Pilihanraya Musim Haji : Kenyataan Daripada Multaqa Asatizah & Du'at (MURSHID)
Berdosa Jika Pilihanraya Dilaksanakan Sewaktu Musim Haji
Oleh
Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)
Kami, selaku pendakwah dan asatizah telah dan kerap ditanya berkenaan
isu mengadakan pilihanraya sewaktu musim haji. Justeru itu, sebagai
respon kepada pertanyaan tersebut, pihak Multaqa Asatizah & Duat
(MURSHID) dalam mesyuarat yang lalu berpendapat seperti berikut :-
Di dalam system demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah
ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak
diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem demokrasi dijadikan
panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan
melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima
mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru kempen untuk
pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan
dipermudah di seluruh tanahair. Rakyat Malaysia selaku pengundi layak
yang berada di luar negara perlu di jamin hak mereka agar boleh mengundi
melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.
Kami juga
bersepakat bahawa Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK BOLEH atau
HARAM dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam
khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji
sedang berada di luar Negara.
Sekiranya pilihanraya tetap dilakukan
di musim haji, itu merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah dan
sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah suatu proses
KESAKSIAN. Firman Allah :
(وأشهدوا ذوى عدل منكم ..(الطلاق: 2
Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”( At-Talaq: 2)
Juga Firman Allah :
وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا
Ertinya : Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil ( Al-Baqarah : 282)
Dalil-dalil di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu
situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat
memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah
dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan
keterangan dan kesaksian.
Dalam konteks pilihanraya, rakyat
sebenarnya bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak
mana-mana calon yang bertanding. Justeru, SEKIRANYA pihak berkuasa
memutuskan pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu
tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan
tanggungjawab mengundi.
Jika seorang saksi TIDAK DIBENARKAN
untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya DIHARAMKAN
juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian
seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar
negara.
Justeru, setiap individu yang mempunyai hak dan
berkelayakan memberikan kesaksian samada di mahkamah, termasuk kesaksian
dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak dibolehkan untuk
sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi
kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun. Firman Allah Ta'ala :
وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
"Maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi)
menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang
menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa
hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu
kerjakan." (Al-Baqarah :283)
Akhirnya, kami menyeru pihak
berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi
mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi
penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Kami yakin, pihak
berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.
Sekian dari kami,
1. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
2. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohammad
10. Ustaz Zamri Zainuldin
11. Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisham Tuan Padang
18. Ustaz Ramadan Fitri Elias
19. Ustaaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Naseer Abd Rahman
No comments:
Post a Comment