KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Sasterawan Negara, Muhammad Dahlan Abdul Baing atau lebih dikenali sebagai Arena Wati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pagi tadi akibat barah paru-paru.
Allahyarham yang berumur 84 tahun meninggal pada pukul 1.40 pagi.
Beliau terkenal di kalangan pelajar sekolah menengah satu ketika dahulu menerusi novelnya Sandera yang dijadikan teks sastera.
Beliau yang menerima rawatan di HUKM sejak 20 Sept lalu meninggal di sisi isterinya Halimah Sulong dan dua orang anak, Ratna Siti Akbari dan Hasanuddin.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta tengah hari ini untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada pukul 3 petang.
Empat orang lagi anak Allyarham ialah Rahmah Wati, Hirianty, Ilhamuddin dan Kamaluddin Rostor.
Anak sulung beliau, Rahmah Wati berkata sewaktu Allyarham dirawat di HUKM, bapanya masih sempat berkarya dan telah menyiapkan transkrip tulisan tangan untuk trinologi terakhirnya yang berjudul Bara-Baraya.
"Trinologi itu akan diterbitkan tahun ini yang berkisar mengenai perjuangan Melayu Nusantara," katanya.
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyifatkan Allyarham sebagai sesuatu yang amat bernilai dalam arena sastera.
"Beliau seorang yang produktif dalam menghasilkan karya seni dan mempunyai banyak ilham yang dihasilkan menerusi pengalaman hidupnya," katanya.
Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makasar, Indonesia.
Beliau pernah menggunakan beberapa nama pena lain seperti Duta Muda dan Patria.
Arena Wati pernah dianugerahkan beberapa anugerah seperti SEA Write Award (1985), dan Anugerah Sasterawan Negara (1988).
Beliau menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988.
Arena Wati juga pernah menceburkan diri dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara.
Antara karya Allahyarham ialah Eno (1985), Syair Pangeran Syarif (1989), Syair Pangeran Syarif Hasyim Al-Qudsi (1989), Syair Perang Cina Di Monterado (1989), Burung Badai (1990), Turina (1991), Citra (1991),
Memoir Arena Wati Enda Gulingku (1991), Ombak Samudera (1992), Meniti Kala by Arena Wati (1993), Panrita (1993), Sudara (1994), Mevrouw Toga (1995), Begawan (1996), Jejak Kreatif oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1996), Koleksi Terpilih Arena Wati (1996), Sukma Angin (1999), Getar-Getir Maya Kumpulan Cerpen (2000), Trilogi Busa (2002).
Armageddon (2004), Kutukan Dari Langit (2004), Langkah Pertama Kumpulan Cerpen Awal, 1954-1959 (2004), 7 Tegak Bersama (2005), Warna Sukma Usia Muda (2005) dan yang terakhir Cakra Waruga (2006).
Kebanyakkan hasil karya beliau merungkai permasalahan kelompok bawahan dan berkisar mengenai nasib atau pembelaan terhadap golongan tertindas.
-- BERNAMA
1 comment:
pernah baca karya dia masa kecik2, sungguh2 saya ingat perempuan dari namanya...lelaki rupanya. baru tau dia juga pernah jadi saasterawan. low profile sasterawan sorang ni...
~amatur bidang sastera saja~
Post a Comment