Saya tidak menyangka bahawa tulisan saya yang menyebut haji dan
pilihan raya secara sepintas lalu menjadi polemik hangat beberapa hari.
Saya hanya menyebut bahawa masyarakat Islam kebanyakannya tidak tahu
perbezaan di antara wajib mudoyyak dan wajib muwassa' yang tidak ada
dalam pelajaran fardu ain
Apabila Ketua Penerangan PAS, Ustaz
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan susulan, beliau menjadi
sasaran serangan media Umno yang berpelurukan kenyataan berbagai pihak.
Maka Umno tidak mengambil kira musim haji atau musim puasa dan
sebagainya, kerana Umno tidak menjadikan Islam itu dasar panduan
perjuangannya. Tuan Haji Subky Latif pernah menjadi sasarannya apabila
menyentuh perkara ini ketika menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat.
Media jurubicara Umno mendedahkan kebebalan mereka berkenaan hukum
Islam dan mendedahkan kejahilan pemimpin utama mereka sendiri,
seterusnya mendedahkan ada di kalangan tokoh agama termasuk berjawatan
mufti, bahawa roh dan jasadnya bersama Umno. Paling malang dan menjadi
lebai malang ialah kalangan yang jahilnya murakkab, tidak mengenali ilmu
usul feqah dan maqasid syariah.
PAS tetap berpegang kepada
ajaran Islam yang tidak memisahkan politik daripada agama Islam,
walaupun politik tidak termasuk dalam rukun Islam seperti ibadah haji
dan tidak termasuk rukun iman. Begitulah juga wajibnya menutup aurat dan
menjelaskan hutang sesama manusia, perkara ini tetap wajib ditunaikan
serta-merta, walaupun tidak dimasukkan secara sebutan dalam rukun Islam.
Para ulama menegaskan bahawa perkara-perkara yang tidak disebut dalam
rukun itu, tetap termasuk dalam rukun pertama dua kalimah syahadah dan
tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana rukun iman.
Dalam
perkara wajib, para ulama usul fiqh bukan sahaja membahagikan kepada
fardu ain dan fardu kifayah. Perkara wajib juga dibahagikan dari segi
kesesuaian kadar waktu menunaikannya, sama ada wajib disegerakan, tidak
boleh ditangguh, yang dinamakan wajib mudoyyaq seperti puasa Ramadhan
dan sembahyang di akhir waktu. Ada juga wajib yang boleh ditangguh
kerana luas waktunya dan tidak berdosa menangguhkannya seperti haji dan
sembahyang wajib yang lama masanya di awal waktu. Perkara ini dinamakan
wajib muwassa'.
Apabila bertembung dua perkara yang sama
wajibnya, maka didahulukan kepada menunaikan wajib mudoyyaq seperti
wanita kematian suami yang wajib menunaikan idah berada di rumah dalam
masa beberapa bulan yang ditetapkan oleh Al Quran, dalam masa yang sama
dia berharta dan mampu menunaikan haji kali pertama yang wajib dan
menjadi rukun Islam. Hukumnya hendaklah menunaikan idahnya terlebih
dahulu, wajib berada di rumah kerana wajibnya mudoyyaq dan menangguhkan
haji kerana wajibnya muwassa'. Walaupun perkara idah tidak termasuk
dalam rukun Islam. Begitu juga dengan seseorang yang cukup duitnya
menunaikan haji, dalam masa yang sama dia berhutang dan diminta membayar
segera, maka hendaklah membayar hutangnya terlebih dahulu atau keluarga
wajib diberi nafkah, maka tunaikan nafkah dengan cukup terlebih
diutamakan walaupun perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam rukun
Islam.
Rasulullah SAW menangguhkan ibadat hajinya walaupun
diwajibkan lebih awal, ada kalangan ulama yang menyatakan sejak zaman
Nabi Adam. Ada yang menyatakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan ada yang
menyatakan di tahun ketujuh hijrah. Rasulullah SAW membebaskan Makkah
(Fathul Makkah) daripada Jahiliyyah terlebih dahulu daripada menunaikan
haji dan menghadapi qabilah Hawazin dalam peperangan Hunain. Walaupun
banyak harta dan bekalan berada dalam tangan melimpah ruah dan sudah
masuk bulan Syawal (bulan haji), namun terus pulang ke Madinah tanpa
menunaikan haji.
