Friday 26 June 2009

DS Musa Haji Aman : Peranan Ulama Penting Sumbang Kestabilan Politik


KOTA KINABALU : Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, berkata sememangnya tidak dinafikan peranan ulama amat penting untuk menyumbang ke arah kestabilan politik dalam sebuah negara Islam.

Katanya, sejarah telah membuktikan betapa kerajaan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW mampu mengecapi kejayaan yang gemilang dalam pentadbiran negara dan pada masa yang sama Rasulullah SAW melaksanakan tugasnya sebagai utusan Allah dalam menyampaikan syariat Allah di muka bumi ini.

“Natijahnya, Rasulullah SAW telah berjaya menjadikan generasi yang dipimpin dan ditarbiyah itu sebagai umat yang memiliki kekuatan jiwa dan pegangannya kepada syariat Islam dan sanggup pula mengorbankan jiwa dan raga demi mempertahankan kesucian agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena jamuan makan malam bersama Ahli Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-87 yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri.

Oleh sebab itu, katanya, para ulama khususnya yang telah diberikan tanggungjawab oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri seperti Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri haruslah berani dalam menyatakan kebenaran dan pandangan yang berlandaskan Hukum Syarak.

Ini kerana katanya, mereka ini (ulama) adalah mutiara yang berkilauan yang Allah SWT taburkan di atas muka bumi ini untuk mengajak manusia termasuk pemerintah sendiri kepada kebenaran dan meninggalkan kemaksiatan.

Musa berkata, kesinambungan warisan anbia ini perlu diterjemahkan dengan sebaiknya oleh para ulama dalam memastikan setiap permasalahan ummah dapat diatasi dan dijelaskan dengan sebaiknya, berlandaskan hujah atau dalil daripada sumber-sumber Syarak iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Beliau katanya, yakin dan optimis dengan kepakaran dan keilmuan yang ada dalam kalangan para Ashabus Samaha dan Ashabul Fadhilah mampu menangani setiap permasalahan dan kemusykilan yang dihadapi oleh masyarakat Islam di Malaysia khususnya di negeri ini.

“Sumbangan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam ini dalam isu-isu semasa amat bernilai dan berguna sebagai panduan dan nasihat supaya kehidupan seharian masyarakat Islam di negeri ini tidak terjerumus ke arah kesesatan.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukur Husin; Mufti Negeri Sabah, Datuk Ahmad Alawi Adnan; Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Sumber : New Sabah Times

Tambahan : Penulis telah memperbetulkan sedikit kesilapan perkataan yang digunakan di dalam artikel berita di atas.

No comments: