimah dan pengisian diantara Himpunan Hijau anjuran PAS dan gelombang Biru anjuran Umno.
Himpunan
 hijau membuktikan bahawa hampir sejuta ahli PAS sedia mengikut arahan 
para pemimpinnya diseluruh negara, bukan sahaja berhimpun, bahkan 
bekerja dengan pendekatan terkini bersama Pakatan Rakyat. 
Kerahan
 dibuat hanya kepada ahli-ahli Pas sahaja, kerana kita tidak mahu 
diramaikan oleh bukan ahli PAS, termasuk kalangan parti-parti pakatan 
rakyat. Sekurang-kurangnya menyatakan PAS boleh ganti Umno dan Gagasan 
Pakatan Rakyat menggantikan Barisan Nasional.
Maka PAS menyeru 
secara khusus kepada umat Islam, kebanyakannya adalah berbangsa Melayu, 
bahawa parti kebangsaan Melayu yang bernama Umno sudah habis tempoh 
tugasnya dan perlu direhatkan, seperti parti–parti lain diseluruh dunia 
yang mengamalkan demokrasi. 
Bukan sahaja telah berlalu lebih 
lima puluh tahun sejak merdeka menjadi tulang belakang kepimpinan 
negara, tetapi menjadi parti yang leka dan melekakan rakyat dengan 
hiburan dan janji kemewahan demi terus menang walau pun menipu rakyat 
tanpa menyelesaikan masalah yang telah berlalu. 
 
Dihinggapi pula masalah baru dan masalah yang akan datang. Walau pun 
sudah ada kalangan pemimpinnya yang berani berkata :”Melayu Mudah 
Lupa!”.
Himpunan hijau menghimpunkan ahli dan penyokong Pas 
daripada berbagai bangsa yang menganut Islam dan kalangan bukan Islam 
yang mendukung perjuangan politik Islam melalui Dewan Himpunan, dengan 
Islam memimpin umat manusia majmuk menegalkan keadilan kepada semua.
Pas
 bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat termasuk kalangan bukan Islam dan 
bukan Melayu tetap menerima hakikat wujudnya masyarakat majmuk  
berpaksikan resolusi bersama bertunjangkan apa yang ditetapkan dalam 
perlembagaan.
Islam Agama Persekutuan dan hak yang adil kepada berbagai agama yang dianut oleh rakyat.
Hak istimewa bumiputera dan layanan adil terhadap pelbagai kaum yang juga menjadi rakyat.
Bahasa kebangsaan menjadi bahasa rasmi dan mengiktiraf adanya bahasa ibunda masing-masing.
Raja berperlembagaan yang berhak juga memerhati sekiranya ada kesilapan bukannya simbol tanpa kuasa.
Pendekatan
 yang menyatukan rakyat melalui asas tersebut dengan betul dan seksama 
dan bukannya mengapikan semangat fanatik perkauman, apatah lagi 
dijadikan senjata untuk melagakan rakyat bagi mengekalkan kuasa secara 
zalim.
PAS  mendukung konsep negara berkebajikan yang diterapkan 
dalam buku jingga. Berhasrat melahirkan kepimpinan negara yang 
menunaikan amanah, bukannya mendapat kuasa yang menjadi peluang kepada 
segelintir manusia dan menghiburkan rakyat supaya leka mudah ditipu. 
Pakatan
 Rakyat akan menyerahkan kepada rakyat menjadi hakim yang adil pada 
setiap pilihanraya yang benar-benar menjadi hak rakyat dan kerajaan 
Pakatan Rakyat boleh diturunkan kalau bersalah bukannya secara menipu.
Himpunan
 hijau adalah latihan kepada ahli Pas bahawa mereka datang berhimpun 
tanpa paksaan dan habuan. mereka datang sebagai rakyat yang memahami 
haknya yang sebenar, bukan rakyat yang diajar sentiasa berbohong dengan 
mengampu para pemimpin yang sentiasa menyuap umpan yang mengenyangkan 
perut  dan membodohkan akal.
Himpunan hijau adalah menyatakan perjuangan Pas untuk semua rakyat, kerana Islam itu adalah rahmat Allah kepada seluruh alam.
----------------------------------------------------------
Penulis adalah PRESIDEN PAS