Rasulullah SAW menugaskan sahabatnya Abu Bakar R.A supaya memimpin
umat Islam menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah. Adapun
Rasulullah SAW menangguhkan haji sehingga tahun kesepuluh hijrah,
sebelum sedikit kewafatan baginda. Para ulama menegaskan bahawa wajib
haji adalah muwassa', boleh ditangguh dan Rasulullah SAW mendahulukan
urusan politik negaranya dengan menerima rombongan yang datang menyerah
diri masuk Islam atau sedia berdamai.
Dalam peristiwa
Hudaibiyah pula, Rasulullah dan para sahabat telah memakai pakaian ihram
bagi menunaikan umrah. Tiba-tiba dihalang memasuki Makkah dan berakhir
dengan perjanjian Hudaibiyah yang salah satu syaratnya menangguhkan
umrah. Maka ditangguhkan umrah dan dibayar dam(denda) tanpa menunaikan
umrah pada tahun tersebut. Umrah ditangguh kerana perjanjian Hudaibiyah
memberi kemenangan politik yang tidak boleh ditangguhkan.
Kepada PAS, pilihanraya adalah amalan politik yang menjadi hak memilih
pemimpin dan kerajaan. Politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam,
walaupun pilihanraya itu dikatakan asalnya dari Barat. Passport dan visa
haji juga berasal daripada Barat, kedua-duanya tidak termasuk dalam
syarat dan rukun haji. Para ulama usul Fiqh menetapkan kaedah bahawa
perkara yang menjadi halangan menunaikan yang wajib kalau tidak
melakukannya menjadi wajib juga. Begitulah pilihanraya adalah cara
memilih pemimpin dan kerajaan yang menjadi perkara wajib mengikut semua
mazhab Islam dengan nas dan ijmak, kecuali mazhab yang sesat. Al Quran
menyebut ayat-ayat yang banyak dalam beberapa surah menunjukkan memilih
pemimpin dan kerajaan adalah perkara yang akan dihisab pada hari qiamat
nanti. Amaran ini berulang kali lebih banyak daripada ayat haji dan
umrah.
PAS tetap mendidik ahli dan penyokongnya bahawa politik
tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, laksana tidak boleh
dipisahkan kepala dengan badan. Imam Al Ghazali seorang tokoh ulama
tasawuf juga menegaskan, "agama adalah asas, kuasa pemerintahan
(politik) adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada
pengawas, hilang tercicir". Maka banyak hukum-hakam Islam dihilangkan
kerana politik Islam ditinggalkan. Almarhum Syed Alawi Al Haddad, Mufti
Kerajaan Johor ditahun 50-an menyatakan dalam fatwanya yang diterbitkan
berkenaan kewajipan pilihanraya dan parti mana yang wajib dipilih.
Kepada imam-iman yang masih kuat menyokong Umno di Johor, sila cari buku
fatwa ini.
PAS yang bersama Pakatan Rakyat, sekiranya diberi
kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak
rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah,
kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam. Rasulullah
SAW menegaskan bahawa menghilangkan amanah ini menjadi salah satu sebab
berlakunya kiamat yang menamatkan alam dunia dengan kehancurannya.
Akhirnya percayalah bahawa diam lebih baik daripada bercakap kejahilan,
kerana bercakap dalam perkara yang tidak diketahui mendedahkan
kebodohan diri sendiri. Beginilah jadinya apabila lesen memandu dijual,
boleh membawa kemalangan. Kalau tauliah ilmu juga boleh dijual beli
dengan harta dan pangkat, boleh menyesatkan orang ramai. Namun cahaya
ilmu Islam pasti bersuluh dan dipelihara Allah. Sesuapa yang
mengkhianati ilmu Islam pasti tersungkur akhirnya.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment