Monday, 29 June 2009

Dari Ruwaq al Magharibah


SEMALAM seperti biasa saya bertalaqqi di Masjid Al-Azhar. Hari Ahad di Ruwaq al Magharibah.

Syeikh Ahmad al Hajin yang mengajar kitab Haasyiah al Baijuri dan Syarah Ihya' Ulumuddin telah menyentuh mengenai perihal dan kelakuan SYAITAN.

Menurut beliau, syaitan kerjanya sentiasa mempermain-mainkan manusia. Perumpamaannya seperti anak-anak kecil yang bermain dengan bola yang boleh ditendang ke sana sini sesuka hati.

Kita kadang-kadang berasa hairan bagaimana orang-orang Islam tidak pernah terlepas dari godaan syaitan. Rasa was-was, riak dan perasaan mara serta semua sifat negatif seringkali terbit dalam diri. Itu semua kerja syaitan laknatullah.

Beliau mengatakan, syaitan menjadikan orang-orang beriman sebagai sasaran mereka untuk mengajak kepada perbuatan yang mengundang murka Allah SWT. Bagaimana pula dengan golongan kuffar? Adakah mereka juga termasuk golongan sasaran?

Al Fadhil Syeikh menyebut, mereka yang tidak beriman kepada Allah secara 'automatik' telah menjadi 'syaitan'. Syaitan telah bersahabat dengan mereka. Oleh kerana itu, golongan syaitan tidak perlu 'risau' dengan puak-puak ini.

Saya berfikir begini; jangan pula kita yang jadi 'syaitan jadian' menghalang manusia dari melakukan amal kebaikan di atas muka bumi ini...

No comments: