Tuesday 17 May 2011

Ya ka Sokong Dengan Ikhlas? Atau...

Wakil BN pertahan Hadi demi perpaduan UMNO-Pas


MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Said bersalaman dengan Abdul Hadi Awang semasa Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-12 di Kuala Terengganu, kelmarin.


KUALA TERENGGANU 10 Mei - Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu terus diberi kepercayaan menerajui Pas kerana Presiden parti pembangkang itu sebenarnya menampakkan keikhlasan untuk berperanan menyatukan orang Melayu.

Seorang penyokong kerajaan, Alias Abdullah (BN- Alor Limbat) menegaskan, beliau akan bersama-sama mempertahankan kedudukan Abdul Hadi (Pas-Ru Rendang) jika kedudukannya dalam parti cuba dicabar.

"Selaku orang Marang, saya beri sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri sebagai Presiden Pas dan akan tetap mempertahankan beliau pada bila-bila masa.

"Kenapa saya mempertahankan beliau? Kerana saya nampak keikhlasan dalam dirinya untuk menyatukan orang daripada Barisan Nasional (BN) dan Pas, Insya-Allah, pada suatu hari nanti," ujarnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan menyokong usul ucapan penghargaan atas ucapan Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Bendahara Raja sewaktu merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Ke-12.

Alias menarik perhatian, betapa mulianya pemimpin di sisi Allah jika di kalangan mereka dapat melaksanakan suruhan agar umat Islam bersatu padu.

"Alangkah mulianya Datuk Seri Abdul Hadi jika mendahului langkah menyambut salam perdamaian daripada saudara Islamnya sendiri berbanding menjulang kafir harbi.

Tuduhan sezalim-zalim pemimpin UMNO, mereka tetap bersaksikan dua kalimah syahadah tetapi sebaik-baik kafir harbi, mereka tidak meredai Islam bertakhta," ujarnya.

Menjawab pertanyaan Mohd. Nor Hamzah (Pas-Bukit Payong) yang bangun mencelah, beliau berkata, pimpinan MCA tidak pernah membuat kenyataan memerangi usaha mendaulatkan Islam berbanding pemimpin DAP yang melontar kalimah 'langkah mayat saya dulu'.

Terdahulu katanya, Pas di negeri ini tidak mempunyai banyak alasan untuk mengajak rakyat agar menggantikan UMNO dalam pemerintahan, di sebalik keyakinannya dapat mempengaruhi semula rakyat.

"Nak dikatakan rasa ingin mencuba yang baru iaitu Pas, rakyat masih ingat orang yang sama pernah memerintah Terengganu pada 2000. Tetapi kalau tengok di Perak, Selangor dan Pulau Pinang, DAP yang menggantikan Pas," ujarnya.

Tetapi katanya, apa yang belum kebanyakan rakyat rasai dan sebilangannya tidak mengingati, adalah kewujudan sebuah kerajaan perpaduan.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments: